Fikiran Nik Aziz kusut kerana isu menantu

Fikiran Nik Aziz kusut kerana isu menantu

PETALING JAYA, Nov 25 — Kira-kira 24 jam selepas meminta menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui fikirannya kusut berikutan kemelut tersebut.

Menurut Menteri Besar itu, keadaan tersebut menyebabkan beliau berdiam diri dan enggan mengulas perkara itu kepada pihak media sebelum ini kerana ingin mencari ketenangan.

Ariffahmi dilantik sebagai CEO PMBK baru-baru ini dan kini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia — siasatan kali kedua.

Selain soal kedudukan menantunya, Nik Aziz juga berhadapan dengan isu tajaan menunaikan haji tahun ini tapi beliau sudah membatalkan hasrat tersebut.

Isu tajaan itu juga secara tidak langsung dikaitkan dengan kedudukan Ariffahmi sebagai CEO PMBK.

Jelas Nik Aziz, situasi yang sama pernah berlaku kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak berhubung dengan orang ramai lebih sebulan apabila isteri baginda, Siti Aisyah difitnah.

“Kita sebagai manusia ada masa terganggu. Nabi Muhammad SAW lebih dari sebulan tak berjumpa dengan orang ramai bila timbul fitnah terhadap isterinya, Siti Aisyah.

“Peristiwa Al-Ifki itu begitu sekali mendukacitakan, mengecewakan sampai sebulan Nabi tak berhubung dengan orang ramai.

“Teruk saya ini sebenarnya, tapi begitulah. Kita bergantung dengan Allah, minta doa, sebelum subuh kita bangun, kalau boleh menangis sebagai saksi,” kata Nik Aziz mengulas lanjut pendirian beliau berhubung isu itu selepas mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Kelantan di Kota Baharu, semalam.

Bagaimanapun kata Nik Aziz, beliau berasa lega sekarang kerana isu itu dianggapnya sudah selesai berikutan arahannya kepada Ariffahmi supaya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PMBK kelmarin.

Ariffahami pun akur dengan keputusan itu.

Nik Aziz menafikan keputusan yang dibuatnya itu kerana tekanan kepimpinan PAS Pusat.

“Ini yang dipanggil berpakat, tegur-menegur, itu asas Islam. Saya tekan Pusat, Pusat tekan saya.

“Masa saya cadangkan EGM (Muktamar Agung Luar Biasa) baru-baru ini, ada orang setuju, sebab itu saya tekan dia (Pusat).

“(Saya) lega yang ini selesai. Ini satu, yang depan lagi Wallahu A’lam. Biasalah kita serang musuh, musuh serang kita. Kita jangan emosi,” tambah beliau dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Nik Aziz mengambil keputusan meminta Ariffahmi melepaskan jawatannya setelah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemimpin kanan PAS pusat, antaranya Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr. Haron Din, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Bendahari PAS pusat Dr. Hatta Ramli.

No comments

Powered by Blogger.