Askar Mesir belasah penunjuk perasaan

KAHERAH: Polis tentera Mesir memukul penunjuk perasaan semalam untuk menyuraikan mereka daripada berkumpul di luar pejabat Kabinet, tempat mereka cuba berkhemah untuk mendesak pembaharuan politik dan penyingkiran saki baki rejim Presiden Hosni Mubarak.

Kejadian itu menunjukkan pendirian tegas pemerintah tentera Mesir, yang mengelak insiden ganas ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di jalanan sambil berjanji memenuhi tuntutan mereka untuk satu pembaharuan demokrasi dan mengembalikan pemerintahan awam kepada negara.

Majlis Tertinggi Angkatan Tentera yang memerintah kemudian meminta maaf dengan berkata, tindakan ke atas penunjuk perasaan itu ‘tidak disengajakan.’

Beribu-ribu berarak lagi di Dataran Tahrir di sini sepanjang hari kelmarin untuk terus memberi tekanan, terutama penyingkiran Perdana Menteri Ahmed Shafiq yang dilantik Mubarak. Kira-kira 150 penunjuk perasaan cuba bermalam di luar pejabat Kabinet berhampiran Dataran Tahrir.

Selepas tengah malam, apabila perintah darurat berkuat kuasa, polis tentera bergerak untuk menyuraikan mereka dan memukul penunjuk perasaan, sesetengah cuba mengelak, menurut Shady Ghazali, seorang aktivis belia yang mengatakan beliau menyaksikan pertembungan itu.

“Seorang lelaki ditampar dengan kuat sehingga berdarah ketika perhimpunan terbabit,” kata Ghazali.

Beliau dan sekurang-kurangnya empat yang lain ditahan dan dibawa ke lokap yang sudah menahan berpuluh penunjuk perasaan lain yang jelas ditahan sepanjang hari, katanya. Sesetengahnya cedera dan menerima layanan buruk lain, katanya.

“Polis tentera bertindak seperti pengawal keselamatan negara,” kata Ghazali merujuk kepada pasukan keselamatan dalaman dibenci yang digunakan rejim Mubarak untuk mengenakan tindakan keras ke atas pemberontak dan dituduh melakukan penderaan. – AP

No comments

Powered by Blogger.