Pilihanraya Sarawak : BN Boleh Menang Tetapi Tidak Mustahil Akan Tumbang

Oleh Aspan Alias

Pilihanraya negeri Sarawak kali ini merupakan pilihanraya yang paling sengit bagi negeri itu. Pembangkang nampaknya siap sedia untuk menghadapi kekuatan kuasa Taib Mahmud dan kali ini Taib tidak boleh lagi merasa keyakinan yang berlebihan yang beliau akan membawa kemenangan mutlak seperti yang beliau pernah berikan kepada BN.

Kesungguhan pihak yang membangkang untuk mengambil alih dari BN Sarawak pimpinan Taib kali ini lebih nyata kerana suara-suara halus yang inginkan perubahan dan peralihan kuasa di kalangan rakyat negeri itu semakin hari semakin kuat. Oleh kerana BN pimpinan Taib begitu bermaharajalela pada pandangan masyarakat maka banyak idea yang innovatif muncul untuk mendekati rakyat bagi memujuk mereka untuk melakukan perubahan untuk kebaikan negeri itu.

Masalah parti-parti pembangkang ialah untuk menghampiri rakyat pengundi di kawasan pedalaman yang mudah dilakukan oleh BN yang berkuasa. Blog ini telah menyebutkan bagaimana parti-parti pembangkang selama ini menghadapi kesulitan untuk mendekati pengundi di kawasan pedalaman seperti di rumah-rumah panjang dan kawasan penempatan-penempatan rakyat yang miskin.

Setiap kali pilihanraya pengempen-pengempen bagi parti pembangkang tidak dapat mendekati pengundi dengan mudah kerana penekanan yang dilakukan oleh Taib Mahmud dengan kuasa politik dan wang yang ada kepada beliau. Kalaulah negara kita melaksanakan demokrasi secara tulin dengan memberikan pembiayaan kepada parti pemerintah dan alternatif dan dibenarkan kedua-dua pihak mendekati rakyat dengan terbuka, perubahan di Sarawak sudah lama berlaku.

Kali ini pembangkang yang begitu serius untuk menolak kepimpinan BN di bawah Taib telah menggunakan kaedah mendekati rakyat dari jauh dengan menggunakan perkhidmatan radio, ‘Free Sarawak Radio’ yang beroperasi dari Convent Garden, London yang diharapkan dapat mendekati hati rakyat yang ingin diperjuangkan oleh pihak yang ingin melihat tamatnya pemerintahan kuku besi Taib selama ini.

Dengan adanya gerakan seperti ini terhadap sesuatu pemerintahan ianya hanya membawa satu kefahaman bagi mereka yang mempunyai pemikiran siasah yang serius; iaitu mereka serius untuk memperbetulkan keadaan yang begitu serius yang dihadapi oleh rakyat. Bagi rakyat Sarawak yang tidak boleh berbuat apa-apa oleh kerana kuasa politik yang menekan yang dilakukan oleh Taib, kumpulan yang sedar dan insaf akan tanggungjawab mereka terhadap negeri kelahiran mereka terpaksa melakukan gerakan yang mereka anggap sebagai tanggungjawab yang patut dipikul oleh mereka untuk membetulkan keadaan.

Kalau gerakan yang begitu seirus dilakukan oleh anak-anak Sarawak dengan kaedah yang betul-betul disiplin, selalunya gerakan itu akan berjaya. Banyak contoh-contoh yang boleh kita lihat dengan mata kepala kita sendiri yang perubahan boleh berlaku dengan sekelip mata sahaja.

Banyak perubahan telah berlaku dengan pantas dan apa yang berlaku di keseluruhan Semananjung Arab dan Utara Afrika sekarang ini adalah contoh yang sedang kita lihat dengan begitu jelas. Keruntuhan Tembuk Berlin yang telah memisahkan Jerman kominis dengan Jerman yang demokratik pada tahun 1989 dahulu berlaku dalam masa sebulan dua sahaja.

Di negara-negara Arab tidak ada parti-parti politik yang dibenar beroperasi secara halal pun boleh melakukan perubahan dengan cepat tetapi mereka melakukannya dengan cara berkonfrontasi yang merbahaya. Tetapi di negara kita, rakyat tidak perlu melakukan demonstrasi jalanan kerana kita mempunyai banyak parti-parti politik yang dihalalkan oleh perlembagaan negara dan rakyat hanya perlu memberikan undi kepada mereka melalui pilihanraya yang diadakan setiap 45 tahun sekali.

Rakyat tidak perlu berpenat lelah untuk berdemonstrasi dan melumpuhkan sistem kehidupan seharian kita. Walaupun begitu banyak kenyataan pemimpin-pemimpin kita membuat kenyataan untuk menyedapkan telinga dan hati sendiri, hakikatnya tetap yang BN di Sarawak tidak lagi sebuah ‘coalition’ yang semantap dahulu.

Penolakan rakyat semakin hari semakin jelas dan dengan adanya kesempatan untuk melakukan perubahan secara aman di negara ini maka kesempatan inilah yang memungkinkan BN kecundang dalam masa yang terdekat ini. Alasan untuk menolak kepimpinan BN oleh Taib ini adalah merupakan asas yang tidak lagi boleh dipersoalkan kebaikan niat pihak yang inginkan perubahan ini.

Dalam masa dan zaman ini mana-mana pemerintahan yang dikendalikan oleh seorang individu yang seperti pemerintahan sistem Raja dan Maharaja seperti di negara-negara Arab akan mendapat tentangan dari rakyat yang inginkan cara pemerintahan yang tidak rasuah yang menerbitkan sistem krnism yang begitu menebal. Di Sarawak elemen ini jelas kedapatannya.

Jika ada pihak yang serius yang melakukan pembelaan kepada rakyat maka isu penekanan Taib dan parti pemerintah terhadap rakyat dan siasah negeri itu, pihak itu akan mudah mendapat sokongan dan dukungan rakyat yang ramai.

Hanya yang perlu dilakukan oleh parti-parti pembangkang ini ialah untuk mendekati rakyat dengan waktu dan masa yang mencukupi untuk melakukan perubahan itu. Alasan untuk rakyat memberikan sokongan terhadap usaha mereka adalah kuat dan jika ada apa-apa perubahan di Sarawak, itu adalah perubahan yang akan membawa keabikan dan faedah kepada negeri dan rakyat negeri itu.

Kita perlu ingat, perubahan drastik dan cepat memang tidak mustahil untuk berlaku dan dialami dizaman sekarang ini. Perubahan memang tidak lagi mustahil.

No comments

Powered by Blogger.