PRU13: PAS optimis pengundi Melayu ‘kekal’ sokong Pakatan Rakyat

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


Yuhaizat Abdullah, 38, diumumkan sebagai bakal calon PAS bagi pilihan raya kecil DUN Merlimau malam ini. — Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 25 Feb — Dengan hanya bersandarkan sedikit harapan, pemimpin-pemimpin PAS optimis bahawa orang Melayu akan terus kekal memberikan sokongan kepada parti Islam itu dan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13.

Meskipun pemimpin-pemimpin PAS mengakui parti itu ketinggalan di belakang Umno dari segi sokongan orang Melayu, namun ia bukan alasan kuat bahawa Umno, parti Melayu terbesar, akan mendapat sokongan kuat selepas “tsunami politik” pada 2008.

Bagi memulihkan sokongan orang Melayu terhadap PAS satu konvensyen berteraskan Melayu telah diadakan pada Sabtu lalu dengan harapan ia akan memberikan satu impak yang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Harun Taib menafikan dakwaan bahawa PAS tidak mendapat sokongan daripada orang Melayu.

Sebaliknya Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata sokongan orang Melayu terhadap PAS tidak seramai orang Melayu yang berpihak kepada Umno.

“Kita tak gagal untuk dapatkan sokongan orang Melayu, kita dapat cuma tak ramai. Orang Melayu sekarang ada dua pilihan sama ada pilih PAS atau Umno, bila ada persaingan maka mereka kena buat pilihan.

“Yang datang ke PAS tidak ramai dan sebabkan kita tak menang pilihan raya, namun pada pilihan raya umum akan datang kita optimis akan dapat sokongan lebih besar dari orang Melayu,” katanya.

Jelas Harun, PAS masih gagal mendapat sokongan orang Melayu kerana kaum dominan itu tidak memahami dasar pejuangan PAS yang berjuang menegakkan Islam.

“Kita optimis, PAS selama ini berjuang berdasarkan Islam. Kita sejak ditubuhkan sentiasa berkembang dan kita terus maju ke depan.

“Kit tak dapat sokongan kerana orang Melayu tak faham dasar perjuangan PAS yang mana sistem pentadbiran negara memisahkan Islam daripada masyarakat.

“Kalau PAS menang, kita beri jaminan orang Melayu akan dapat pembelaan mengikut Islam,” katanya.

Sabtu lalu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS tidak akan mengetepikan kepentingan dan nasib orang Melayu sekiranya berjaya menguasai Putrajaya menerusi gandingan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat.

Justeru jelas beliau, walaupun parti Islam itu tidak memberi keutamaan terhadap perjuangan bangsa namun ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan orang Melayu yang merupakan masyarakat dominan negera ini.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan PAS pusat Idris Ahmad memberitahu, konvensyen Sabtu merupakan ruang untuk menjelaskan kekeliruan yang timbul ekoran tuduhan Umno terhadap parti Islam itu yang bergandingan dalam Pakatan Rakyat.

“Fokus kita adalah untuk menjelaskan kekeliruan rakyat yang selama ini anggap PAS menyertai Pakatan Rakyat seolah-olah meninggalkan perjuangan PAS Islam dan Melayu.

“Kita nak jelaskan kepada masyarakat yang mengkhianat kepada orang Melayu selama ini adalah Umno, yang mana Umno gunakan media massa seolah-olah PAS dan Pakatan Rakyat adalah pengkhianat bangsa... tindakan Umno macam dia pukul orang tapi dia sendiri yang menangis dan dia maki orang tapi kata orang maki dia,” katanya.

Beliau menegaskan PAS akan tetap berjuang berlandaskan Islam dan tidak akan sesekali menyimpang dari dasar perjuangan parti itu.

“Saya nak jelaskan PAS sertai Pakatan Rakyat bukan bererti PAS nak tinggalkan Islam dan pergi ke Melayu, apabila Islam selamat Melayu akan selamat, apabila Islam selamat Cina, India dan negara akan selamat.

“Kalau perkara ini dapat dijelaskan dengan betul kepada masyarakat, kita yakin akan dapat sokongan lebih pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Tambah Idris, PAS memberi jaminan akan tetap mempertahankan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Jaminan kita adalah mudah. Kita akan pertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kita juga akan bantu bangsa lain yang susah.

“Kita juga akan memberikan tumpuan kepada keperluan masyarakat termasuk ekonomi, mana yang memerlukan kita akan bantu,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa kerja PAS pusat Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata, konvensyen tersebut merupakan satu tawaran PAS kepada orang Melayu sekiranya Pakatan Rakyat merampas Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN).

“Konvensyen itu adalah satu tawaran PAS kepada orang Melayu bahawa PAS akan berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan termasuk mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

“Ia akan jadi satu semangat kepada PAS untuk membela orang Melayu yang mana kalau kita lihat era pemerintahan Barisan Nasional tidak berpandukan kepada perkara ini, isu yang membabitkan orang Melayu tidak berad di tahap yang memuaskan,” katanya.

Bercakap soal sokongan orang Melayu kepada PAS, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, parti Islam itu perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan sokongan sekiranya mahu merampas Putrajaya.

“Dalam konteks sokongan ia terbahagi kepada dua iaitu PAS dan Umno, keadaan ini perlu dilonjakkan supaya orang Melayu lebih ramai menyokong PAS.

“Orang Melayu harus ikuti perkembangan jika tidak mereka akan jadi satu ketidakupayaan, jadi orang Melayu perlu faham senario ini. Selain itu, PAS juga harus bekerja keras untuk yakin pengundi khususnya orang Melayu,” katanya.

Pakatan Rakyat dilihat berhadapan dengan situasi kemerosotan undi orang Melayu sejak Julai 2009 di mana pada pilihan raya kecil DUN Manek urai di Kelantan, yang pengundinya 99 peratus orang Melayu, PAS hanya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 65 undi berbanding 1,352 pada Mac 2008.

Sokongan orang Melayu dilihat terus mula memihak kepada BN dalam pilihan raya-pilihan raya kecil lalu, daripada tujuh kepada 10 peratus, sekali gus membolehkan perikatan kerajaan pusat itu merampas Hulu Selangor dan Galas daripada Pakatan Rakyat.

Dalam pilihan raya kecil terbaru di Tenang, Johor pula Pakatan Rakyat gagal untuk menerokai sokongan kalangan peneroka Felda, majoritinya orang Melayu, di mana BN menguasai lebih 83 peratus undi.

Esok adalah penamaan calon kerusi DUN Merlimau dan Kerdau di mana PAS mewakili Pakatan Rakyat.

No comments

Powered by Blogger.