Olahraga: “Ini untuk mu,Ibu” Kata Grace Xiu



Grace Xiu Mei perbaharui rekod Sukan SEA dengan balingan pertama sejauh 59.24m di Stadium Nasional Bukit Jalil.

BALINGAN pertama sejauh 59.24m oleh atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Xiu Mei, sudah cukup untuk memenangi emas dan memperbaharui rekod Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis (24 Ogos).

Rekod lama 56.57m dicatat oleh Mingkamon Koomphon dari Thailand pada Sukan SEA 2015 di Singapura di mana dia memenangi emas. Tetapi kali ini, Mingkamon hanya memenangi pingat perak dengan catatan 56.15m juga pada balingan pertama.

Seorang lagi atlet Thailand, Panwat Gimsrang (56.06m) meraih gangsa.

Grace mendedikasi pingat emas yang dimenangi itu kepada mendiang ibunya, Lina Awaru yang meninggal dunia pada April lepas kerana sakit.


“Ini untuk mu, ibu. Saya sangat merindui ibu,” kata Grace, yang kelihatan mengalirkan air mata ketika ditemubual sejurus selepas acara. Hasil kejayaan itu, Grace mendapat RM2,000, insentif daripada Persekutuan Olahraga Malaysia iaitu RM1,000 bagi emas yang diperolehi dan RM1,000 kerana memperbaharui rekod Sukan SEA.

Atlet berusia 17 tahun itu, yang memegang rekod kebangsaan 60.99m yang dicatat di Korea Selatan bulan April, kini berusaha untuk menempa lagi kejayaan dalam acara kesukaannya itu selepas bertukar sukan daripada melontar peluru kerana ketinggiannya.

Grace, yang lahir di Papua New Guinea, ialah anak saudara kepada bekas jaguh baling tukul besi Malaysia, Wong Tee Kui. Pada penampilan sulongnya di Sukan SEA 2015 di Singapura, Grace menang gangsa.

Dengan kejayaan Grace di Stadium Nasional Bukit Jalil, para atlet dari Sarawak telah melakukan double bagi baling tukul besi. Hari Rabu (23 Ogos), Jackie Wong Siew Cheer memenangi acara lelaki dan memperbaharui rekod kebangsaan dan Sukan SEA dengan jarak 65.34m.

Jurulatih Grace, Gu Yuan, bekas juara Asia dari China, telah menetapkan sasaran baru bagi atletnya iaitu jarak 62m dan percaya Grace mampu melakukannya.

“Ia dalam jangkauannya. Grace patut membaling 62m menjelang tahun depan. Saya yakin dengan memenangi emas Sukan SEA, ia akan menjadi perangsang untuk melakukannya. Dia kini banyak menunjukkan kebolehannya,” kata Gu Yuan, sambil menambah Sukan Asia menjadi sasaran seterusnya.

Grace, pelajar tingkatan empat Sekolah Sukan Bukit Jalil tidak dapat menahan kegembiraannya memenangi emas di hadapan bapanya, Wong Tee Ing, yang tiba dari Kuching untuk memberi sokongan.

Grace menang gangsa di Sukan SEA di Singapura dua tahun lalu dan merupakan atlet padang dan balapan yang paling muda untuk memenangi pingat di temasya dwi-tahunan itu.

Selepas memenangi emas hari ini, Grace berseloroh: “Sekarang saya boleh makan McDonald.”

No comments

Powered by Blogger.