Dakwat kekal: RM2.4 juta menjadi debu

Faisal Mustaffa

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong memberitahu umum bahawa 47,000 botol dakwat kekal yang dibeli untuk mempastikan tidak berlaku pengundian berganda dibakar pada Nov 25, 2009 kerana tarikh penggunaannya sudah luput.

Apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat keputusan untuk tidak menggunakannya pada pilihan raya umum ke-12 (PRU12) lalu, agensi itu sepatutnya mengambil sikap yang lebih proaktif dengan mencari alternatif bagi menyelamatkan pembelian tersebut yang berjumlah RM2.4 juta itu.

Sebenarnya, bermula daripada Mac 8, 2008, SPR mempunyai 20 bulan untuk mencari pembeli-pembeli berpotensi tetapi gagal berbuat demikian. Ataupun SPR boleh sahaja menggunakannya di lapan pilihan raya-pilihan raya kecil bagi membuktikan serius dalam menjalankan proses pilihan raya, namum mereka tetap gagal.

Mungkin alasan mereka sibuk.

Punca dakwat kekal tidak digunakan

Ketika disoal wartawan pada Jun 1, 2008 pengerusi SPR waktu itu Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu bahawa pihaknya terpaksa membatalkan penggunaan dakwat apabila Kabinet menolak syor yang dikemukakan bagi menjadikan ia sebagai peruntukan undang-undang ketika hari pengundian.

“Alasan paling utama berkaitan dengan peruntukan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan hak seseorang untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Jika SPR mengenepikan keputusan Kabinet, sebaliknya memutuskan untuk meneruskan rancangan untuk menggunakan dakwat kekal, jadi bermakna SPR mengambil risiko boleh didakwa melakukan sesuatu di luar bidang kuasanya dan sudah tentu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Kata beliau lagi, kabinet pada hari Parlimen dibubarkan menolak langkah SPR menggunakan dakwat khas atas dua alasan iaitu perundangan dan keselamatan.

Arahan jemaah menteri?

Pada Mei 17, 2008, pengerusi SPR itu telah mengeluarkan kenyataan yang berlainan dengan mengatakan bahawa beliau menerima arahan daripada kabinet untuk membatalkan rancangan untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal.

Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pula keesokan harinya memberitahu bahawa kabinet tidak mengarahkan SPR untuk membatalkan rancangan untuk menggunakan dakwat kekal pada PRU12 tetapi hanya mencadangkan sedemikian.

Menurut jawapan yang dikemukakan kepada Perdana Menteri di Parlimen pada 7 Julai, Jemaah Menteri tidak pernah mengarah pengerusi SPR untuk berbuat demikian; oleh itu kenyataan pengerusi SPR dirasakan adalah kurang tepat. Aku terus membuat konklusi sendiri bahawa Abdul Rashid telah berbohong secara sedar. Tak mungkin beliau tidak mengetahui perkara sebegini penting.

Ada laporan polis?

Ketua Polis Negara mendakwa bahawa terdapat laporan-laporan polis dibuat di Kelantan, Perlis dan Kedah di antara Februari 16-21, 2008, dan polis telah menjalankan siasatan.

Menurut Abdul Rashid, SPR terpaksa membatalkan cadangan itu setelah mengambil kira laporan keselamatan yang mereka terima. Laporan keselamatan mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu di Malaysia yang telah membeli dakwat tersebut di luar negara.

Pihak tersebut dikatakan merancang untuk mencalitkan dakwat itu pada kuku pengundi di kawasan luar bandar bagi menimbulkan kekeliruan dan syak wasangka mengenai status pengundi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Musa Hassan yang turut bersama-sama dalam sidang akhbar bagi membatalkan penggunaan dakwat kekal berkata bahawa polis sedang menyiasat empat kes membabitkan empat orang individu berlainan yang disyaki cuba melakukan penipuan dakwat kekal.

Keempat-empat lelaki berkenaan, yang bekerja sendiri dan berusia 20 hingga 33 tahun, sedang disiasat.

“Modus operandi mereka ialah pergi ke kampung-kampung untuk mencalitkan dakwat pada kuku pengundi dan mereka memberitahu pengundi kononnya tanpa dakwat itu mereka tidak boleh mengundi.

“(Maklumat) ini diberikan kepada saya secara hitam putih oleh polis dan laporan yang sama diberikan kepada kabinet dan mereka (kabinet) percaya ia memang benar-benar wujud,” kata Rashid.

Tetapi ia bercanggah dengan jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Menteri Dalam Negeri Syed Hamid Syed Jaafar Albar ketika menjawab soalan Parlimen wakil Batu Gajah Fong Poh Kuan pada 5 Mei 2008. Syed Hamid mengesahkan bahawa sebenarnya tiada sebarang bukti berkenaan penyeludupan dakwat kekal dari negara jiran seperti yang didakwa oleh Abdul Rashid.

Alasan lain

Perdana Menteri juga memberitahu di Parlimen bahawa selain daripada itu, ejen-ejen mengundi juga sudah tentu akan membantah mereka yang sudah dicalit dakwat kekal di atas jari kuku masing-masing daripada cubaan mengundi kali kedua. Apa yang berlaku ialah mereka telah diperdayakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jika ketegangan di antara pengundi dan ejen-ejen mengundi berlaku di saluran mengundi di seluruh negara, pihak polis sudah memaklumkan kepada SPR bahawa mereka tidak mampu untuk mengawal ketegangan yang mungkin berlaku sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam pada hari mengundi. Justeru itu, pihak polis telah menasihatkan SPR supaya menarik balik cadangan penggunaan.

Saya, bagi pihak Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah membuat laporan polis berkenaan hal demikian di balai polis Dang Wangi pada Mei 23, 2008 bersama teman dari National Institute For Electoral Integrity (NIEI) di mana kami mencadangkan mungkin terdapat komplot di antara pengerusi SPR, Perdana Menteri, Peguam Negara dan Ketua Polis Negara.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara dan pengerusi SPR bahawa terdapat laporan polis berkaitan dengan penyeludupan dakwat kekal dari negara jiran juga tidak betul. Malah, pihak polis mengesahkan tidak menemui sebarang bukti adanya mana-mana pihak yang telah membawa masuk dakwat kekal bagi usaha mensabotaj ketelusan perjalanan PRU12 lalu.

Menurut jawapan Syed Hamid ketika menjawab soalan Fong, sebenarnya tidak ada laporan polis dibuat dan maklumat mengenai penyeludupan dakwat kekal itu hanya berdasarkan khabar angin (hearsay).

Sekiranya kita menurut kenyataan Menteri Dalam Negeri, kenyataan tersebut telah bercanggah dengan Perdana Menteri (kedua-duanya melalui kenyataan Parlimen) kerana menurut Perdana Menteri berkata pihak PDRM telah menerima empat laporan berasingan tentang rancangan untuk sabotaj proses pilihanraya dengan menggunakan dakwat kekal di Perlis, Kedah dan Kelantan.

Sekiranya kita menurut laporan polis, tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420/511, Kanun Keseksaan oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang mana laporan polis dibuat oleh beberapa individu yang bimbang dengan penggunaan dakwat tersebut. Mereka mendakwa dakwat berkenaan kononnya boleh diperolehi secara mudah di negari Thai dan bimbang ada pihak-pihak yang berkepentingan akan menyalahgunakan dakwat tersebut.

Ternyata sudah terbukti tidak ada penyelewengan pun berlaku. Sekiranya laporan polis itu sengaja diadakan oleh pihak tertentu, mengapa tidak ada sebarang pendakwaan ke atas pihak yang membuat laporan palsu?

Jadi, apakah nasib kita pada masa hadapan; mempunyai SPR yang bacul dan sanggup dicucuk hidung mereka atas kepentingan politik pihak tertentu?

No comments

Powered by Blogger.