GST, kerajaan perlu jelaskan kepada rakyat

Oleh Ahmad Qayyum

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal dilaksanakan 18 bulan selepas bacaan kali kedua Rang Undang-undang GST, Mac tahun depan memerlukan penjelasan secara terperinci kepada rakyat.

Pengerusi Lujnah Ekonomi dan Pembangunan Pas Parit Buntar, Dr. Abd Rahman Bakar berkata, rata-rata rakyat masih keliru mengenai pelaksanaan GST kerana berkemungkinan GST memberi kesan cukup ketara kepada golongan miskin.

Beliau berkata, setiap nilai cukai yang dikeluarkan memberi kesan besar kepada kewangan mereka dan jika GST mahu benar-benar dilaksanakan, bagaimana rakyat mahu teruskan kehidupan.



“Permasalahan inilah yang menjadi kemusykilan dan kebimbangan rakyat terhadap tindakan kerajaan ini.

“Pelaksanaan GST ini semestinya memberi bebanan kepada rakyat kerana perlu membayara pelbagai cukai lain,”katanya ketika dihubungi FreeMalaysiaToday, di sini, hari ini.

Abd Rahman berkata, memanglah Perdana Menteri memberi jaminan bahawa GST tidak akan membebankan rakyat kerana hanya 4 peratus sahaja dikenakan kepada rakyat.
Katanya, mungkin pada permulaan ini, ia hanya 4 peratus tetapi kadar berkenaan akan dinaikkan secara berperingkat-peringkat.

“Faktor inilah yang menimbulkan kebimbangan serta kerisauan rakyat kerana realitinya mereka terpaksa melaluinya juga.”

“Perdana Menteri memberi jaminan pelaksanaan cukai GST tidak membebankan rakyat kerana pengecualian diberikan bagi barangan keperluan,”ujarnya.

Tegasnya lagi, antara barangan keperluan tersebut termasuklah beras, sayuran, tepung dan gula, namun persoalannya adakah rakyat hanya makan beras, sayuran, tepung serta gula sahaja, bagaimana dengan barangan keperluan harian lain, sudah tentu ia akan naik harga.

“Begitu juga dengan perkhidmatan, sudah tentu caj perkhidmatan tertentu akan naik dan membebankan rakyat.

“Kerajaan sehingga hari ini gagal memberikan alasan konkrit mengapa GST ini hendak dilaksanakan, adakah ia dapat membantu Malaysia mengatasi penurunan dalam hasil cukai atau kerajaan sedang berhadapan dengan masalah kewangan,”katanya.

Sementara itu, Pas Parit Buntar menyokong usaha Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Pasukan Khas AntiGST bagi mengekang usaha kerajaan yang bercadang memperkenalkan GST.

Ketua Penerangan Pas Parit Buntar, Fakhrurrazi Khalid berkata, pasukan khas itu mampu berperanan merangka satu pelan jangka pendek dan pertengahan untuk mengekang pelaksanaan GST.

“ Di samping itu, pasukan itu akan turut memaklumkan dan menyedarkan rakyat mengenai kesan pelaksanaan cukai tersebut daripada semua aspek,”katanya.

No comments

Powered by Blogger.