Konsep ras sudah lapuk ditelan zaman

Written by Jayanath Appudurai
Wednesday, 30 December 2009 21:00

Sejak kebelakangan ini, isu rasisme atau prasangka perkauman lebih kerap diungkitkan.

Mantan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dituduh bersifat‘racist’, isi kandungan kursus Biro Tata Negara dipertikaikan dan pengarang Utusan Malaysia Zaini Hassan telah menulis, “India tetap India … itulah budaya mereka. Kecoh, kecoh dan kecoh”, dan disusuli dengan kesimpulannya bahawa “Di Malaysia hanya orang India yang pandai-pandai sahaja yang sering buat bising”.

Selain itu, beberapa laporan polis dibuat terhadap Ahli Parlimen N. Kulasegaran kerana “beliau tidak faham mengapa setelah bertahun lamanya masih ada kelompok manusia percaya kepada warna kulit atau penampilan yang lebih tinggi daripada satu kaum lain”.

Dalam pada itu, Zaini pun bertanya: “Dia tahukah apa yang dia cakap? Tapi yang pasti kenyataannya itu cukup sensitif dan akan membuat kumpulan lain (Melayu) marah.”

Pertikaman lidah sebegini hanya menonjolkan betapa ceteknya pengetahuan masyarakat umum mengenai konsep ras yang berunsurkan kepercayaan wujudnya sifat-sifat kaum yang ketara.

Bagi mereka ini, penentuan ras berdasarkan penanda fizikal sesuatu kaum, iaitu warna kulit, tekstur rambut, bentuk mata dan hidung. Mereka menganggap setiap kaum mempunyai warisan genetik eksklusif yang seterusnya mempengaruhi kelakuan semulajadi atau tabii sesuatu kaum itu.

Mereka juga menganggap amalan kebudayaan ada kaitannya dengan genetik, malahan ‘perbezaan’ antara kaum adalah sesuatu yang kekal dan mendalam.

Berpunca daripada tanggapan menyeleweng sedemikian, ada sesebuah masyarakat yang mengamalkan sistem sosial, pentadbiran dan perundangan berdasarkan kaum. Sekiranya kita berhasrat membangun negara kita sebagai masyarakat bertamadun, kita hendaklah terlebih dahulu mengikis tanggapan rasisme yang ketinggalan zaman.

DNA 101

Dalam abad ke-18, pengelasan kaum manusia menjadi tumpuan siasatan oleh para ahli sains kajihayat. Mereka telah cuba untuk mengkategorikan kumpulan manusia berlandaskan pola-pola perbezaan biologi, iaitu warna kulit, ilmu firasat dan geografi.

Seorang doktor Sweden Carolus Linnaeus (yang membentuk sistem mengklasifikasikan tumbuh-tumbuhan dan haiwan) membahagikan manusia kepada empat ‘subspesies’ iaitu orang asal Amerika, dan orang-orang Eropah, Asia dan Afrika.

Pada 1795, ahli sains Jerman Johann Friedrich Blumenbach mencadangkan supaya manusia digolongkan kepada lima bangsa, iaitu Caucasian, Negro atau Ethiopian, American, Mongolian dan Malayan.

Pada 1960, Carleton Coon, seorang pakar antropologi Amerika memperkenalkan istilah Australoid, Capoid, Caucasoid, Congoid and Mongoloid – yang mana masing-masing berkembang daripada asal-usul berasingan.

Namun demikian, mulai tahun 1990-an, satu usaha penyelidikan antarabangsa projek Genome Manusia telah mengenalpasti jujukan genome yang mengandungi lebih kurang 3 bilion pasangan induk DNA [DNA base pairs].

Hampir semua DNA kita — lebih daripada 99% daripada tiga bilion ‘letters’ yang membentuk genome manusia — adalah sama untuk setiap insan! Perbezaan unik kurang 1%.

Keserupaan DNA dua orang adik-beradik adalah lebih daripada 99% dan keserupaan sepasang kembar lebih dekat lagi. Namun setiap individu mempunyai DNA yang cukup unik berasaskan 1% perbezaan yang disebutkan tadi.

Tiada kaum tulen

Dengan kata lain, apakah satu spesies manusia boleh dianggap sebagai ‘kaum tulen’?

Genome manusia bukan terikat kepada mana-mana takrifan semasa atau konsep rekaan kita mengenai ras. Pakar genetik tidak pernah menjumpai jujukan genome yang 100% wujud dalam sesuatu kaum atau khasnya dalam satu kumpulan ethnik sahaja.

Kebanyakan variasi genetik adalah dalam [intra] sesuatu kaum itu sendiri dan bukannya di antara [inter] kaum-kaum yang berlainan. Memang terdapat banyak variasi genetik dalam manusia tetapi ianya pada peringkat individu.

Tidak kira orang Itali, Korea atau Malaysia, 85% variasi genetik akan wujud dalam kumpulan penduduk tempatan di mana-mana jua. Andaikata satu perang nuklear menghapuskan semua umat manusia kecuali orang Melayu di Malaysia, maka mereka yang hidup akan tetap mempamerkan 85% variasi genetik ini.

Ini bermakna dua orang Melayu yang dipilih secara rawak tetap berbeza secara genetik seperti bezanya seorang Melayu dengan seorang India, Cina, Kadazan atau Iban.

Apa di bawah kulit

Kajian mengenai kumpulan darah menunjukkan bahawa secara purata, 85.4% variasi wujud di peringkat tempatan dan hanya 6.3% di antara kaum. Akan tetapi, jikalau betul kita semua berasal daripada spesies tunggal, mengapakah kita memperlihatkan perbezaan fizikal?

Sebenarnya sifat fizikal dipengaruhi oleh gen-gen yang berbeza. Gen yang mempengaruhi warna kulit tidak ada sangkut-paut dengan gen yang mempengaruhi warna rambut dan mata, atau dengan kumpulan darah. Gen-gen ini bukan boleh dikumpulkan kepada beberapa ‘bungkusan’ yang membolehkan kita mengkategori kaum.

Adakah anda mampu menentukan warna mata seseorang daripada ukuran ketinggian individu itu? Ataupun mengetahui kumpulan darah seseorang daripada bentuk rupa dan warna matanya?

Variasi genetik yang mempengaruhi warna kulit dan raut muka melibatkan hanya 100 daripada 3,000,000,000 pasangan induk DNA. Ia sebenarnya satu nisbah yang remeh.

Asal-usul manusia di Afrika

Memang kita semua menampakkan perbezaan fizikal tetapi ianya lebih tepat dikaitkan dengan keturunan [ancestry].

Perbezaan ini akibat penyesuaian manusia kepada persekitaran ekstrim ekoran peristiwa penghijrahan pertama bersejarah manusia ‘keluar dari Afrika’. Sebagai contoh, kulit putih telah terpilih apabila manusia bergerak ke arah utara. Kulit putih merupakan adaptasi untuk memudahkan pencernaan vitamin D di daerah Europah yang kurang cahaya matahari.

Pemilihan semulajadi [natural selection] menyebabkan ciri-ciri fizikal manusia menyimpang. Penanda-penanda visual seperti warna kulit, tekstur rambut dan pola-pola muka berubah sebagai tindakbalas kepada persekitaran alam.

Satu lagi faktor ialah pilihan kelompak sebudaya. Semasa manusia berhijrah dari Afrika dalam kumpulan-kumpulan kecil, mereka terpaksa mengeratkan hubungan dalam kelompoknya sendiri. Hasilnya timbul variasi genetik yang mempengaruhi sifat-sifat fizikal, yang kemudiannya terus kekal dan disetempatkan [localized] dalam kumpulan berkenaan.

Dalam zaman ini pun, seorang lelaki Cina Malaysia berkemungkinan besar akan memilih wanita Cina Malaysia sebagai pasangannya. Begitu juga orang Kadazan, Iban, Melayu, India dan sebagainya. Akan tetapi apabila penghijrahan berlaku, kahwin campur mengakibatkan variasi genetik.

Masalah sebenar ialah persepsi

Kita sepatutnya lebih berhati-hati supaya tidak mudah mengunakan wajah muka bagi mengolongkan sesuatu kaum. Walaupun di kalangan mereka yang serumpun, ada individu mempunyai hidung lebih lebar atau tinggi, warna kulit lebih cerah atau gelap.

Kesimpulannya, sains genetik abad ke-21 telah membuktikan bahawa:

* Manusia berasal daripada satu spesies tunggal dan berkongsi keturunan;
* DNA setiap insan adalah unik;
* Tidakpun genome manusia yang mengasingkan atau menentukan sesuatu kaum tulen; dan
* Kepercayaan bahawa sebilangan genome manusia menjadikan sesuatu kaum itu lebih istimewa berbanding kaum lain tidak berasas.

Akan tetapi, segelintir masyarakat akan tetap mengamalkan prasangka kaum. Anak-anak kita mula diajar untuk mengenali kaum dari umur tiga atau empat tahun sehinggalah sikap perkauman menjadi realiti hidup di Malaysia.

Kita wajar mendidik diri sendiri supaya melangkaui kejahilan ini. Memahami asal-usul spesies manusia adalah langkah permulaan.

Rujukan:

1. Steven Olson (2003): Mapping Human History: Genes, Race, and Our Common Origins, Penguin Books, New York
2. Spencer Wells (2002): The Journey of Man: A Genetic Odyssey, Penguin Books, London
3. Luigi Luca Cavalli-Sfora (2001): Genes, Peoples and Languages, Penguin Books, London

No comments

Powered by Blogger.