Pengundi PP mahu Lim Guan Eng

Rata-rata pengundi Cina Pulau Pinang mahu agar kerajaan kepimpinan Lim Guan Eng diberi masa sekurang-kurangnya tiga penggal untuk melakukan perubahan.

Begitu juga dengan pengundi pelbagai keturunan di Pulau Mutiara itu.

Jika Pakatan Rakyat Pulau Pinang dapat membuktikan keupayaan dan janji-janji mereka, nescaya pengundi akan terus memberikan sokongan untuk PR memerintah selamanya.

Itu seperti yang diberitahu oleh beberapa bekas pemimpin MCA Sungai Petani kepada saya.

Kata mereka lagi, dahulu akhbar Cina memainkan sentimen bahawa PAS tidak boleh dipercayai, akan melaksana undang-undang Islam, melarang penjualan babi dan arak serta pelbagai lagi.

Kini masyarakat Tiong Hua sudah tidak mempercayai dakyah akhbar-akhbar berkenaan kerana kaum kerabat mereka sudah ada pengalaman manis di negeri Kelantan.

Mereka membawa saya melihat pondok Rukun Tetangga dan Gelanggang Futsal di belakang Central Square Sungai Petani tempat yang pernah kaum Cina menyambut Chap Goh Me dan acara Tahun Baru Cina.

"Sekarang kita tidak boleh membuat apa-apa sambutan di sini. Adakah ini mungkin angkara pihak berkuasa tempatan yang adakalanya tidak sehaluan dengan kerajaan negeri ?" tanya mereka.

Isu tempat sembelihan babi, rumah mayat, perkuburan Hindu dan beberapa isu lain di Kedah masih boleh ditelan oleh masyarakat bukan Islam dengan perkiraan bahawa pihak PBT tidak sehaluan dengan kerajaan negeri.

Seorang Exco Kerajaan memaklumkan bahawa projek di belakang Central Square tersebut bukan di dalam bidang kuasa kerajaan negeri tetapi di bawah peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Kedah perlu memberikan penerangan tepat tentang perkara ini supaya mereka juga menerima peluang memerintah bukan sahaja selama satu atau dua penggal tetapi untuk selamanya seperti mana masyarakat pengundi Pulau Pinang berjanji untuk berbuat demikian terhadap Lim Guan Eng.

No comments

Powered by Blogger.