30,0000 Orang Banjiri Bon Odori Kuala Lumpur 2009

KUALA LUMPUR, 18 Julai - Festival Bon Odori 2009 kali ke-33 hari ini, diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong.

Festival anjuran Japan Club of KL Bon Odori ini bermula jam 7.30 malam dengan persembahan kebudayaan masyarakat Jepun di Kompleks Sukan Panasonic, Seksyen 21, Shah Alam.

Persembahan yang mendapat sambutan masyarakat tempatan ini sudah bermula sejak 33 tahun lalu di Negara ini dan merupakan satu medium memperkenalkan adat dan budaya Negara matahari terbit itu.

Menurut Pengurus Besar Sumitomo Corporation merangkap ahli persatuan Japan Club of KL Bon Obori,Issei Mochizuki,festival ini merupakan satu cara yang bagus untuk memperkenalkan budaya Jepun di Malaysia selain mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang terjalin.

Kira-kira 30,000 orang membanjiri perkarangan stadium itu sejak jam 5 petang lagi. Malah orang ramai serta Tan Sri Khalid turut memakai Yukata iaitu pakaian kimono musim panas masyarakat jepun.

Kemuncak Festival itu ialah Bon Odori atau “Bon Dance”,iaitu tarian masyarakat Jepun yang sememangnya menjadi tradisi setiap kali festival ini dirayakan.

Tarian yang diiringi dengan paluan gendang dan alunan muzik traditional jepun dilakukan secara beramai ramai mengelilingi Yagura, iaitu pentas utama yang menempatkan peralatan muzik.

Selain itu, pelbagai makanan Jepun turut dijual kepada pengunjung, antaranya Kaki Gori iaitu ais kacang jepun, Oni Giri - gumpalan nasi jepun dan pelbagai lagi hidangan tradisi masyarakat Jepun.

Bon Odori merupakan satu festival di Jepun yang diraikan bagi menghormati dan memperingati ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Mengikut kepercayaan masyarakat Jepun, roh-roh si mati akan pulang ke rumah untuk menziarahi keluarga mereka yang masih hidup.

Festival musim panas ini juga merupakan perayaan tahunan di Negara Jepun, dan lazimnya mereka berkumpul bersama ahli keluarga pada hari ke-15, bulan ketujuh mengikut kalender lunar.

Perayaan yang disambut diMalaysia ini sememangnya merupakan satu wadah yang baik bagi pertukaran budaya antara dua Negara yang telah bersahabat selama lebih daripada 50 tahun.-TV SELANGOR

No comments

Powered by Blogger.