Adakah PBB peduli kemelut Asean secara keseluruhan?

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah meminta Malaysia memainkan peranannya dalam Asean dalam usaha menyelesaikan kemelut di Myanmar membabitkan pembebasan penahanan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi. Iklan



Perdana Menteri Najib Razak berkata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon dalam pertemuan dua hala dengannya baru-baru ini bersempena Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Ke-15 telah membuat mengemukakan permintaan itu.

Najib berkata Ban menyatakan keraguan PBB ke atas pemulihan demokrasi di Myanmar dan sama ada pemimpin negara terbabit komited terhadap usaha berkenaan.

Dalam lawatan ke Yangon baru-baru ini, kata Najib, Ban menyatakan kepada beliau bahawa PBB masih gagal mendapatkan ikrar daripada Myanmar berhubung pembebasan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi itu.

"Myanmar juga gagal memberi komitmen terhadap langkah pembebasan ramai lagi tahanan politik di negara berkenaan," kata Najib lagi sambil menegaskan bahawa Kuala Lumpur akan cuba menggunakan Asean bagi memulihkan demokrasi di Myanmar dengan penglibatan negara serantau.

Tambah Najib, ARF (Forum Serantau Asean) yang akan datang dapat menjadi wadah rasmi atau tidak rasmi bagi menyampaikan pesanan ke atas pemimpin Myanmar mengenai hal tahanan politik itu.

"Seperti juga PBB, adalah menjadi hasrat kita dan rakan negara Asean lain untuk membantu menjayakan proses demokrasi di Myanmar dapat berjalan lancar demi kebaikan bersama," katanya.

Tapi, adakah PBB sedar beberapa perkara tentang Asean dan Malaysia? Antara alasan, kenapa negara enggan terlibat dalam beberapa kemelut di Asean ialah kerana wujudnya suatu peraturan; jangan masuk campur dalam hal ehwal dan urusan negara lain khasnya dalam Asean.

Bagaimana PBB mahu berdepan dengan sikap negara yang enggan campurtangan dengan tujuan menyelesaikan beberapa kemelut di Nusantara ini?

Mutakhir ini, ada perkembangan yang baik sehingga ramai negara anggota Asean makin berani menyuarakan bantahan terbuka beramai-ramai ke atas isu Myanmar ini.

Mungkin, kesan inilah yang menyebabkan Malaysia semakin berani maju ke depan, menyatakan bantahan dalam isu Myanmar itu.

Sebenarnya, wilayah Asean ini masih bergelut dengan banyak isu-isu yang boleh dibincangkan dan bukan terhad kepada isu Myanmar sahaja.

Misalnya, isu melibatkan penganiayaan ke atas penduduk Muslim di Selatan Thai, Melayu Moro di selatan Filipina. Apakah hal seumpama itu mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak PBB?

Sebenarnya, Malaysia pernah didesak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) untuk meneliti kes Muslim di Selatan Thai. Apa yang mengecewakan, bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri ketika itu Dr Rais Yatim berhujah bahawa prinsip Asean ialah negara anggota pertubuhan itu tidak akan mencampuri urusan dalam negara masing-masing.

Kalau demikian, kenapa harus ada 'double standard' dalam hal Myanmar? Kenapa dalam hal Myanmar, Malaysia digesa campur tangan walhal dalam isu selatan Thai misalnya, kita mengambil sikap berdiam diri atas alasan enggan mencampuri urusan dalaman negara lain?

Rasa-rasanya prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara-negara anggota Asean ini perlu dinilai semula dan ditakrif semula mengenai hadnya. Apakah sehingga keadaan kezaliman berlaku, pembunuhan berlaku kepada saudara Muslimin sendiri, kita mesti mengambil sikap enggan campur tangan?

Kedudukan PULO dalam PBB

Salah seorang wakil tertinggi dalam Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (Pulo) Kasturi Mahkota telah mengirim sepucuk surat bertarikh 15 September, 2005 kepada mantan Setiausaha Agung PBB Kofi Annan mengenai tekanan yang pernah dihadapi oleh masyarakat Melayu Muslim di Selatan Thai itu.

An Appeal from Patani

15 September 2005

Mr. Kofi Annan
The Secretary General of
The United Nations
1st ave. and 46th street
New York, NY 10017 USA

On the occasion of the 60 year UN commemoration today, we, the Foreign Affairs Department of the Patani United Liberation Organisation (PULO) which is struggling for the rights of the people of the five Malay southern provinces of Thailand, formerly known as the Malay Kingdom of Patani, are to complain the persistent committing of serious human rights violations, including widespread instances of extra-judicial killings and ill treatment by the Kingdom of Thailand towards the Malays, to your United Nations Security Council that we, the Malays, are being harassed, tortured and ill-treated and Thailand has not kept its obligations as its representative's explanation before the UN Human Rights Committee on implementation of the provisions of the International Covenant on Civil and Political Rights on 29 July 2005.

Maka, sejak 2005 sudah ada tindakan di pihak Pulo untuk meminta masyarakat antarabangsa mencampuri urusan mereka. Tapi hingga kini, kita cuma mendengar Malaysia bersungguh-sungguh ingin masuk campur dalam urusan Myanmar atas desakan PBB. Sikap PBB ke atas isu selatan Thai di peringkat Asean ini masih samar-samar.

Pulo, melalui Ketua Jabatan Luarnya Kasturi Mahkota telah memmbawa delegasi untuk mengadakan pertemuan bersama Prof Ekmelleddin Ihsan Oglu, Setiausaha Agong OIC dan beberapa pegawai kanan pertubuhan itu ketika berlangsung Persidangan Menteri-Menteri Luar Negara Islam ke-36 itu antara 23 sehingga 25 Mei lalu.

Hal ini membuktikan bahawa, usaha-usaha di pihak Pulo memang giat dijalankan. Sementara itu, OIC pernah cuba berusaha memastikan isu ini menambat perhatian Malaysia, tetapi sikap negara kita tidak begitu jelas berbanding isu Myanmar.

Apakah kerana wujudnya desakan PBB, maka barulah Najib akan mengambil sikap tegasnya? Atau, soalan yang lebih penting dan utama, apakah PBB dan mengambil sikap tegas ke atas masalah yang melibatkan wilayah Muslim di Asean?

Pihak Kedutaan Thailand masih berdiam?

Jumaat lalu, sekumpulan mahasiswa, sekitar 200 orang telah berhimpun di depan Kedutaan Thailand untuk menuntut jawapan terhadap pembunuhan kejam di Kg Air Tempayan Narathiwat. Akhbar melaporkan, sekitar 8 orang siswa ditangkap disebabkan perhimpunan tersebut.

Apa yang menarik, ialah kumpulan pelajar itu telah menyeru agar pihak kedutaan tampil menjelaskan hal insiden tersebut dalam tempoh tiga hari. Bagaimanapun, kumpulan siswa tersebut tidak pula menjelaskan 'ugutan' tentang apakah yang akan berlaku sekiranya pihak kedutaan gagal berbuat demikian dalam tempoh yang mereka berikan itu.

Pada 20 Julai, Kedutaan Thailand sepatutnya hadir memberi penjelasan tentang pembunuhan di Kg Air Tempayan Narathiwat. Tapi, oleh kerana pihak mahasiswa tidak mengingatkan pihak kedutaan sekali lagi, maka isu tersebut mungkin akan terus dilupakan begitu sahaja.

Persoalan-persoalan berbentuk desakan seperti bolehkah Malaysia meminta PBB dan OIC mengizinkan agar diwujudkan tenaga pakatan ketenteraan, tentera pengaman PBB atau diwujudkan tentera pengaman OIC bagi mengatasi masalah itu adalah suatu hal yang sentiasa boleh didebatkan jika ada kemahuan di pihak Malaysia sendiri.

Bersetuju atau tidak dengan lain-lain cadangan yang bersifat radikal itu, ruang itu sentiasa ada untuk kita debatkan. Pasukan pelobi, golongan pendesak sama ada dalam kalangan siswa ataupun NGO hendaklah sentiasa aktif memainkan peranan mereka dalam hal ini.

12:30 p.m, 20 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru

No comments

Powered by Blogger.