Bunuh Diri Atau Dibunuh?

Berita yang menggemparkan satu Malaysia. Rakyat didahulukan. Prestasi SPRM diutamakan. ADUN DAP sasaran tepat. Wayang Pak Dalang baru bermula, tetapi satu wataknya telah terkorban.

Dahulu kita hanya mendengar kes kematian dalam tahanan polis atau lokap, tetapi kali ini kematian “misteri” di bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Ini sesuatu yang luar biasa.

Teo Beng Hock, 30, Setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, terbunuh selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat SPRM Selangor di Shah Alam.

Mayat Teo ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut. Sewaktu ditemui, mendiang berbaju biru bersama kot hitam dan seluar putih.

Semalam Teo dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Shukri Abdull memberitahu bahawa mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini.

Pejabat Ean telah diserbu SPRM semalam di mana sebuah komputer riba milik Teo dan sebuah komputer meja telah dirampas.

SPRM juga menyerbu pejabat ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San.

Selain Ean dan Lau, lima lagi wakil rakyat Pakatan turut disiasat, iaitu Teresa Kok (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama) and Edward Lee (Bukit Gasing).

Wakil rakyat Pakatan Selangor masing-masing diberi RM500,000 setahun untuk membiayai program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. SPRM mendakwa dana tersebut telah disalahguna.

Kematian Teo pasti menimbulkan pelbagai spekulasi. Maklumlah Teo orang DAP, manakala SPRM badan kerajaan. Seperti diketahui umum DAP dengan kerajaan BN bagai anjing dengan kucing. Pantang berjumpa pasti bercakaran. Walaupun SPRM dikatakan badan bebas, namun kebebasannya diragui. Pihak pembangkang melihat SPRM sebagai boneka BN. Oleh itu, munasabah sekiranya kematian Teo dianggap misteri dan luar biasa.

Teo membunuh diri? Kenapa dia membunuh diri? Apakah dia tidak sanggup berhadapan dengan realiti kes yang dihadapinya? Kes baru disiasat, dan terlalu awal untuk “lepas tangan” dengan membunuh diri. Atau dia didera sewaktu siasatan? Mustahil. SPRM bukannya anggota polis. SPRM badan profesional yang tidak akan menggunakan kekerasan. Habis, dia tergelincir lalu jatuh bangunan? Ini pun tidak masuk akal. Dia dibunuh? Ini lagi tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, sedikit sebanyak kematian Teo ada kaitan dengan SPRM kerana dia mati selepas disiasat.

Saya bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz yang meminta semua pihak, termasuk DAP agar bersabar menunggu siasatan selesai. Menuding jari tidak mampu menyelesaikan kemusykilan. Tuduh-menuduh makin mengeruhkan keadaan. Namun, mampukah pihak-pihak yang terbabit bersabar dan berdiam diri sehingga siasatan selesai yang entah bila.

Kematian Kugan sehingga kini belum mampu memuaskan hati semua pihak yang ada kaitan. Sekarang kematian Teo pula menyusul. Rakyat amat berharap kerajaan akan melakukan siasatan dengan cekap dan adil. Sekiranya kerajaan gagal meyakinkan rakyat bahawa Teo benar-benar membunuh diri, keyakinan rakyat kepada BN yang dikatakan pulih akan kembali merosot.

(Sumber fakta: Malaysiakini)

No comments

Powered by Blogger.