Dakwa Rakyat Kelantan Hidup Dalam Kemunduran : Pemuda Pas Kesal Kenyataan Shahrizat
KOTA BHARU – Pemuda Pas Kelantan kesal dengan kenyataan Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengenai rakyat kelantan yang hidup dalam kemunduran dan kemiskinan sejak 20 tahun lalu.
Naib Ketuanya, Hisham Fauzi berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu didakwa tidak bercakap berdasarkan fakta yang sebenar dan sepatutnya membuat semakan dahulu dengan jabatan berkaitan negeri mana termiskin di Negara ini.
“Jika di bawah pembangkang akan jadi miskin dan papa kedana adalah satu fahaman lapuk yang sudah lama rakyat Kelantan tidak mempercayainya.
Beliau juga berkata, Manek Urai mundur tanpa disedari antara 2004 hingga 2008 DUN Manek Urai di bawah Barisan Nasional. Sepanjang tempoh itu adakah Manek Urai menjadi maju sekejap dan kemudian mundur semula selepas Pas menang pada Mac 2008,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Ketua Pemuda Pas Tanah Merah itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Shahrizat pada muka depan akhbar ini kelmarin mengenai keadaan Kelantan yang masih mundur dan tahap kemiskinan tegar masih membelenggu penduduk.
Menurutnya, dalam keadaan kemampuan kerajaan negeri tetap menjaga kebajikan rakyatnya termasuk melalui program Takaful Kifalah, Ladang Rakyat, Rumah Dhu’afat, Takaful Armalah dan sebagainya.
Katanya, jika beliau ikhlas hendak melihat Kelantan maju seperti Selangor atau Kuala Lumpur, pihaknya mencabar menteri terbabit menyatakan sokongan terbuka terhadap tuntutan royalti minyak oleh Kelantan kepada Kerajaan Pusat.
“Jika Kerajaan Persekutuan membayar wang royalti tersebut, sudah tentu wang tersebut boleh digunakan untuk mambangunkan Kelantan dengan lebih pesat lagi dan lebih banyak program kebajikan untuk rakyat Kelantan dapat ditawarkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan pula berkata, tiada sebab kerajaan Kelantan membuat tuntutam pembayaran wang royalti minyak daripada Kerajaan Pusat.
“Ini kerana kawasan-kawasan yang disebut sebagai kawasan pengeluaran minyak seperti dakwaan Pas sebenarnya kawasan bertindih antara tiga Negara iaitu Malaysia, Thailand dan Vietnam.
“Oleh itu itu royalti minyak tidak perlu dijadikan isu utama untuk berkempen sempena pilihanraya kecil Manek Urai seperti yang dinyatakan Pengarah Piihan Raya Pas Kelantan Abdul Fatah,” katanya.
sumber : Sinar Harian, 7 Julai 2009
No comments
Post a Comment