Dr Xavier:Tubuh Pejabat Khas Bantu Selesai Masalah Sijil Kelahiran Dan Kad Pengenalan Penduduk

SHAH ALAM, 24 Julai - Kerajaan negeri akan mewujudkan sebuah pejabat khas bagi menguruskan permohonan kad pengenalan dan sijil kelahiran penduduk yang mengalami masalah itu, dalam tempoh sebulan lagi.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, masalah ketiadaan kad pengenalan dan sijil kelahiran banyak terdapat di Selangor, terutama di daerah Klang.

Justeru, Dr Xavier berkata, pejabat khas ini akan diwujudkan sama ada di Pejabat Tanah Klang atau atau Majlis Perbandaran Klang.

“Isu ic dan surat beranak, saya telah dapatkan satu kelulusan daripada pejabat Exco untuk kita mengadakan satu pejabat yang khusus untuk atasi masalah surat beranak dan ic ini dan akan diadakan di Klang, tetapi dalam masa sekarang masih mencari samaada dalam pejabat Tanah atau Majlis Perbandaran Klang.

“Kita akan setup tempat ini dalam masa sebulan ini dan mereka yang mempunyai masalah berkaitan ini boleh datang untuk selesaikan masalah itu dan kakitangan kita akan bantu mereka untuk dapatkan ic dan surat beranak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melawat tapak pembinaan pra sekolah dan tadika di Taman Sentosa, Klang pagi tadi. Turut serta pegawai Pejabat Daerah dan Pejabat Tanah Klang dan Majlis Perbandaran Klang.

Dr Xavier berkata, ketika ini kira-kira, lima ribu penduduk di negeri ini mengalami masalah tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan, dan masalah ini akan menyukarkan urusan seharian mereka dan anak-anak untuk bersekolah.

Menurutnya, masalah ini mungkin dipengaruhi tiga faktor utama penduduk iaitu kemiskinan tegar, kemiskinan rendah dan buta huruf.

Walaupun sebelum ini, ia dibantu oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), namun kewujudan pejabat ini dilihat lebih berkesan.

“Selama ini, ada beberapa pihak NGO yang cuba atasi masalah ini, tetapi saya nampak masalah ini tidak boleh diselesaikan dengan mudah tanpa satu pejabat yang khusus, di mana pejabat itu bertindak untuk mengutip fail, data dan mereka ini ramai antaranya mengalami kemiskinan tegar atau kemiskinan rendah atau dalam golongan yang tak boleh membaca dan menulis,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 18 tadika sedang dalam proses pembinaan untuk kemudahan kanak-kanak, terutama golongan yang berpendapatan rendah dan tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke tadika, sebelum ini.

Katanya, keperluan tadika ini penting kerana kira-kira 45 peratus murid-murid yang memasuki tahun satu sekolah jenis Tamil, tidak pernah menerima pendidikan pra sekolah atau tadika.

Beberapa tempat telah dipilih, antaranya Taman Sentosa, Taman Medan dan Ijok yang menjadi sasaran utama pembinaan sekolah tadika ini secepat mungkin.

Dr Xavier berkata, kanak-kanak perlu mendapat pendidikan awal kerana melalui pendidikan sahaja, taraf hidup seseorang dapat ditingkatkan dan keluar daripada kepompomg kemiskinan.-ATIQAH YAACOB (TVSELANGOR)

No comments

Powered by Blogger.