Hanya di Malaysia pengumuman Najib dianggap hadiah

Perdana Menteri Dato' Seri Najib Razak mengumumkan beberapa "hadiah" sempena 100 hari pemerintahannya. Hakikatnya pengumuman yang dibuat Najib tidaklah begitu penting atau menyentuh bidang-bidang yang begitu kritikal seperti yang didakwa akhbar-akhbar tertentu.
Iklan




Sebahagian daripada apa yang diumumkan mungkin boleh diberi perhatian tetapi kebanyakannya tidak membawa sebarang perubahan besar pada landskap politik dan ekonomi dalam negara ini.

Diskaun 20 peratus yang diberikan kepada pengguna kerap jalan raya bertol, terhad kepada mereka yang menggunakan kad Smartag dan Touch 'n' Go, tidak membantu pun untuk menyelesaikan masalah berat sebelah dalam kontrak penswastaan lebuh raya yang ditandatangani di antara kerajaan dan operator.

Tidak juga dijelaskan sama ada diskaun tersebut diberikan oleh operator lebuh raya atau kerajaan yang akhirnya perlu membayar pampasan kepada operator atas kehilangan pendapatan mereka.

Kebanyakan pengumuman yang dibuat tidaklah luar biasa.

Memberikan potongan 50 peratus bagi memperbaharui lesen peniaga dan penjaja kecil di Kuala Lumpur, menyediakan rumah kos rendah kepada keluarga berpendapatan rendah, memudahkan permohonan pendaftaran kelahiran di Sabah dan Sarawak, pembinaan jalan raya dan keperluan awam di Sabah dan Sarawak dan menawarkan 3,000 lesen teksi tambahan kepada individu, semuanya boleh dilakukan oleh mana-mana kerajaan dan tidak perlu dihebohkan.

Hanya di Malaysia, pengumuman seperti itu dianggap "hadiah" dan "pemberian istimewa" yang diberikan kepada rakyat oleh pemimpin tertingginya. Saya ingin menawarkan nasihat percuma kepada Perdana Menteri. Beliau perlu sesekali mengelakkan diri daripada membuat pengumuman populis seperti itu kerana ia tidak memberikan sebarang kelebihan kepadanya.

Kebanyakan penduduk bandar di Malaysia kini semakin matang berpolitik. Pengumuman seperti itu tidak menjadikan Najib lebih pemurah atau lebih prihatin dan mesra rakyat. Sebaliknya ia hanya mendedahkan ketidakmampuannya memberi fokus kepada isu-isu asas yang melanda rakyat dan negara.

Perdana Menteri dan pasukan pakar beliau perlu memberikan lebih tumpuan dan usaha terhadap pembangunan ekonomi kita. Struktur ekonomi kita jelas menghadapi kesempitan. Usaha kita untuk memasarkan Malaysia sebagai hub teknologi tinggi dan ekonomi berasaskan pengetahuan tidak membuahkan hasil yang diharapkan.

Masalah utama yang diketengahkan oleh kebanyakan organisasi, baik organisasi tempatan dan asing, ialah kurangnya pekerja mahir. Apakah strategi kerajaan untuk mengekalkan dan menambahkan jumlah tenaga kerja mahir?

Polisi pendidikan kerajaan yang terumbang ambing mendatang kos yang tinggi kepada masyarakat. Ia bererti harapan kita untuk meningkatkan modal pengetahuan bagi tenaga kerja kita akan terjejas dan sebarang perancangan baru untuk membantu memperbaiki mutu sistem pendidikan kita hanya boleh dilakukan selepas 2012.

Dalam bidang ekonomi, semua rancangan kita - sama ada rancangan lima tahun atau sebaliknya - nampaknya tidak berhasil. Terdapat keperluan untuk memikirkan semula strategi pertumbuhan baru bagi pembangunan ekonomi kita. Tidak ada satu pun taman industri dan hub baru kita - Cyberjaya, Zon Bebas Pelabuhan Klang dan pelbagai koridor - menunjukkan tanda-tanda kejayaan.

Strategi pembangunan pelancongan kita lebih tertumpu kepada promosi dan iklan daripada pembangunan produk pelancongan bertaraf dunia dan pembaikan kemudahan awam untuk menyokong pelancongan.

Melantik Jean Todt, bekas CEO Ferrari, tidak akan menyelamatkan industri. Sekali lagi, ia hanya mendedahkan kekurangan idea kita untuk membangunkan sektor tersebut.

Sebagai seorang veteran, Perdana Menteri seharusnya berbuat perkara yang lebih baik daripada 11 pengumuman sempena 100 hari pemerintahannya. Dalam soal hubungan kaum, beliau sepatutnya bertindak memperkenalkan undang-undang mengenai perhubungan sebenar bagi melindungi rakyat daripada salah laku dalam hubungan kaum. Beliau sepatutnya memperkenalkan formula gabungan baru bagi Barisan Nasional (BN).

Setiap parti atau gabungan politik mesti beredar di sekitar perubahan keperluan dan jangkaan masyarakat. Struktur politik BN tidak membantu mempromosikan pembinaan bangsa yang sebenar. Dalam banyak keadaan, ia berbahaya kepada perpaduan nasional kerana terlalu melindungi bangsa dan kaum tertentu.

Pada peringkat awal pemerintahannya, Najib pernah menyentuh soal untuk merubah BN. Malangnya ia tidak pernah dikotakan dalam 100 hari pemerintahannya. Beliau sepatutnya meningkatkan usaha untuk menghasilkan ucapan yang bernas tentang keperluan meneroka perubahan sosio politik yang bermakna untuk menggerakkan masyarakat ke arah kehidupan yang kurang berbau perkauman dan masa depan yang lebih bersatu.

Najib kerap bercakap mengenai niatnya untuk membanteras jenayah dan memerangi rasuah tetapi tidak pernah menjelaskan secara terperinci kepada kita tentang kaedahnya. Saya menyokong penuh hasrat Perdana Menteri untuk menyelesaikan dua isu ini.

Tetapi untuk menyelesaikan dua isu ini, pentadbirannya perlu terlebih dahulu memperkukuhkan institusi awam berkaitan yang bertanggungjawab terus untuk menjalankan tugas memerangi rasuah dan jenayah.

Apakah rancangan beliau untuk memulihkan keyakinan awam terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis dan badan kehakiman? Apakah yang telah terjadi kepada dua suruhanjaya diraja - kehakiman dan pasukan polis? Sebagai permulaan, pentadbirannya perlu memastikan dua suruhanjaya itu ditutup dengan alasan yang wajar. Apakah Najib akan menyelesaikan isu ini dalam 100 hari berikutnya?

Terdapat banyak isu asas yang penting masih tidak diselesaikannya dalam 100 hari pemerintahannya seperti skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang, kes kematian dalam tahanan polis, skandal tanah, krisis perlembagaan dalam krisis di Perak, pertelingkahan melibatkan agama, penghapusan undang-undang kejam dan banyak lagi. Isu-isu ini tidak boleh didiamkan begitu sahaja. Ia akan kembali menghantui pemerintahannya.

Sebagai rakyat Malaysia, saya harap Perdana Menteri dapat melakukan yang terbaik. Ia merupakan hak saya sebagai rakyat untuk menjamin pemerintahannya menghasilkan yang terbaik kepada negara. Sekarang bukan masa untuk membuat pengumuman populis, perubahan separuh hati dan sekadar ingin mengampu.

(Terjemahan oleh MUHAMMAD NOR ABD SAMAD)

No comments

Powered by Blogger.