Jawapan Mengenai Masalah Pemakaian Akta Bangunan & Harta Bersama (Penyelenggaraan & Pengurusan) 2007 (Akta 663)

USUL UCAPAN PENANGGUHAN DI DEWAN RAKYAT MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEDUA PARLIMEN KE-12 (2009)

JAWAPAN :

Tuan Yang Di-Pertua.

Kementerian sedar mengenai beberapa kelemahan yang terdapat dalam peruntukan Akta 663 khususnya berkaitan peruntukan kuasa Pesuruhjaya Bangunan untuk mendakwa pemaju yang gagal melaksanakan tanggungjawabnya. Walaubagaimanapun, untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, Akta 663 telah menyatakan beberapa peruntukan kuasa pendakwaan kepada Pesuruhjaya Bangunan terhadap pemaju seperti:

1 Seksyen S.5(5)
Kesalahan: Kegagalan menjalankan Mesyuarat Pertama oleh Pemaju
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 2,000.00 atau 3 bulan penjara.

2. Seksyen S.17(7)
Kesalahan: Kegagalan Pemaju menghantar penyata, laporan, akaun dan maklumat berkaitan Akaun Penyelenggaraan Bangunan seperti yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya Bangunan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10,000.00 dan tidak lebih daripada RM 100,000.00 dan tambahan RM 1,000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan yang diteruskan selepas sabitan.

3. Seksyen S.20
Kesalahan: Larangan mengutip Caj sebelum pembukaan Akaun Penyelenggaraan Bangunan dan Pemilikan Kosong
Oleh Pemaju atau Badan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau dipenjarakan tidak melebihi
satu (1) tahun atau kedua-duanya.

4. Seksyen S.21
Kesalahan: Kegagalan Pemaju (bagi projek siap sebelum dan pada 12 April 2007 dan Perbadanan Pengurusan (MC)
belum ditubuhkan) menyerahkan Akaun Penyelenggaraan yang di audit kepada Pesuruhjaya Bangunan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada RM 10,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi satu (1) tahun atau kedua-duanya.

5. Seksyen S.31
Kesalahan: Kegagalan Pemaju mendepositkan Kepada Pesuruhjaya Bangunan bagi Maksud membaiki harta bersama Selepas disiapkan.
Penalti: Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 5,000.00 dan tambahan tidak melebihi RM 50.00
setiap hari jika diteruskan selepas sabitan.

Tuan Yang DiPertua,

Kementerian juga sedar mengenai masalah pengurusan yang dihadapi oleh penghuni-penghuni rumah ber strata ini. Oleh yang demikian, Kementerian sedang melakukan beberapa usaha seperti berikut ;

1. Sedang melaksanakan usaha penambahbaikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Akta 663) dengan menubuhkan Jawatankuasa-Jawatankuasa berkaitan pindaan Akta 663 yang melibatkan Pertubuhan-Pertubuhan Bukan Kerajaan, Jabatan Kerajaan dan Pesuruhjaya Bangunan di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan.

2. Menubuhkan Jawatankuasa Bersama antara Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian dan Jabatan Perumahan Negara bagi menyelaraskan peruntukan undang-undang berkaitan pengurusan bangunan yang mempunyai Hakmilik Strata yang terdapat dalam Akta Bangunan dan Harta Bersama (Akta 663) dan Akta Hakmilik Strata (Akta 318). Antara keputusan Jawatankuasa Bersama tersebut adalah menghasilkan dua Akta yang lebih khusus. Akta 663 akan meliputi semua hal-hal yang berkaitan dengan pengurusan manakala Penyenggaraan Bangunan dan Harta dan Akta Hakmilik Strata akan hanya melibatkan hal-hal berkaitan hakmilik dan pendaftaran hakmilik. Ini bermakna penyelarasan akan dilakukan dengan cara lebih holistik termasuklah penyelarasan daripada segi ;
2.1 Interpretasi
2.2 Pentadbiran
2.3 Terminologi
2.4 Kaedah , peraturan, jadual
2.5 Kuasa pegawai, dan
2.6 Hal-hal lain.

3. Kementerian berpendapat cadangan penubuhan Tribunal pada masa ini tidak perlu kerana segala aduan dan semakan pertikaian boleh dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri masing-masing bagi mendapatkan keputusan.

4. Lif merupakan sebahagian daripada Harta Bersama dalam sesebuah kawasan pemajuan. Pada masa ini tiada hakmilik khusus dikeluarkan kepada mana-mana bangunan dan kawasan harta bersama. Oleh yang demikian, urusan pajakan lif tidak dapat dijalankan. Walaubagaimanapun, peruntukan sedia ada tidak menghalang Badan Pengurusan Bersama (JMB) memasukkan cadangan menginsuran lif sebagai salah satu perbelanjaan pengurusan kawasan pemajuan tersebut.
5. Bagi cadangan pindaan Akta Industri Bekalan Air 2006 (Akta 665) atau Enakmen Pembekalan Air 1997 dan Akta Bekalan Letrik 1990 (Akta 447), ianya terletak di bawah bidang kuasa Kementerian lain.

YB Teresa Kok
Ahli Parlimen Seputeh

No comments

Powered by Blogger.