Kejayaan Mempertahankan Manek Urai

Saya telah membaca beberapa analisa berhubung keputusan Pilihan Raya kecil Manek Urai, namun tiada kesempatan untuk menulis hingga petang ini. Ada yang menzahirkan kehairanan atas kemenangan yang tipis. Ada yang memberi bermacam-macam alasan dan penjelasan. Bagi pihak BN dan pro-BN, ianya merupakan keputusan yang kononnya menunjukkan kemerosotan sokongan terhadap PAS, khususnya PAS Kelantan. Timbalan Perdana Menteri dengan bangganya mengistiharkan bahawa ianya merupakan bukti kemaraan PAS telah berjaya dibendung BN hasil kepimpinan dinamik DS Najib! Hebatnya mengampu! Bagi saya, kenyataan beliau merupakan bukti bahawa manusia hanya nampak apa yang dia ingin melihat!

Yang pasti Kelantan bukan seperti negeri-negeri yang lain. Ianya telah berada di bawah PAS sejak 19 tahun yang lalu. Dalam istilah pemasaran, ianya boleh digelar pasaran yang telah tepu dengan produk ‘PAS’. Dalam keadaan sebegini, pertambahan undi secara melonjak tidak mungkin diperolehi mana-mana parti politik. Seperti produk yang telah lama dalam pasaran, yang mahu membeli sudah lama beli, yang tak nak tetap tak nak. Kalau ada perubahan sekalipun, hanyalah sedikit.

Keadaannya lain sepertimana yang telah berlaku di Pulau Pinang dan Perak. Di situ, PR merupakan produk baru. Selepas kemenangan melalui PRU ke-12, pilihan raya kecil menghasilkan lonjakan yang membanggakan kerana rakyat yang selama ini terpengaruh dengan propaganda BN tiba tiba menyedari kelebihan ‘produk baru’ yang bernama ‘PR’ itu. Maka yang tidak mengundi PR dalam PRU ke-12 mengundinya dalam PR kecil yang berikutnya.

Hakikat ini disedari BN apabila mereka menyusun strategi untuk memenangi Manek Urai. Pada PRU ke-12, seluruh Negara menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum. Pengundi dan penyokong PAS di luar Kelantan telah kembali ke tempat masing-masing untuk mengundi PAS termasuklah mereka yang mengundi di Manek Urai. Undi sebanyak 5,746 yang diperolehi PAS pada masa itu sedikit sebanyak menggambarkan undi maksima yang mungkin PAS perolehi di Manek Urai dalam kelompok pengundi berdaftar yang sedia ada. Undi ini terdiri dari penyokong PAS tegar dan juga pengundi atas pagar yang condong pada PAS.

BN sedar bahawa untuk mencapai kemenangan mereka perlu lakukan dua perkara. Pertama mereka perlu kurangkan undi yang akan diperolehi PAS. Ini dilakukan dengan menentukan pengundi Manek Urai yang menyokong PAS yang berada di luar Kelantan sukar untuk kembali. Ini tercapai dengan menetapkan hari mengundi pada hari Selasa. Mereka sedar kebanyakan pengundi luar adalah penyokong PAS kerana selain dari mengenali kebaikan PAS di Kelantan mereka juga terdedah kepada kejahatan BN di luar Kelantan! Teknik kedua untuk mengurangkan undi PAS ialah dengan memujuk pengundi PAS dengan menjelaskan bahawa sekiranya Manek Urai jatuh pada BN sekalipun, Kelantan tetap berada di bawah PAS. Maka kemenangan di Manek Urai tidak kritikal bagi PAS. Sambil itu kemenangan BN akan menghasilkan ‘jambatan baru’! Hujjah seperti ini dituju kepada penyokong PAS yang belum boleh lagi dikelaskan sebagai penyokong ‘tegar’.

Usaha BN walaupun dilakukan dengan begitu gigih tetapi hanya berjaya menghasilkan penurunan undi bagi PAS dari 5,746 ke 5,348 sahaja. Ini merupakan penurunan sebanyak 398 undi sahaja! Sekiranya 100 adalah disebabkan kesukaran kembali untuk mengundi, maka ‘rasuah politik’ BN hanya mampu menarik 298 undi ‘atas pagar’ rakyat Kelantan. Ini bagi saya membuktikan keberkesanan ‘tarbiyyah politik’ yang dilaksanakan di Kelantan.

Kedua, BN sedar selain dari mengurangkan undi PAS, mereka perlu menambah undi untuk BN. Bukan dengan mengusahakan perubahan undi dari PAS ke BN, kerana ini sukar, tetapi dengan mengadakan pengundi tambahan. Ini dilakukan dengan mengesan pengundi yang tidak mengundi semasa PRU ke-12 dahulu. Mereka yang tidak keluar mengundi merupakan jenis yang tidak ambil kisah. Mereka ini boleh digerakkan untuk keluar mengundi sekiranya ‘tarikan’ dan ‘tawaran’ memadai ataupun berbaloi. Maka pada PRU ke-12, semasa satu negara menumpukan perhatian kepada hari mengundi dan hari mengundi di adakan pada hari Sabtu, hari cuti, hanya 83.4% keluar mengundi. Tetapi, pada pilihan raya kecil yang diadakan pada hari Selasa, hari kerja, 87% keluar mengundi! Ini membuktikan kejayaan BN dalam menggerakkan golongan yang sebelum ini tidak mengundi kerana tawaran dan tarikan yang diadakan. Namun kejayaan mereka tidak mencapai tahap sepertimana yang diharapkan. BN hanya berjaya menambahkan undi mereka dari 4,394 kepada 5,283, yang masih 65 undi kurang dari apa yang diperolehi PAS.

Bagi saya kemampuan PAS Kelantan mempertahankan kemenangan di Manek Urai dengan kemerosotan undi sebanyak 398 undi itu dalam keadaan sedemikian adalah amat menakjubkan. Walaupun dikatakan oleh BN bahawa ini merupakan bukti bahawa rakyat telah kembali menyokong BN, bagi saya ianya adalah sebaliknya. Keputusan ini membuktikan kemampuan PAS mempertahankan kerusinya yang sedang di‘serang’ habis-habisan oleh BN dengan segala kekuatannya. Hakikatnya sokongan terhadap PAS dari segi jumlah undi yang diperolehi tidak terjejas! 5,348 pengundi tidak goyah atau tergugat keyakinan mereka walaupun berhadapan dengan tawaran-tawaran BN.

Sekiranya BN ingin menyedapkan hati mereka dengan mengatakan bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka, maka terpulanglah. Walaupun itu merupakan satu kesimpulan yang jelas meleset yang akan membawa padah pada diri mereka sendiri semasa PRU atau PR kecil yang akan datang dan insyaAllah akan membawa kejayaan yang lebih besar kepada PR.

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD

No comments

Powered by Blogger.