Kembara rasa, emosi dan jiwa seorang Sabri

Teater 'Menunggu Kata Dari Tuhan' (MKDT) membawa saya ke Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar, petang itu. 19 April. Seorang kawan sedia menunggu.
Iklan




Dan apabila dia membawa saya masuk ke dalam dewan yang bakal mementaskan teater itu, wah terkejut saya. Besarnya dewan! Berapa orang boleh muat? "Seribu enam ratus orang," jawab Puan Aida, pengarah PusatBahasa KUIN, penganjur pementasan ini.

Seribu enam ratus orang penonton. Lebih kurang sama besar dengan dewan MBSA di Shah Alam. Dulu waktu nak pentaskan MKDT di Shah Alam, saya tak setuju dibuat di MBSA sebab terlalu besar. Saya memilih auditorium Muzium Negeri yang kapasitinya hanya 300 orang. Itu paling sesuai. Akustiknya pun bagus. Pelakon tak perlu pakai pembesar suara. Penyampaian akan lebih berkesan.

Sekarang tak ada pilihan. Soalnya mungkinkah dewan sebesar ini boleh dipenuhi penonton? Masuk bertiket pula - RM7 untuk orang dewasa dan RM5 untuk pelajar. Di Alor Setar! Tapi kata teman Puan Aida, seribu tiket sudah terjual. Wah, saya sekali lagi terkejut. Ini satu perkembangan yang memberangsangkan.

Bagaimana pula dengan sistem lampu atau pencahayaan? Ini penting, kerana pentas terlalu luas dan dewan pun terlalu luas, sedangkan pelakon yang akan beraksi di atas pentas yangbesar itu hanya seorang. Sistem lampu sangat perlu untuk memfokuskan perhatian kepada lakonan.

Kebetulan pentas dewan itu tidak dilengkapkan dengan sistem lampu untuk persembahan teater. Tetapi Puan Aida segera bertindak menghubungi pihak syarikat yang boleh menawarkan peralatan tersebut.

Sementara itu Sabri mengajak sesiapa yang ada di dalam dewan itu menolongnya menyusun semula kerusi supaya lebih dekat dengan pentas dan semuanya beralih mengadap ke tengah pentas. Tujuannya: supaya fokus kepada lakonan.

Pihak penganjur rimas dan memohon maaf apabila melihat pelakon terkenal seperti Sabri dan penyanyi Sani Sudin terpaksa tolong bekerja menyusun kerusi. "Jangan risau," kata saya,"mereka ini orang teater. Dalam teater, ini semua perkara biasa."

Dan malam itu penonton memenuhi dewan besar Insaniah yang kapasitinya 1,600 orang. Kebanyakannya pelajar, dan kebanyakannya perempuan. Alhamdulillah, di Alor Setar, peminatteater Islam rupa-rupanya begini ramai. Memang di luar dugaan saya.

Dan saya pun tak menduga yang malam itu saya sendiri terpaksa menjaga penataran lampu, dibantu oleh seorang jurulampu. Alhamdulillah, malam itu juga saya menyaksikan satu perkembangan yang sungguh menyenangkan pada lakonan Sabri Yunus.

Kawan-kawan yang menyaksikan pementasan MKDT di Ramuan Cina Besar, Melaka, 11 Julai, telah menceritakan perihal lakonan Sabri yang semakin mantap, walaupun persembahan di Melaka itu dibuat tanpa bantuan muzik oleh Sani Sudin, (kerana malam itu Sani berhalangan untuk mengambil bahagian). Saya juga tak dapat hadir di situ kerana sebab-sebab yang tak dapatdielakkan.

Tapi malam ini saya menyaksikannya sendiri. Proses penghayatan seorang pelakon, yang berlaku sedikit demi sedikit, dari satu persembahan ke satu persembahan, dalam tempoh waktulebih tiga bulan, sejak persembahan pertamanya di Stor Teater DBP pada 26 Mac.

Memang penghayatan watak Kaab bin Malik sahabat Rasulullah s.a.w. itu semakin meresapi rasa, emosi dan jiwa Sabri. Dalam adegan yang awal lagi, apabila menceritakan yang dia menjeling melihat Nabi memandang dia ketika dia sedang solat di dekat Nabi, tetapi Nabi beralih memandang ke arah lain tatkala dia memandang ke arah Nabi, emosi Sabri sang pelakon sudah tersentuh. Dia berasa sedih dan sayu. Dia menjadi sebak.

Penonton dapat merasakannya pada perubahan nada suaranya, dan pengucapan dialognya yang menjadi tersekat, dan penonton juga dapat mendengar dia menarik nafas yang sudah berbaurair hidung. Sabri sudah menangis.

Kemuncaknya ialah adegan munajat. Bagaimana Kaab merintih, merayu, bertaubat dan pasrah kepada Allah rabbul-jalil. Rintihan, rayuan dan penyerahan diri seorang yang bertaubat danpasrah dengan penuh redha kepada Allah. Itulah kemuncak teater monolog ini.

Sabri dengan suara dalamannya penuh getar itu. Terkadang-kadang hilang di dalam sebaknya. Namun penonton dapat merasakan hantaran maknanya, walaupun suaranya kurang jelas didengar.

Saya teringat kepada penonton yang datang berbisik ke telinga saya ketika berjalan keluar dewan selesai pementasan di auditorium Muzium Shah Alam dulu. Katanya, "Sabri tak boleh menangiskah? Orang bertaubat mesti menangis." Tapi saya tak jawab.

Malam ini di dewan Insaniah, Sabri bukan sahaja menangis ketika bertaubat dan munajat, tetapi dia mulai menahan tangisannya kerana terasa sedih dan sayu tatkala Rasulullah s.a.w. mengalihkan pandangannya tidak mahu memandang "dia".

Maka selepas ini saya tak akan berharap dan berdoa lagi untuk melihat air mata Sabri menitis ketika munajat, sebaliknya akan berharap agar dia janganlah terlalu banyak menangis dalam lakonannya.

Inilah kembara rasa, emosi dan jiwa seorang pelakon, setelah lebih tiga bulan bermesra dan bergelut dengan watak Kaab bin Malik sahabat Rasulullah s.a.w. Dan Sabri Yunus dan juga Sani Sudin belum lagi nampak di mana hujungnya kembara ini.

Saya juga belum nampak hujungnya, kerana hampir setiap hari masih menerima panggilan, SMS dan emel yang bertanya dan menyatakan hasrat untuk menganjurkan pementasan ini. Memang "ini suatu yang luar biasa," kata sahabat saya Kassim Mohamad.

Setakat ini, tempahan yang paling jauh ialah pada 15 Disember 2009, iaitu di sebuah masjid di Padang Serai, Kedah, dan pada 5 Disember, di Bangi. Manakala pementasan yang paling dekat ialah pada 26 Julai, di Tanjung Karang, Selangor, dan esoknya pula di Taman TamadunIslam, Kuala Terengganu. Insya Allah!

No comments

Powered by Blogger.