Kes liwat Anwar: Permohonan pendakwaan tangguh pelaksanaan perintah didengar esok

KUALA LUMPUR: Permohonan pendakwaan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan dokumen yang diminta Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan didengar esok.

Ia dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada jam 9 pagi.

Salah seorang peguam Anwar, S N Nair ketika dihubungi mengesahkan bahawa firmanya (S.N.Nair & Partners) menerima surat berhubung perkara itu daripada mahkamah menerusi faks, pagi ini.

Pada jam 2 petang semalam, pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan.

Turut difailkan ialah perakuan segera supaya kes itu didengar secepat mungkin.

Pada 16 Julai, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen berkenaan dalam masa tujuh hari.

Tempoh tujuh hari itu berakhir pada Khamis.

Bagaimanapun, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu untuk mendapatkan sampel spesimen yang diambil daripada pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan selepas memutuskan bahawa sampel itu sudah pun disita ahli kimia dan pihak pembelaan boleh memeriksanya selepas dikemukakan kepada mahkamah.

Anwar, 62, didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, di sini pada 26 Jun tahun lalu.

Mahkamah menetapkan 24 Julai untuk sebutan permohonan Anwar bagi mengetepikan tuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya dan tarikh sebutan perbicaraan kes itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.