Majlis ‘Candle Light Vigil’ & Amalan Memegang Lilin

Saya membaca dengan penuh minatnya pandangan yang mengatakan bahawa amalan DS Nizar Jamaluddin hadir di Candle Light Vigil di Perak adalah satu amalan bertentangan dengan aqeedah Islam. Hujjah ini adalah berdasarkan dakwaan bahawa memegang lilin yang dinyalakan adalah amalan keagamaan Kristian kerana mengikut fahaman pihak yang mendakwa, lilin dinyalakan semasa upacara peribadatan orang Kristian. Oleh itu memegang lilin yang dinyalakan dalam satu majlis adalah amalan peribadatan Kristian.

Saya ingin bertanya kepada mereka yang terlalu ghairah mengharamkan dan mengistiharkan semua amalan yang tidak difahami mereka sebagai luar dari Islam, apakah mereka faham implikasi kenyataan dan dakwaan mereka ini? Sekiranya menyalakan lilin adalah upacara ibadat Kristian dan orang Islam haram melakukannya, berapa ramai telah sesat apabila menyalakan lilin semasa ‘black out’ atau terputusnya bekalan elektrik di rumah pada waktu malam? Silap-silap yang menuduh sendiri pun pernah melakukannya. Berapa ramai pula peniaga Islam yang telah bersubahat dengan menjual lilin di kedai mereka? Kecuali dijual dengan notis bukan untuk dinyalakan!

Dewasa ini ada juga ‘Aroma candle’ yang dijual dipasaran. Lilin beraroma ini dinyalakan untuk menghasilkan bau-bauan wangi dan menggantikan amalan orang Melayu dahulu yang membakar setanggi dan kemenyan. Adakah, mengikut pandangan bijak pandai ini, yang kelihatan amat kurang bijak pada masa ini, bahawa aroma candle ini juga haram?

Maka adakah kerana gereja membunyikan loceng maka ummat Islam diharamkan menggunakan loceng? Adakah perlu kita mengharamkan bunyi loceng di sekolah-sekolah, kereta bomba dan basikal penjual aiskrim? Mungkin juga perlu sekiranya otak kita sebeku aiskrim yang dijual!

Oleh kerana tanda salib itu adalah tanda agama Kristian, maka adakah semua yang menyerupai salib, seperti tanda campur ‘+’ dan huruf ‘t’ perlu juga kita haramkan dari penggunaan ummat Islam? Dan seterusnya jalan yang berbentuk simpang empat perlu diharamkan kerana apabila dilihat dari udara kelihatan sebagai salib?

Pemikiran yang sebegini tidak selari dengan kaedah mengharamkan sesuatu atas sebab ‘lizattihi au lighairihi’. Sabaliknya ianya hasil dari pemikiran yang terlalu phobia dan defeatist. Inilah punca mengapa ummat Islam satu ketika dahulu digalakkan menjauhkan diri dari semua perkara, “kerana takut tergelincir” sedangkan menjauhkan diri dari semua adalah dengan sendirinya suatu kegelinciran. Pemikiran sebegini ingin ummat Islam mengasingkan diri dan terasing dengan sendirinya dari keterlibatan masyarakat umum. Ummat Islam akan hanya mampu bercampur dan bersatu sesama sendiri serta memimpin hanya untuk masyarakat muslim. Mungkin inilah maksud yang tersirat.

Mungkin sekiranya DS Nizar pegang lampu pelita minyak gas ianya akan dilihat ‘ok’ oleh mereka ini.

Sebenarnya majlis ‘candle light vigil’ merupakan upacara simbolik dewasa ini yang dilakukan di seluruh dunia untuk menzahirkan penungguan dan harapan dalam keadaan yang diselubungi kegelapan. Sepertimana amalan melepaskan merpati sebagai simbol inginkan kebebasan dan kedamaian, memotong riben amalan simbolik upacara perasmian, memotong kek amalan simbolik upacara ulang tahun dan sebagainya, amalan ‘candle light vigil’ telah menjadi amalan simbolik antarabangsa untuk menunjukkan penungguan, harapan dan kemenangan. Ianya bukan majlis peribadatan dan tiada kena mengena dengan peribadatan Kristian atau Buddha atau Hindu. Lainlah kalau lilin dinyalakan dan diletakkan di ’altar yang berbentuk ketuhanan sambil disertakan dengan upacara sembahyang. Sila baca juga kenyataan media Drs. Khalil Idham Lim, ADUN Titi Serong berkenaan isu ini.

WaLlahu ’Alam
KHALID SAMAD

No comments

Powered by Blogger.