manek urai: nasi ayam+sirap= RM17

CUACA panas terik dari pagi hingga ke petang seakan senada dengan hangatnya perjalanan kempen parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Bertugas dalam cuaca panas sememangnya memberi cabaran kepada warga media terutamanya ketika melakukan tinjauan kawasan dan mengikut calon berkempen.

Keadaan jalan di beberapa kampung yang masih belum berturap, berdebu dan sempit menyebabkan ramai petugas media terpaksa menyewa motosikal daripada penduduk tempatan untuk memudahkan tugas. Ia memberi limpahan rezeki kepada penduduk.

Tidak kurang juga tauke kedai makan dan minuman yang tersenyum sampai ke telinga apabila makanan dihidang laris sehinggakan tak cukup tangan melayan pelanggan.





Walaupun terpaksa bangun awal pagi untuk membeli barang mentah seperti sayur, ikan, ayam dan daging, ia berbaloi kerana untungnya memang berganda. Itulah rezeki pilihan raya.

Malangnya, dalam keghairahan berniaga ada juga yang mengambil kesempatan menaikkan harga makanan sesuka hati sehingga menimbulkan perasaan kurang senang pengunjung.

Bayangkanlah ada pengusaha sanggup mengenakan bayaran RM17 hanya untuk dua pinggan nasi ayam bersama air sirap. Tindakan itu sedikit sebanyak mencalarkan imej pengusaha lain yang turut mencari rezeki di sini.

Seorang menteri yang menghadiri majlis rasmi di sini menggaru kepala ketika diaju soalan berhubung harga melampau itu.

Menurutnya, ia perkara biasa dalam setiap pilihan raya kecil dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Malah beliau turut dikenakan RM6,000 untuk sebuah rumah yang disewa selama dua minggu bagi kemudahan petugasnya.

Bagaimanapun, katanya, ia masih terpulang kepada pengguna untuk menilai. Tepuk dada, tanya selera.

Walaupun dianggap lumrah, ia menuntut rasa tanggungjawab peniaga di sini menjaga imej Manek Urai supaya tidak tercalar dengan cerita kurang enak.

Pilihan raya kecil ini peluang terbaik untuk semua warganya memperkenalkan Manek Urai sebagai destinasi menarik di Kelantan terutamanya dalam menyingkap keindahan kawasan perkampungan serta penduduknya yang mesra.

Biarlah mereka yang pulang selepas 14 Julai nanti kembali dengan kenangan indah dan janganlah sampai ada yang berkata: Ambo serik doh weh!

No comments

Powered by Blogger.