Oleh Mohd Zuharman KUALA KRAI, Julai 11 — Keyakinan Umno masih longgar menghadapi lawannya pada pertandingan pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai

Oleh Mohd Zuharman

KUALA KRAI, Julai 11 — Keyakinan Umno masih longgar menghadapi lawannya pada pertandingan pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai 14 Julai ini walaupun sebahagian kepimpinannya tetap mengatakan peluang Umno di Manek Urai cerah.

Ia diakui Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamad, berdasarkan Manek Urai adalah kubu kuat PAS di samping penyandangnya sebelum ini, Ismail Yaakub, mempunyai pengaruh tersendiri di kawasan berkenaan.

Mustapa berkata, Umno belum berada dalam keadaan selesa untuk merampas Dun Manek Urai, tetapi seluruh jentera parti dan saf kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan partinya.

Mengulas mengenai pengaruh calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, tidak sama seperti Allahyarham Ismail Yaakub, beliau berkata itu adalah satu faktor yang memberi kekuatan kepada BN.

“Pada masa ini kita belum selesa lagi, kita mesti bekerja kuat. Pengaruh calon yang baru ini tidak sama dengan Allahyarham Pak Su Wel, ini akan memberi kekuatan kepada kita.

“Kalau hendak ditafsirkan dalam bentuk angka ianya agak sukar, tapi memandangkan setiap hari saya berjumpa dengan orang kampung, ramai yang berminat untuk bersama kita,” jelasnya kepada media di pusat operasi BN ketika ditanya peratus awal sokongan kepada BN.

[Datuk Mustapa Mohamad memberi sebuah ucapan di Manek Urai, Julai 9. – Gambar oleh Danny Lim ] Dalam pada itu, Mustapa tidak menolak isu pemansuhan Pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan memberi lebih sokongan kepada Umno.

Beliau yakin tindakan itu dapat memberi kelebihan kepada BN walaupun terdapat di kalangan guru bertarik tali dengan isu tersebut.

“Kita harap ini membantu kita kerana ramai guru yang berpengaruh dan kita tahu ramai juga guru yang tidak bersetuju dengan PPSMI. Apapun bagi saya satu undi mereka berubah dan menyokong BN amat dihargai. Itu penting bagi kita,” katanya.

Mustapa menegaskan isu PPSMI dan royalti minyak dimainkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam kempennya tidak menjejaskan sokongan pengundi Manek Urai kepada BN.

Menurutnya, dalam isu royalti, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah menjelaskan Petronas akan memberi kenyataan bagi merungkai keadaan sebenar situasi yang berlaku.

Isu royalti minyak kini menjadi isu utama PAS dan hingga kini ia gagal dikendalikan dengan baik oleh BN. Yang terbaru, Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa mencabar Mustapha berdebat tentang isu ini.

Namun sehingga kini, Mustapha belum memberikan responnya.

No comments

Powered by Blogger.