Pertemuan Bersama Mahasiswa & Graduan Universiti Tempatan

Sehari selepas pertemuan PAS Shah Alam bersama Ust. Ahmad Awang, saya telah dijemput menghadiri program usrah mahasiswa dan graduan Universiti tempatan. Dalam usrah ini mereka telah bertanya isu berhubung UG dan September 16. Ini merupakan hasil dari tohmahan yang telah mereka baca di dalam blog-blog yang menyerang saya berhubung perkara ini. Sebelum itu, ingin saya ucapkan syabas kepada mereka ini di atas semangat dan keprihatinan yang telah ditunjukkan.

Maka saya pun memberi jawapan seperti berikut:-

ISU SEPTEMBER 16
Projek 16 September atau 916 merupakan satu usaha yang tertakluk kepada rangka kerja yang dipersetujui bersama; iaitu menjatuhkan BN dan menegakkan kerajaan PR. Ianya tidak terkeluar dari rangka kerja ini. Oleh yang demikian ianya telah dipersetujui oleh pimpinan PR. PAS telah meletak syarat bahawa yang lompat mesti akhirnya majoritinya orang Islam. Hakikat bahawa syarat ini dinyatakan adalah bukti bahawa usaha ini telah dibincang dan diterima.

September 16 bagi saya merupakan strategi serampang 3 mata seperti berikut :-

1. Mengenakan tekanan kepada BN sehingga mereka menjadi defensif dan tidak dapat menyerang PR kerana terlalu sibuk berusaha menghalang lompatnya MP BN untuk bersama PR. PRU selesai pada bulan Mac, maka bulan September bererti PR memperolehi 6 bulan untuk memantapkan kemenangan sambil BN sibuk dengan menangani 16 Sept.

2. Melalui isu ini maka wakil rakyat PR yang ada niat untuk melompat bersama UMNO/BN akan berfikir 2 kali kerana khuatir, silap-silap lompat, tiba-tiba MP BN lompat ke PR, maka PR pula yang membentuk kerajaan Pusat! Maka strategi ini menyebabkan pengkhianat, sekiranya ada, akan hanya bertindak selepas 16 September. Ini memberi PR tempoh sekurang-kurangnya selama 6 bulan untuk membuktikan kemampuannya di mata rakyat.

3. Melalui laungan 16 September ini juga, MP BN akan tertarik untuk bersama perjuangan PR kerana mereka melihat keyakinan yang tinggi untuk membentuk kerajaan Pusat. Maka sekiranya mereka ada sedikit keberanian, mereka akan lompat untuk bersama kita.

Maka ada pula yang bertanya mengenai bermoral atau sebaliknya melompat itu. Saya jawab ianya lebih bermoral dari bersekongkol dengan kerajaan BN yang tenggelam dengan rasuah dan penuh dengan korupsi. Saya merujuk kepada Hadith Rasulullah (SAW) berhubung niat dan hijrah serta menyebut bahawa isu lompat itu tidak menjadi salah sekiranya dilakukan dengan niat untuk memperoleh kebaikan. Namun kalau melompat atas sebab kepentingan dunia maka ianya adalah untuk kepentingan dunia!

Dalam PAS, yang timbulkan isu bermoral atau tidak lompat adalah hanya mereka yang ingin menghalang usaha ini kerana kuathir PR berkuasa. Mereka lebih senang kita memerintah bersama atau di bawah UMNO. Moral atau tidak kita bersekedudukan dengan UMNO tidak pula menjadi persoalan bagi golongan ini! Termasuk dalam usaha menggagalkan ini adalah siaran Harakah muka depan kenyataan Cikgu Pa tahun lalu yang menyebabkan kemarahan yang teramat sangat Mursyidul ‘Am.

Oleh itu, saya nyatakan, saya menyokong usaha 16 September bukan kerana “wala’ kepada pemimpin lain” seperti didakwa oleh pihak tertentu tetapi kerana ianya merupakan usaha yang tertakluk kepada konsep dan kerangka kerja yang dipersetujui bersama dan ada kebijaksanaannya. Kalau ianya dikemukakan oleh "sesiapa" sekalipun, insyaAllah saya akan tetap sokong selagi mana ianya di dalam kerangka yang sama.

ISU UG
Dalam soal UG pula saya jelaskan saya tidak sokong kerana ianya tidak tertakluk kepada rangka kerja yang telah dipersetujui bersama yang dahulu. Ianya bukan untuk menjatuhkan UMNO dan menggantinya, ianya untuk berkongsi kuasa bersamanya. Kata YB Mahfuz, ianya “talian hayat BN”. Lagipun dari sudut kebijaksanaan politik, saya juga mempersoalkannya.

Ada yang mengatakan yang menentang tidak faham apa itu UG. Saya telah menulis mengenai UG di Malaysian Insider dan juga di blog saya ini. Dwi Bahasa pula tu! Harap maklumkan di mana saya tidak faham gagasan itu. Begitu terdesaknya golongan pro UG ini sehingga pengarah PPP yang baru, menulis mengenainya dalam Harakah bulan Jun ini yang bertajuk Antara dua Tok Guru. Saya mengupas tulisan beliau bersama mereka pada malam itu secara ringkas seperti berikut. Tulisan tersebut menyatakan:-

* Kerajaan Perpaduan perlu semasa zaman darurat atau suasana genting. Saya menyatakan, “yang berhadapan dengan darurat dan kegentingan hanya UMNO”. Para mahasiswa tersenyum.

* UG ini bersifat sementara. Selepas berlalu suasana darurat dan genting ini maka ianya tidak lagi diperlukan. Saya menjawab, “Ya, selepas UMNO memecahkan PR dengan melaga-lagakan parti-parti komponen PR dengan isu UG ini, mereka merasa kuat dan mereka akan tendang keluar satu-satunya parti yang telah sanggup bersama dengannya dalam UG (bukan dalam BN). PAS ditendang keluar dan menjadi parti politik terbuang di negara ini. Digelakkan UMNO dan PKR serta DAP tidak lagi ingin berkerjasama dengannya kerana pernah dikhianati. Bukan Islam tidak lagi akan mempercayainya. Kumpulan pendokong UG akan tinggal bersama UMNO dan kami yang menentangnya terpaksa membina kembali kredibiliti PAS”. Mereka yang hadir ada yang kelihatan tersentak, ada yang terdiam memikirkan apa yang saya nyatakan.

* Artikel itu menyatakan lagi, “Perjanjian Madinah pada zaman Rasulullah (SAW) adalah sejenis kerajaan perpaduan”. Ini bagi saya kemuncak ‘keterdesakan’. Tak perlu kita memutar belit sejarah sehingga begitu. Saya berkata, “Kalau benar apa yang dinyatakan, maka UG itu wajib bagi PAS kerana merupakan sebuah negara Islam!”
Saya bertanya pula kepada semua yang hadir pada malam itu, ramai dari mereka dari fakulti pengajian Islam, “Berapa kabilah Yahudi dan Arab musyrikiin BERKONGSI kuasa dengan Rasulullah mengikut perjanjian ini?” Mereka terdiam. Memang tiada.
Saya tanya lagi, “Adakah Perjanjian Madinah itu atas dasar terdesak dan bersifat sementara?” Mereka terdiam lagi.

Baru-baru ini saya dimaklumkan mantan pengarah PPP menulis mengenai UG dan beliau mengemukakan hujjah mempertikai konsep ini. Artikel beliau ditolak oleh ‘pihak berkuasa’ Harakah. Pelik. Yang menolak UG adalah yang sealiran dengan pendirian PAS. Artikelnya ditolak setelah 40,000 salinan Fikrah siap dicetak! Cetakan itu dibatalkan dan dibuat yang baru tanpa artikel berkenaan.

Yang sokong UG pula boleh dicetak.

Konsep UG ini memang tidak boleh diterima pakai di dalam keadaan sekarang ini. Lainlah kalau darurat, peperangan serangan negara asing ke atas negara kita. Itupun perlu penuh berwaspada. Jika sekiranya Anwar sendiri yang mengemukakan gagasan ini dalam keadaan sekarang, maka saya akan menentangnya dengan lebih dahsyat lagi. Ini dari Tok Guru kita sendiri, maka penentangannya agak terkawal juga.

Itu pun ada yang sudah tidak tahan dengar. Lalu saya pun menyebut: “Kalau tidak tahan dikritik, ditegur dan disanggah, jangan masuk politik. Jadi sahaja ketua kumpulan tareekat seperti Abu Ya. Sudah pasti, semua keputusan tidak akan dipertikai”. Mereka pun tertawa.


WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD
München, Germany

No comments

Powered by Blogger.