Pertemuan Ust. Ahmad Awang Bersama PAS Shah Alam

Pertamanya saya ingin memohon maaf kerana telah lama tidak update. Saya ketika ini sedang berada di Germany bersama 5 Ahli Parlimen PR yang lain, 2 dari DAP, 2 dari PKR dan 1 lagi dari PAS bagi mengkaji sistem kerajaan campuran yang terlaksana di sini serta kaedah dalam menjayakan kerajaan campuran di semua peringkat. Inisiatif ini dilakukan dengan tujuan menimba pengajaran dan pengalaman bagi memperkukuhkan PR di negara kita. Telah hampir seminggu kami di sini semenjak hari Jumaat yang lalu dan insyaAllah akan kembali ke tanah air pada hujung minggu ini.

Sebenarnya terdapat dua pertemuan sebelum saya berangkat ke Germany yang ingin dikongsi bersama, tetapi tidak berkesempatan higgalah kesaat ini kerana jadual yang agak padat. Yang pertama pertemuan Ust. Ahmad Awang bersama PAS Shah Alam dan yang kedua pertemuan saya bersama para graduan Universiti tempatan. Untuk posting malam ini, saya akan mulakan dengan pertemuan yang pertama terlebih dahulu.

Pada malam 24 Jun yang lalu, satu pertemuan telah diadakan di antara mantan Naib Presiden PAS, Ustaz Ahmad Awang dan AJK Kawasan serta ketua-ketua cawangan PAS Shah Alam. Pertemuan tersebut bertujuan mendedahkan kepada semua masalah, cabaran dan kejayaan sepanjang tiga fasa yang telah dilalui PAS Perak seperti berikut:-

* Fasa pertama, penubuhan kerajaan PR Negeri Perak.
* Fasa kedua, perjalanan kerajaan berkenaan.
* Fasa ketiga, kerja-kerja menjatuhkan kerajaan Negeri Perak.

Banyak yang telah didedahkan dan banyak juga pengajaran yang telah dapat diperolehi. Di antara pengajaran yang terpenting adalah bagaimana dari suasana kurang yakin dan kurang mendapat sokongan, akhirnya kepimpinan PAS Perak diterima oleh PR Perak dan rakyat Perak yang berbilang kaum.

Untuk makluman semua, pada awalnya, pencalonan DS Ir Nizar untuk jawatan MB Perak telah ditentang hebat oleh pimpinan DAP sendiri, khususnya dari peringkat Pusat. Namun, pencalonan tersebut dipertahankan oleh DAP Perak, sehingga ke peringkat mengugut sanggup ingkar arahan DAP Pusat! DAP Perak lebih mengenali DS Ir Nizar kerana telah berinteraksi semenjak 1998 lagi. Akhirnya, sikap DAP Perak diterima dan selepas hampir setahun, terbukti keputusan DAP Perak untuk mempertahankan DS Ir Nizar merupakan keputusan yang tepat.

DS Ir Nizar telah diterima rakyat, khususnya rakyat bukan Islam, sebagai seorang MB Perak yang adil. Sehingga akhirnya, semua, samada DAP mahupun PKR, mengistiharkan bahawa sekiranya DUN Perak dibubarkan dan PR menang dan DS Ir Nizar turut menang, beliau akan dipilih sebagai MB walaupun kerusi PAS kurang dari kerusi pihak lain dan walaupun sekiranya DAP sendiri mempunyai seorang dua wakil Melayu!

Ini sebenarnya merupakan bukti bahawa rakyat bukan Islam sanggup menerima kepimpinan PAS sekiranya PAS bersedia untuk menzahirkan ciri-ciri kepimpinan Islam sebenar dengar mengutamakan keadilan dan pembelaan kepada semua. Adalah tidak wajar kita membuat pendirian dan sikap yang prejudis dan penuh pra-sangka terhadap bukan Islam dengan memutuskan bahawa hanya orang Melayu Islam sahaja yang akan sanggup menerima kepimpinan PAS. Tanggapan sebegini menafikan hakikat bahawa di Kelantan, di mana PAS telah memerintah selama hampir 20 tahun, Melayu Islam UMNO tetap merupakan penentang tegar kepada perjuangan PAS.

Pengalaman Perak ini merupakan petunjuk kepada cara bagaimana PAS perlu bergerak dalam PR ke arah menerajui kepimpinan PR itu sendiri akhirnya. Caranya ialah dengan menzahirkan sifat keadilan Islam sehingga tiada rakyat yang terasa dipaksa, diugut dan terancam dengan kepimpinan PAS malah sebaliknya merasa penuh yakin bahawa PAS akan membela nasib mereka sepertimana PAS membela nasib orang Islam.

Tanggapan sebahagian ahli PAS terhadap ketidak sanggupan orang bukan Islam menerima kepimpinan PAS telah menyebabkan mereka condong kepada berkerjasama dengan UMNO. Ini hanya menzahirkan kurang keyakinan mereka terhadap kemampuan Islam untuk memikat hati-hati manusia sehingga perjuangan Islam terpaksa berpaut kepada golongan ‘Islam baka’ yang menentang Islam dari dulu hinggalah sekarang. Tindakan sebegini seolah-olah menyatakan bahawa mereka tidak yakin dengan kehebatan Islam dan Islam akan hanya disokong oleh mereka-mereka yang bersekepentingan dengannya. Andaian sebegini juga menafikan apa yang terjadi pada zaman Rasulullah (SAW) dan juga pada zaman para Mursaliin dari kaum Bani Israel. Tidakkah orang Yahudi menentang para Rasul dari Bani Israel sepertimana mereka menentang Rasulullah (SAW)?

Dan yang datang menyokong Baginda, kaum jahilliyah penyembah berhala yang tidak mempunyai hubungan dengan agama samawi. Mereka datang atas sebab keikhlasan mereka mencari keadilan dan kebenaran sehingga Allah mendahului mereka dalam keimanan dari kebanyakan kaum Yahudi.

Hidayah di tangan Allah. Bukan untuk kita memutuskan siapa yang akan menyokong atau bersama dan siapa yang akan menentang. Bukankah ini yang kita baca dalam Al-Quran Surah Al-Maaidah ayat 54 selama ini?

“Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa dari kamu yang berpaling dari agamanya (Islam), maka akan Allah datangkan satu kaum (untuk menggantikan mereka) yang mana Allah sayang pada mereka dan mereka sayang kepadaNya……..”


WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
München, Germany

No comments

Powered by Blogger.