SPRM jelas pilih bulu, pejam dua mata siasat rumah agam Khir Toyo

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor kononnya menggunakan dana kerajaan negeri dalam kawasan pilihan raya masing-masing secara pilih bulu


Beliau menegaskan tindakan SPRM itu membuktikan suruhanjaya tersebut berat sebelah kerana tidak membuat apa-apa tindakan terhadap pemimpin Umno yang juga bekas Menteri Besar Selangor, Dato' Seri Khir Toyo yang didakwa memiliki rumah agam ala Bali bernilai RM24 juta.

SPRM, sepatutnya tidak melakukan siasatan terhadap tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat tersebut kerana mereka menggunakan peruntukan kerajaan negeri bagi tujuan melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain.

"Tindakan SPRM itu membuktikan suruhanjaya itu berat sebelah dan akan hanya bertindak pantas jika ia melibatkan wakil rakyat Pakatan Rakyat. Sebaliknya jika terdapat dakwaan terhadap mana-mana pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) biarpun mempunyai bukti kukuh, SPRM akan lambat mengambil tindakan seperti menyiasat atau mendakwa.

"Kes Khir Toyo yang didakwa memiliki mahligai bernilai RM24 juta sepatutnya terlebih dahulu disiasat kerana timbul keraguan dari mana beliau memperolehi wang untuk memiliki kediaman semewah itu," tegas Mahfuz.

Tegas beliau lagi, ini bukan kali pertama SPRM meminggirkan kes melibatkan pemimpin Umno dan BN kerana sebelum ini Ketua Menteri Melaka, Dato' Seri Mohd Ali Rustam yang telah dibuktikan melakukan rasuah oleh Lembaga Displin Umno tetapi tiada sebarang tindakan atau siasatan dilakukan oleh suruhanjaya tersebut.

13 Julai lalu, Exco kanan kerajaan negeri, Teresa Kok mendedahkan SPRM sedang menyiasat tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor berhubung penggunaan dana kerajaan negeri dalam kawasan pilihanraya masing-masing.

Ketujuh mereka ialah Teresa (Kinrara), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama), Edward Lee (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku).

Kesemua wakil rakyat berkenaan diperuntukkan RM500,000 setiap tahun, yang boleh digunakan untuk melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain.

No comments

Powered by Blogger.