Suhakam siasat kematian Teoh

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan menyiasat dengan terperinci kematian setiausaha politik Exco kerajaan negeri Selangor, Teoh Beng Hock, Khamis lalu, kata Pesuruhjayanya, Datuk N Siva Subramaniam.

Beliau berkata siasatan itu meliputi dakwaan beberapa individu yang mereka dicederakan anggota polis ketika berdemonstrasi Jumaat lepas di hadapan Plaza Masalam di mana Teoh dijumpai mati tertiarap.

"Suhakam akan menjalankan siasatan bebas terhadap kedua-dua kejadian ini dan segala keputusan sama ada inkuiri awam dibuat akan diketahui selepas mesyuarat kami diadakan bulan hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum bantahan daripada beberapa individu yang mendakwa dicederakan polis semasa demonstrasi berkenaan di pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini.

Siva berkata hak asasi orang awam perlu dikekalkan dan dipatuhi ketika penyiasatan dilakukan mana-mana badan atau pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

Menurut Konvensyen Terhadap Penderaan dan Kekejaman Lain, Tidak Berperikemanusiaan atau Layanan Buruk atau Hukuman, penderaan membabitkan apa-apa tindakan dikenakan terhadap seseorang bagi mendapatkan daripadanya atau orang ketiga maklumat atau keterangan dengan izin atau persetujuan daripada seorang pegawai awam atau individu lain yang bertindak dalam kapasiti rasminya.

Teoh, 30, ditemui mati jam 1.30 tengah hari Khamis lalu di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14. Teoh, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan juga seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.