Teksi wajib beri resit

KUALA LUMPUR: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mewajibkan pemandu teksi mengeluarkan resit bagi menangani sikap sesetengah pemandu teksi ‘nakal’.

Perkataan nakal itu merujuk kepada segelintir pemandu teksi yang masih ingkar serta menaikkan harga perkhidmatan mereka melebihi daripada harga ditetapkan kerajaan iaitu RM3 bagi kilometer pertama.

Pengarah LPKP, Naimah Ramli, berkata langkah itu akan berkuat kuasa awal Ogos ini iaitu serentak dengan kenaikan tambang perkhidmatan awam termasuk teksi.

“Mulai 1 Ogos ini serentak dengan kenaikan tambang pemandu teksi juga diwajibkan mengeluarkan resit kepada pelanggan mereka.





“Langkah itu bertujuan untuk menangani sikap sesetengah pemandu yang berdegil serta enggan menggunakan meter, malah menetapkan harga perkhidmatan mereka sesuka hati,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, melalui cara itu juga pelanggan boleh menilai sama ada harga yang dicaj pada mereka berpatutan atau sebaliknya.

“Kami juga mahu pengguna menggunakan kuasa mereka dalam membanteras gejala pemandu ‘nakal’ ini.

“Sekiranya mereka (pengguna) mendapati pemandu teksi masih tidak menggunakan meter serta menetapkan harga sesuka hati maka tindakan berkenaan perlu dilaporkan pada pihak kami segera supaya tindakan termasuk pembatalan lesen boleh diambil serta merta,” katanya.

Justeru, Naimah menasihatkan supaya pemandu teksi patuh dengan tambang baru yang ditetapkan kerajaan baru-baru ini.

Ini kerana tambang diberikan itu seharusnya mencukupi bagi mereka dan sejajar dengan kos operasi yang meningkat maka tiada sebab lagi untuk menetapkan harga sesuka hati selepas ini.

Dalam perkembangan lain, LPKP turut menasihatkan semua pemandu teksi mengubah suai meter mereka iaitu dengan menggunakan meter baru yang boleh mengeluarkan resit.

“Penggunaan meter itu sedikit sebanyak dapat mendidik mereka (pemandu teksi) supaya memberikan perkhidmatan yang berpatutan kepada pelanggan,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengumumkan kenaikan tambang lapan pengangkutan awam antara 2 sen hingga RM6.33 di Semenanjung, manakala di Sabah (2 sen hingga RM31.70) dan Sarawak (1.2 sen sehingga RM2) berkuat kuasa Ogos depan.

Lapan pengangkutan awam itu termasuk bas ekspres, bas henti-henti, teksi dan kereta sewa.

Keputusan itu dibuat selepas kerajaan menyemak semula kadar lama termasuk perubahan yang menyebabkan kos operasi meningkat kebelakangan ini.

No comments

Powered by Blogger.