umno memang tak ihklas dengan rakyat manek urai!

LATA REK, 13 Julai - Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli menyelar tindakan dan sikap yang diambil Umno-BN yang mengenakan syarat kepada rakyat untuk menjalankan sesuatu aktiviti pembangunan.

"Saya tidak bersetuju dengan pemberian bersyarat yang dibuat pihak Umno-BN kepada penduduk di Manek Urai seolah-olah ianya merupakan suatu galakan untuk mengamalkan budaya rasuah politik," katanya kepada pemberita seusai program Ramah Mesra Pemuda bersama Abe Uji di Lata Rek.

Oleh yang demikian, beliau menggesa agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) agar menjalankan siasatan ke atas pimpinan Umno yang terbabit dengan amalan tersebut selain tindakan tegas diambil.

"Kita meminta agar SPRM membuat siasatan ke atas pemimpin Umno-BN yang terbabit dengan pemberian sebarang bentuk ganjaran dan janji-janji pembangunan yang dibuat," ujarnya.

Tegasnya, tindakan tersebut merupakan suatu galakan untuk membentuk budaya rasuah politik oleh pihak Umno-BN.

Dalam pada itu, ketika menjawab mengenai isu pemberian peruntukan berjumlah RM125 juta oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin kepada penduduk di kawasan parlimen Kuala Krai, beliau melahirkan rasa bangga terhadap pengumuman tersebut.

"Namun apa yang lebih penting daripada itu adalah usaha untuk mempertingkatkan harga getah bagi memperbaiki taraf hidup penduduk di kawasan Manek Urai.

"Berapalah sangat harga sebuah jambatan kecil dan peruntukan yang disalurkan itu berbanding wang royalti minyak dan gas yang menjadi hak rakyat Kelantan sejak PAS memerintah di Kelantan," demikian katanya ketika mengulas mengenai perbandingan ganjaran yang dijanjikan Umno-BN dengan isu royalti gas dan petroleum negeri Kelantan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, semalam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kira-kira RM125.9 juta diperuntukkan Kerajaan Pusat khusus untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat di jajahan Kuala Krai sekali gus membuktikan keprihatinannya.

Jumlah itu ujarnya, merupakan sebahagian daripada RM1.7 bilion yang disalurkan ke negeri ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi tujuan yang sama.

Hatta hadir dalam satu program Ramah Mesra Pemuda Bersama Calon PAS anjuran Pemuda PAS Kelantan dan ahli-ahli parlimen di Lata Rek.

Mereka dijamu dengan hidangan Nasi Arab yang disediakan oleh Pemuda PAS Shah Alam.

Menurut salah seorang wakilnya, Azlan Jan, seramai 10 orang tenaga digunakan untuk memasak lima kawah nasi serta hidangan gulai dua ekor lembu.

"Alhamdulillah, kesemua masakan kami hari ini habis dan dapat dinikmati semua yang hadir.

"Kami juga menyediakan hidangan yang sama ketika Himpunan Pemborong dan penjaja Ikan Negeri Kelantan di Pasar Laloh 10 Julai lalu," ujarnya.

Turut hadir dalam program tersebut, ahli parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar, ahli parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad, ahli parlimen Kubang Kerian, Salahudin Ayub, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan ahli Dewan Negara, Senator Mumtaz Md Nawi.

No comments

Powered by Blogger.