Umno Selangor masih tidak sedarkan diri

Oleh Samsuri Roslan

SHAH ALAM, Julai 7 — Perlantikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor bukan sahaja memberi berita gembira kepada kepemimpinan Umno bahagian tetapi juga memberi tekanan baru kepada mereka.

Difahamkan beberapa pemimpin Umno bahagian mula mendapat tekanan berikutan tindakan kumpulan tertentu yang mahu menyerahkan memorendum kepada Najib dengan beberapa alasan yang mempertikai kewibawaan pemimpin Umno bahagian ini.

Kumpulan ini turut dikaitkan dengan bekas Ahli Parlimen dan Adun telah bekerjasama dengan beberapa pucuk pimpinan Umno bahagian yang baru terpilih telah berkempen secara senyap termasuk mahu menyerahkan memorandum kepada Najib dalam usaha untuk menjatuhkan pucuk pimpinan yang sedia ada.

“Mereka masih tidak sedar bahawa Umno kini sudah menjadi pembangkang di Selangor tetapi masih berniat untuk menjatuhkan sesama sendiri,” kata salah seorang Ahli Jawatankuasa Umno di salah sebuah bahagian di negeri ini.

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, Barisan Nasional memenangi 20 kerusi Dun daripada 46 kerusi yang dipertandingkan. Pakatan Rakyat pula mendapat 36 kerusi dengan lapan kerusi Dun PAS, 13 kerusi DAP dan 15 kerusi PKR.

Bagi kerusi Parlimen pula BN hanya menang lima kerusi daripada 22 kerusi yang dipertandingkan. 17 kerusi dikuasai oleh Pakatan Rakyat dengan PAS memperoleh empat, DAP empat dan PKR sembilan.

Perlantikan Najib sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri selepas selesai Perhimpunan Pemilihan Agung Umno pada April 2008 lalu.

Najib dilantik bagi menggantikan Datuk Seri Dr Muhamad Khir Toyo. Timbalan Pengerusi pula adalah Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Noh Omar.

Dalam pemilihan Umno bahagian pula dianggarkan lebih separuh daripada 22 kerusi Ketua Umno bahagian telah diganti dengan orang baru yang menyaksikan Selangor adalah antara negeri tertinggi selepas Kedah dalam pucuk pimpinan parti.

Menurut ahli jawatan kuasa ini, kumpulan terbabit bukan sahaja 'mengacau' perpaduan Umno masakini bahkan mereka juga adalah beberapa individu yang terbabit menyokong parti lawan dalam pilihan raya umum 2008 lalu.

“Mungkin mereka kecewa tidak terpilih sebagai calon lalu bertindak berpaling tadah untuk memberi sokongan kepada calon Pakatan Rakyat sehingga calon mereka menang dalam pilihan raya umum tersebut,” katanya.

Bagaimanapun dia akui sukar untuk membuktikan kelakuan bekas pemimpin Umno ini bersama penyokongnya kerana kekurangan fakta untuk dihantar kepada lembaga dispilin Umno.

Sementara itu, beberapa pemimpin Umno mengharapkan agar mereka dapat terus bekerjasama dan elakkan perselisihan bagi membantu Najib untuk merampas semula negeri ini dari Pakatan Rakyat.

Mereka juga berharap tumpuan utama sekarang adalah menggerakkan parti secara kerjasama bersama dengan lain-lain parti komponen yang diyakini boleh menawan kembali beberapa kubu Dun dan Parlimen kepunyaan Barisan Nasional sebelum ini.

“Kalau nak sangat bercita-cita mahu menjadi wakil rakyat, hentikankanlah dahulu 'angan-angan' ini kerana Umno masih sebagai parti pembangkang dan bukannya parti kerajaan lagi di negeri ini,” kata salah seorang pemimpin Umno bahagian.

No comments

Powered by Blogger.