Undi Boleh di Beli

Selepas keputusan pilihan raya kecil Manek Urai, banyak penganalisa politik terus memberi pujian kepada Najib Tun Razak dan Barisan Nasional. Kata mereka populariti Najib sekarang meningkat 65%, dan pemimpin muda UMNO seperti Khairy Jamaluddin pula berkata pengundi muda sekarang telah mula memihak kepada BN. Ada pula yang berkata PAS telah mula retak dari dalam kerana perbalahan kumpulan Tok Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Hadi Awang. Ada pula yang berkata Pakatan Rakyat yang telah bertengkar sesama sendiri secara terbuka menunjukan komponennya kurang disiplin dan kematangan.

Saya pula berpendapat kemenangan 65 undi itu kepada PAS besar ertinya. Ia menunjukkan kekuatan PAS yang dapat terus bertahan walau diserang dengan pelbagai macam peluru berpandu.

Sebagai pendahuluan, Manek Urai bukan kubu tradisional PAS. Cuma Allahyarham Ismail Yaakub atau lebih dikenali dengan nama Pak Su Wel, wakil rakyat PAS yang meninggal dunia itu, memang popular dan disayangi orang kampung. Itu saja. Bila dia tak bertanding pada tahun 2004, UMNO menang. Orang di Manek Urai pula kebanyakannya bekerja dan bergantung kepada ehsan Kesedar, agensi kerajaan Pusat yang dikawal rapi oleh UMNO. Orang Manek Urai juga adalah peneroka Felda, satu lagi agensi Pusat dikawal oleh UMNO. Jadi hanya penoreh getah sahaja yang tidak dikawal oleh UMNO. Penganalisa politik tidak boleh membuat andaian semua kawasan di negeri Kelantan adalah kubu kuat PAS.

Ramai pula pengundi Manek Urai berkerja di luar kawasan – lebih dari 1,300 atau 10% dari jumlah pengundi. Anak-anak muda ini dibayar begitu lumayan untuk balik mengundi. Kalaulah mereka dibayar RM500 atau RM1,000 seorang, mustahil anak-anak muda ini tidak memberi undi mereka. Mereka yang tinggal di Manik Urai pun tidak lah hidup selesa dan pendapatan mereka rendah. Harga getah pun telah menurun. Lagi pun orang Melayu mudah termakan budi. Gaji mereka sebulan pun tak begitu banyak. Mereka akan berterima kasih. Membayar untuk membeli undi anak-anak muda itu tidak salah mengikut pandangan sesetengah pihak yang sudah biasa dengan politik wang. Sama seperti janji nak bina jambatan bernilai RM7 juta yang juga dianggap tidak salah dari segi undang-undang kerana ikrar itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri.

Kepada penganalisa politik yang budiman, usahlah pandang terlalu jauh untuk memahami keputusan pilihan raya kecil Manek Urai. Selagi ada orang yang sanggup menjual undi, dan kemungkinan ini besar kerana ada pihak yang banyak wang bersedia membeli undi, maka keputusan pilihan raya (terutama di kawasan di mana pengundinya tidak ramai dan bergantung kepada ehsan kerajaan) akan sentiasa menjadi cabaran dan rumit kepada Pakatan Rakyat. Kuasa wang dan janji projek memang besar kesannya dan sukar diatasi.

PAS usahlah kecewa dan tidak perlu memperbesarkan masalah dalaman, walau pun ada. Keputusan Manek Urai jelas menunjukkan kecekalan PAS. Pekerja PAS harus dipuji kerana tidak putus harapan dan dapat bertahan. Tahniah kapada Abe Uji. Kepada rakyat sekalian Tumpulah kepada isu sabenar, iaitu isu rasuah politik; tumpukan kepada usaha bagaimana mengatasi fenomena penggunaan wang berjuta-juta ringgit untuk membeli undi. Fenomena pemimpin BN mengumunkan projek projek besar sabelum pilihan raya. Inilah cabaran Pakatan Rakyat yang sebenar dimasa depan.


zaid ibrahim

No comments

Powered by Blogger.