Undi ketiga: Kuasa rakyat memilih wakil tempatan

Written by Faisal Mustaffa
Tuesday, 21 July 2009 19:07




Di Malaysia, kita tidak mempunyai hak untuk undi ketiga iaitu hak warganegara untuk memilih kerajaan tempatan yakni ahli-ahli majlis tempatan di kawasan kependudukan mereka.

Merujuk kepada soalan lisan Dewan Rakyat Julai 2008, kerajaan pusat melalaui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan pula langsung tidak bercadang untuk mengadakannya, apatah lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sungguhpun ianya membuka sebuah babak baru dalam demokrasi di Malaysia. Pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan juga dibekalkan di bawah Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Tempoh untuk ahli-ahli majlis yang lama terutamanya di Selangor sudah pun tamat dan lobi-melobi pun bermula. Ada sayap-sayap parti pula sanggup, dengan tanpa segan-silu menghantar memorandum kepada ketua pembangkang supaya diperuntukkan kuota kepada mereka menjawat jawatan tersebut.

Melihat kepada sikap sebegini, kita mula berasa pelik; adakah mereka benar-benar merebut peluang untuk berkhidmat kepada penduduk tempatan atau ingin mendapat elaun ahli majlis sebanyak RM500 atau pun mengejar projek sapu sampah, potong rumput dan tender membina billboard?

Sesungguhnya, setiap dari kita harus sedar bahawa ahli majlis ialah jawatan yang penting dalam menyumbang dalam pembangunan kerajaan tempatan. Jawatan tersebut perlu diserahkan kepada penduduk itu sendiri untuk memilih wakil mereka. Kerajaan tempatan yang tidak cekap dan tidak dipilih melahirkan mediokriti, tidak berdaya maju dan korup sehingga memaksa penjanaan wakil-wakil yang dipilih untuk menjalankan tanggungjawab pegawai daerah sehingga mencabul demokrasi.

Akta Kerajaan Tempatan

Pihak berkuasa negeri boleh memutus untuk tidak menerima pakai Seksyen 15 (1) Akta Kerjaaan Tempatan yang memperuntukkan bahawa apa juga yang berlawanan yang tergantung dalam mana-mana undang-undang bertulis semua peruntukan berhubung dengan pilihanraya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuatkuasa ataupun mempunyai kesan.

Oleh itu, peruntukan tersebut dan lain-lain peruntukan berkaitan dengan perlantikan ahli-ahli majlis termasuk Yang Dipertua. Dengan itu, pilihanraya kerajaan tempatan boleh terlaksana dengan diwujudkan perundangan baru oleh Dewan Undangan Negeri berkaitan dengan pilihanraya kerajaan tempatan.

Kita mengambil contoh kes yang berlaku di Pulau Pinang. Dalam melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh Seksyen 1 (2) Akta Kerajaan Tempatan , pihak berkuasa negeri di Pulau Pinang telah memutuskan pada Disember 15, 976 hendaklah berkuatkuasa dalam negeri Pulau Pinang. Ini bererti Seksyen 15 (1) berkuatkuasa di negeri Pulau Pinang dan pilihanraya kerajaan tempatan tidak boleh dilaksanakan di negeri Pulau Pinang sehingga peruntukan ini dipinda. Walaubagaimanapun, terdapat peruntukan dalam Akta Pilihanraya yang memperuntukkan semua jenis pilihanraya hendaklah dikendalikan oleh SPR.

Kedua, pilihan raya kerajaan tempatan tidak boleh diadakan memandangkan pihak berkuasa negeri kini tidak boleh memilih untuk tidak menerimapakai Seksyen 15 (1) tersebut. Oleh itu Seksyen 15 (1) hendaklah dikuatkuasakan dan terpakai di negeri Pulau Pinang sehingga ianya dipinda oleh Parlimen.

Kedua-dua pandangan melibatkan tafsiran pandangan Akta Kerajaan Tempatan, Akta Pilihanraya dan termasuk juga Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, perkara ini boleh dirujuk kepada Mahkamah Tinggi untuk memperolehi tafsiran yang sebenarnya dan deklarasi bahawa pihak berkuasa negeri mempunyai kuasa untuk mengadakan pilihanraya dengan menamakan kerajaan persekutuan serta suruhanjaya pilihan raya sebagai pihak dalam prosiding mahkamah.

Oleh yang demikian bagi melaksanakan pilihanraya ini, kerajaan negeri masih terpaksa mendapat kerjasama daripada pihak kerajaan persekutuan untuk meminda Akta Kerajan Tempatan bagi membolehkan pilihanraya diperingkat kerajaan tempatan diadakan semula.

Kuasa kerajaan negeri

Laporan Athi Nathappan 1968 juga jelas mencadangkan agar pilihan raya kerajaan tempatan diadakan dikembalikan. Namun, Menteri Kerajaan dan Perumahan, Ong Kah Chuan menolak cadangan tersebut apabila diusulkan kepada kementeriannya.

Menurut ahli majlis bandaran Petaling Jaya, Derek John Fernandez, pilihan raya kerajaan tempatan tidak perlu melalui kerajaan persekutuan.

Di dalam majlis yang dianjurkan oleh Majlis Peguam di Melaka pada Julai 26 lalu, Derek memberitahu bahawa Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan membenarkan undang-undang persekutuan atau pun negeri untuk mengarah Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan pilihan raya.

Di bawah Artikel 95B (1) Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan kuasa kepada kerajaan tempatan untuk melaksanakan pemiihan dengan cara pilihan raya.

Dengan peruntukan yang ada di bawah Artikel 76 (3) yang menjadikan pelaksanaan pilihan raya tempatan Undang-undang Negeri, ianya boleh memberi kuasa kepada kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawab tersebut sungguhpun Akta Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1960 digantung.

Ini bermakna kerajaan negeri boleh mengecualikan mana-mana bahagian di dalam kerajaan tempatan dari Seksyen 10 hingga 15 Akta Kerajaan Tempatan dan menggubal undang-undang baru asalkan ianya menurut Artikel 113 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Perlantikan ahli majlis

Memandangkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat masih tidak mampu untuk melaksanakan di peringkat negeri, calon-calon yang disenaraipendek haruslah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Mereka haruslah dari kalangan kumpulan masyarakat sivil yang tidak mempunyai kepentingan di dalam mana-mana parti politik seperti professional, perniagaan, peka kepada masalah gender, pekerja, seni dan kebudayaan, aktif dalam persatuan penduduk, surau atau pun masjid, peka kepada kebajikan orang kurang upaya serta alam sekitar.

Kriteria bagi calon-calon ahli majlis juga mestilah dari kalangan penduduk tempatan itu sendiri kerana lebih peka kepada masalah sekelilingnya.

Untuk itu, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri ialah untuk membuka pencalonan kepada penguatkuasa tempatan. Penduduk tempatan juga bisa menghantar pencalonan mereka. Bagi membuktikan ketelusan, senarai nama tersebut mestilah dipamerkan dan dibuka kepada semua penduduk untuk memberi pandangan masing-masing.

Forum terbuka haruslah dianjurkan oleh penguatkuasa tempatan agar mereka dapat berinteraksi secara terbuka dengan penduduk.

Apabila diteliti pelaksanaannya, sebenarnya ianya tidaklah rumit seperti yang disangkakan. Kerajaan tempatan boleh libatkan semua persatuan penduduk atau kampung untuk mengadakan pemilihan di dalam konteks taman perumahan masing-masing. Bukankah itu sudah pun memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih wakil tempatan mereka?

Jangan lupa kepada Yang Dipertua majlis-majlis bandaran. Habiskan tempoh perkhidmatan mereka dan serahkan kepada penduduk untuk memilihnya. Kita tidak mahu lagi seorang Yang Dipertua kerja tunduk dengan kuasa politik buruk parti-parti politik dengan mengarahkan pegawai-pegawai mereka menurunkan kain-kain rentang ucapan Hari Raya yang kononnya tidak mempunyai permit.


http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1632:undi-ketiga-kuasa-rakyat-memilih-wakil-tempatan&catid=218:faisal-mustaffa&Itemid=156

No comments

Powered by Blogger.