News Update :

Jawapan 20 soalan tentang undang-undang jenayah syariah – Zulqarnain Lukman

December 23, 2014

Erik Paulsen daripada kumpulan Lawyers For Liberty menulis mengenai Hudud: 20 Soalan Untuk PAS dengan mengajukan 20 soalan yang paling kerap ditanya. Saya tidak menjawab bagi pihak PAS dan saya tiada mandat untuk berbuat demikian. Jawapan saya ini berdasarkan pemahaman saya kepada undang-undang syariah dan undang-undang sivil yang saya tekuni sejak lebih 20 tahun lepas.

Sebelum itu, harus difahami hudud bukan satu-satunya undang-undang jenayah Syariah yang terkandung dalam ajaran Islam. Selain hudud, qisas dan takzir juga menjadi sebahagian daripada undang-undang jenayah syariah yang menjadi perintah agama Islam.

Undang-undang jenayah Syariah boleh dilaksanakan dalam apa jua keadaan kerana ia bersifat universal. Ia kalis zaman dan tempat kerana mengandungi 3 bentuk: hudud, qisas dan takzir. Ketiga-tiganya saling melengkapi. Hukuman hudud dipindah kepada takzir. Jika berlaku apa-apa sebab yang membolehkan ianya digantung pelaksanaan maka ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak.

Sumber yang lazim diambil adalah penggantungan pelaksanaan hukuman sariqah (mencuri) pada zaman Sayyidina Umar pada musim kemarau dan kebuluran. Dengan membawa persoalan sama ada boleh atau tidak undang-undang jenayah syariah dilaksanakan dalam keadaan wujud perbezaan besar antara orang kaya dan orang miskin adalah seolah-olahnya merendahkan dan menghina orang miskin itu lazimnya melakukan jenayah sariqah dan merendahkan martabat orang kaya kononnya orang kaya selalu dapat membeli pihak hakim dan pendakwa dengan wang ringgit mereka bagi mengelakkan hukuman tersebut. Dalam tradisi Islam, kemuliaan seseorang bergantung kepada sifat takwa yang dimilikinya, sebab itu yang lebih afdal untuk menjadi imam solat adalah seorang yang pandai dalam ilmu qiraat walaupun beliau seorang yang miskin atau berjawatan rendah.

Sebagai seorang peguam, seharusnya saudara lebih faham hukuman hanya dapat dijatuhkan apabila cukup bukti. Tiada statistik dikemukakan orang kaya dan berkuasa boleh terlepas daripada pelaksanaan undang-undang. Jika ada sekali pun, mungkin penulis itu merujuk kepada persepsi yang ada sekarang dalam pelaksanaan undang-undang sivil. Kerana itu, saya yakin jika undang-undang jenayah syariah ini dilaksanakan maka VVIP yang menduduki jawatan syarikat bir juga tidak terlepas daripada hukuman jika ianya memenuhi elemen kesalahan syurb (minum arak). Selain itu, hendaklah difahami berjudi tidak termasuk dalam kesalahan hudud seperti yang digambarkan dan ianya tertakluk kepada kesalahan takzir.

Undang-undang syariah tidak membezakan siapa sahaja yang berbuat kesalahan sama ada beliau orang berkuasa dan kaya atau orang itu miskin dan lemah atau pelancong yang beragama Islam. Sesiapa yang melakukan kesalahan di dalam wilayah yang berbidang kuasa hendaklah didakwa dan kehendak ini adalah jelas terkandung dalam Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan [“KJS”]. Para hakim dan pendakwa di dalam sistem Mahkamah Syariah dipandu bukan saja dengan peraturan yang ada bahkan mereka juga mempunyai nilai nurani yang tinggi dalam menjalankan tugasnya.

Berkaitan penguatkuasaan undang-undang (terutamanya hal nafkah atau tanggungan penyelenggaraan isteri dan anak yang ditinggalkan suami) pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia bertindak secara proaktif dengan menubuhkan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) untuk membantu ibu tunggal yang teraniaya ini. BSK ini akan membantu menyediakan kemudahan logistik kepada ibu tunggal ini dalam penguatkuasaan terhadap suami atau bapa yang tidak melaksanakan tanggungjawab nafkah ini.

Berkaitan kekhuatiran akan berlaku salah hukum seperti silap memotong tangan atau merejam adalah pandangan yang tersasar kerana ukuran itu dibuat menggunakan neraca pembuktian sistem jenayah sivil. Di dalam Hukum Syarak, pembuktian ke atas kesalahan hudud dan qisas hendaklah melampaui sebarang bayang-bayang keraguan (beyond any shadow of doubt) dan bukan setakat melampaui keraguan yang munasabah (beyond any reasonable doubt).

Menurut KJS juga, terdapat 2 peringkat perbicaraan yang mana terdapat 3 hakim membicarakan di peringkat Mahkamah Bicara Khas dan terdapat 5 hakim di peringkat Mahkamah Rayuan Khas. Komposisi hakim juga terdiri daripada ulama yang alim hukum fiqh dan prosedur jenayah dan bekas atau hakim Mahkamah Sivil yang setara dengan hakim Mahkamah Tinggi Malaya/ Borneo ke atas.

Oleh kerana begitu ketat kaedah pembuktian dan penelitian keterangan hakim yang berpengalaman maka mustahil untuk berlaku kesilapan. Bahkan, menurut tatacara yang terpakai, hukuman yang dikenakan itu masih boleh dibatalkan sejurus sebelum hukuman itu dilaksanakan jika ada sebarang keraguan baru ke atas sabitan kesalahan tersebut.

Undang-undang jenayah Syariah ini bersumberkan hukum agama Islam. Oleh itu, orang Islam akan terikat dengannya manakala orang bukan Islam mempunyai pilihan untuk memilih dihukum dengan hukuman ini atau di bawah hukuman sivil. Hal ini disebut secara nyata di dalam KJS.

Bagaimanapun, ianya masih tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan maka ianya adil kepada orang Islam kerana dengan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah ini maka ianya memenuhi keperluan beragama bagi orang Islam. Manakala, bagi orang bukan Islam sedikit pindaan kepada kerangka undang-undang yang ada akan membolehkan juga orang bukan Islam dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Undang-undang jenayah syariah ini adalah sebahagian daripada undang-undang Islam dan menurut Perlembagaan Persekutuan, hal ehwal berkaitan undang-undang jenayah Syariah ini hanya boleh dilaksanakan di Mahkamah Syariah. Maka, Kelantan adalah perintis kepada perlaksanaan hukuman ini sebagaimana kehendak majoriti rakyat Kelantan. Jika ada negeri lain ingin melaksanakannya maka terpulang kepada rakyat negeri tersebut untuk memilih Ahli Dewan Undangan Negeri yang mempunyai komitmen sama. Maka, itulah akhirnya yang berlaku dalam pentadbiran undang-undang Islam di Malaysia. Yang tidak adil adalah jika kedua-dua pesalah itu ditangkap di Kelantan atas kesalahan sariqah, seorang dipotong tangan dan seorang lagi dihukum penjara.

Penulis mempersoalkan kenapa dalam kes sariqah seperti mencuri motosikal seorang itu dipotong tangan tetapi dalam kes pecah amanah seseorang itu hanya dihukum penjara. Ini salah tanggapan. Jika cukup elemen sariqah dalam kes pecah amanah maka tangan pesalah itu juga boleh dipotong juga menurut hukum Syarak. Namun, bukan semua kesalahan pecah amanah itu mempunyai elemen yang mencukupi bagi sabitan di bawah kesalahan sariqah.

Salah tanggapan untuk menyatakan kesalahan rogol dan zina adalah sama. Para ulama menyatakan rogol adalah kesalahan zina bil jabr. KJS pula hanya memperuntukkan kesalahan zina tanpa termasuk kesalahan rogol. Oleh kerana kerangka undang-undang sekarang mengecualikan orang bukan Islam daripada bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka orang bukan Islam itu tidak akan dihukum atas kesalahan zina. Bagi kesalahan rogol pula, orang bukan Islam atau orang Islam kedua-duanya akan dibicarakan di Mahkamah Sivil.

Salah tanggapan untuk menyatakan mangsa rogol akan terdedah kepada kesalahan qazaf (tuduhan palsu zina) kerana kesalahan rogol berada di luar bidang kuasa KJS. Begitu juga berkaitan kehamilan sebagai bukti zina. Saya percaya Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Istiadat Kelantan bersetuju memansuhkan peruntukan ini dan pindaan akan dibuat dalam sidang DUN Kelantan yang akan datang.

Undang-undang adalah adil dan saksama. Hukuman rejam ke atas pesalah zina yang muhson adalah sabit mengikut sunnah dan amalan sahabat. Inilah pandangan jumhur para ulama. Pensabitan jenayah zina amat ketat iaitu hendaklah disaksikan oleh tidak kurang 4 saksi lelaki adil yang menyaksikan sendiri jenayah zina itu berlaku seumpama seorang menyaksikan batang celak dimasukkan ke dalam bekas celak. Selain itu, sabitan juga boleh dibuat dengan pengakuan pesalah itu sendiri. Bagi sabitan atas pengakuan, ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa sebelum hukuman dilaksanakan. Maka tidak tepat untuk menyatakan hukuman zina muhsan itu tidak adil. Begitu juga adalah tersasar untuk membandingkan kesalahan zina dengan rogol kerana rogol berada di luar daripada bidang kuasa KJS.

Tidak adil semata-mata untuk membandingkan kesalahan pecah amanah atau rasuah dengan jenayah sariqah. Kesalahan itu pula mempunyai elemen berbeza yang perlu dibuktikan. KJS hanya memperuntukkan kesalahan yang bertentangan dengan 'precepts of Islam' sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di sisi hukum Syarak, hukuman yang dikenakan tidak berdasarkan besar atau kecil jumlah yang terlibat, tetapi berdasarkan jumlah minima harta yang terlibat dinamakan sebagai nisab. Kadar nisab yang ditetapkan ulama adalah jumlah yang senilai dengan harga emas semasa sebanyak 4.45 gram. Hukumannya pula hanya ada satu iaitu hukuman potong anggota badan jika berlaku sabitan tanpa diambil kira besar atau kecil jumlah. Mungkin ahli kriminalogis boleh mengkaji falsafahnya kenapakah ditetapkan sebegitu sama ada disebabkan kelakuan pencuri yang akan tetap mencuri tanpa mengira jumlahnya tetapi melihat kepada peluang untuk mencuri.

Perbezaan nilai keterangan saksi wanita dan bukan Islam berbanding kesaksian lelaki Islam itu adalah kehendak hukum syarak. Hikmahnya, para wanita dan orang bukan Islam tidak mempunyai liabiliti dan beban untuk menjadi saksi. Menjadi saksi bukanlah satu kelebihan (privillege) tetapi beban yang harus ditanggung. Tiada mana-mana saksi yang dapat bersenang-senang di dalam kandang saksi menghadapi soal balas yang bertubi-tubi daripada peguam. Oleh itu, Islam sebenarnya memuliakan wanita dengan mengangkat beban saksi daripada bahu mereka. Harus diingat juga, perbahasan ini adalah dalam konteks kes jenayah dan bukan kes mal (sivil) kerana kes mal mempunyai beban bukti dan keterangan yang lebih rendah berbanding dengan kes jenayah. Begitu juga tahap penerimaan kesaksian wanita dan bukan Islam juga adalah berbeza dalam kes mal dan jenayah.

Berkaitan bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika jenayah itu melibatkan pelaku orang Islam dan mangsa bukan Islam? Isu ini sebenarnya dijawab Hakim Gopal Sri Ram semasa membuat keputusan dalam kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja yang didakwa rentetan kes liwat pertama bekas timbalan perdana menteri dahulu. Mahkamah menyatakan orang itu boleh didakwa di mana-mana mahkamah yang berbidang kuasa. Namun jika kedua-dua mahkamah itu mempunyai bidang kuasa maka suspek tersebut hanya boleh didakwa sekali saja. Inilah pemakaiannya bagi orang Islam. Bagi orang bukan Islam, KJS memberikan pilihan kepadanya sama ada ingin meneruskan kes di mahkamah syariah atau sivil. Namun, dalam kerangka Perlembagaan yang ada sekarang orang bukan Islam hanya tertakluk kepada kuasa mahkamah sivil. Justeru, usaha melobi boleh diteruskan supaya orang bukan Islam dapat memilih untuk dibicarakan di mahkamah Syariah.

Jika mangsa itu orang Islam dan suspek bukan Islam maka dalam kerangka Perlembagaan yang ada suspek akan dibicarakan di mahkamah sivil. Ini kerana bidang kuasa ditentukan berdasarkan si pesalah dan bukan si pengadu.

Bidang kuasa manakah yang akan digunakan – hudud atau undang-undang jenayah sedia ada – jika kesalahan yang dilakukan seperti kecurian dan rompakan terdapat dalam kedua-dua bidang kuasa? Ini juga dinyatakan suspek hanya boleh didakwa sekali saja kerana jika didakwa dua kali, ianya akan menjadi 'double jeopardy'. Oleh itu, bergantung kepada pihak pendakwa untuk memutuskan di mahkamah mana suspek akan didakwa.

Hudud tetap akan berfungsi meskipun buat masa kini orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Saya sendiri pernah melihat orang bukan Islam memberikan keterangan dalam kandang saksi di Mahkamah Syariah. Tidak timbul soal keterangan mereka tidak bernilai kerana kesaksian mereka dianggap sebagai 'bayyinah'.

Orang bukan Islam yang bersubahat untuk melakukan jenayah tidak harus dilepaskan. Dalam konteks perundangan yang ada sekarang pun, pengusaha pusat judi diberikan panduan untuk tidak membenarkan orang Islam memasuki sebarang premis perjudian dan boleh diambil tindakan ke atas mereka melalui tindakan menarik balik lesen jika mereka melanggar peraturan tersebut. Begitu juga dalam konteks minum arak, peraturan boleh digubal untuk tidak membenarkan mana-mana pengusaha kedai arak menjualnya kepada orang Islam. Bagi orang Islam yang minum arak pastinya tertakluk kepada hukum Islam yang terpakai ke atasnya.

Adakah hukuman rejam sampai mati, penyaliban, sebatan dan pemotongan anggota badan masih diterima di zaman ini? Jawabnya, pernahkah kita terfikir kesalahan yang dibuat itu juga sama primitif dengan hukumannya! Perbuatan zina, hirabah (rompakan menggunakan kekerasan), syurb (minum arak), sariqah (mencuri), qatl (membunuh) dan lain-lain adalah jenis kesalahan yang sudah dibuat penjenayah sejak berabad yang lampau.

Sekiranya kesalahan primitif ini tidak diubati dengan hukuman yang sama primitif, tentulah jenayah tersebut akan tetap berleluasa. Kita sering membaca keratan akhbar betapa seorang mencuri itu akan tetap mencuri setelah beliau keluar penjara. Sewaktu mengendalikan satu kes jenayah di mahkamah majistret beberapa tahun lalu, saya pernah mendengar permohonan mitigasi daripada seorang suspek yang mengaku salah atas kesalahan mencuri. Apabila pendakwa mengemukakan fakta sabitan lampau, saya amat terkejut kerana pesalah itu sudah mempunyai 9 sabitan lampau berkaitan kes curi dan secara langsung saya terfikir dalam Islam paling kerap seorang pesalah boleh mencuri hanyalah 3 kali kerana selepas itu beliau sudah kehilangan 2 tangan dan 1 kaki. Pada saya inilah hakikat perikemanusiaan sebenar. Manakala, bandingan dengan pelaksanaan undang- undang Taurat ke atas Palestin itu adalah sangat jauh? Bolehlah pula saudara Paulsen jelaskan apakah butiran undang-undang Taurat tersebut?

Pemotongan anggota badan akibat hukuman hudud atau qisas itu mempunyai kaedah ditetapkan dan akan dipantau pakar perubatan yang akan ditauliahkan sendiri oleh sultan. Kebanyakan komplikasi yang berlaku disebabkan jangkitan kuman, maka luka akibat itu perlu dipastikan tidak berlaku jangkitan kuman.

Mengikut kehendak syarak, hukuman itu perlu disaksikan orang ramai. Namun, berapakah jumlah orang ramai yang boleh menyaksikannya itu tertakluk kepada perintah mahkamah. Begitu juga tempat hukuman juga ditetapkan perintah mahkamah. Mengikut makluman, kerajaan Kelantan juga mendrafkan kaedah bertulis mengenai tatacara sebat, potong anggota badan, salib dan rejam. Yang akan melaksanakannya pula adalah profesional terlatih sebagaimana amalan sebat di penjara sivil sekarang yang dijalankan pegawai penjara yang dilatih – 22 Disember, 2014.

* Dr Zulqarnain Lukman ialah peguambela & peguamcara dan peguam syarie (Selangor dan Wilayah Persekutuan).

Artikel berkaitan PENDAPAT

Share this Article on :

0 comments:

 

© Copyright Kerabu Bersuara 2007 -2013 | Design by Kerabu Bersuara | Published by Kerabu Bersuara Group | Powered by Blogger.com.