Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang 'high maintenance'
Kejatuhan harga minyak dan ketidakstabilan mata wang Ringgit menyebabkan senario ekonomi negara pada tahun 2016 dijangka sangat membimbangkan.
Kedudukan terkini bebanan yang dihadapi oleh rakyat sudah di tahap mencekik leher. Laporan pemberhentian pekerja oleh pelbagai sektor dengan jumlah ribuan pekerja, serta kenaikan kos hidup yang kini amat memuramkan suasana sosiopolitik negara.
Ombak kemelesetan ekonomi sudah dirasai meskipun kerajaan yang suka bermain dengan nombor-nombor statistik dengan rakyat enggan mengakui secara terbuka. Tapi sekurang-kurangnya ada seorang timbalan menteri yang secara tidak langsung mengakui keadaan kian meruncing sehingga beliau sanggup mencadangkan agar rakyat Malaysia bekerja #2kerja untuk menampung kehidupan. Meskipun cadangan itu menghiris perasaan rakyat, tapi ia adalah satu pengakuan realiti semasa oleh seorang ahli parlimen Umno.
Bagi PAS, sebelum mencadangkan langkah-langkah yang patut diambil oleh rakyat untuk mengatasi kemelut ekonomi, eloklah kerajaan yang dipimpin Umno memandang cermin terlebih dahulu dan mengambil pelbagai tindakan segera untuk mengurangkan ‘kos sara hidup’ kerajaan.Tindakan segera ini perlu diambil untuk mengelakkan situasi panik di kalangan rakyat bawahan. Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang 'high maintenance' kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomi.
Berikut ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan segera:
1. Mengurangkan saiz kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan Timbalan Menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.
2. Menyemak kembali peruntukan gila Jabatan Perdana Menteri yang sangat besar dengan mengurangkan kakitangan kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri dan menyalurkan peruntukan itu ke sektor pendidikan.
3. Jabatan Perdana Menteri juga harus menghentikan kewujudan agensi baru dan syarikat milik kerajaan yang baru dan misteri yang mempunyai fungsi bertindih dengan agensi kerajaan sedia-ada untuk disalurkan dana dan kerajaan juga perlu menamatkan jawatan duta khas bertaraf menteri kerana ini jawatan bertindih.
4. Potongan gaji sebanyak 20% bagi Menteri dan Timbalan Menteri agar mereka memahami keperitan untuk mencari pendapatan lain dengan bekerja #2kerja.
5. Menghapuskan elaun tol dan minyak Menteri dan Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan agar mereka dapat merasai keperitan rakyat.
6. Mengurangkan perlantikan konsultan luar untuk projek kerajaan dan memasukkan klausa agar tuntutan ganti rugi dapat dibuat sekiranya cadangan yang dibuat konsultan luar tidak mendatangkan hasil.
7. Tidak menuntut bajet tambahan untuk 2016. Segala keperluan tambahan perlu ditampung menggunakan kaedah penjimatan dan mengurangkan pembaziran.
8. Mengurangkan kadar GST secara berperingkat dan cukai pendapatan bagi mereka berpendapatan sederhana untuk meninggikan pendapatan boleh guna seisi rumah. Kerajaan tidak boleh sesekali menaikkan GST untuk menaikkan pendapatan.
9. Menghapuskan GST ke atas keperluan pendidikan seperti baju, kasut, beg sekolah, buku latihan dan teks bahkan perlu dipertimbangkan subsidi ke atas bahan pendidikan sehingga peringkat universiti. Jangan biarkan GST menyusahkan perjalanan pendidikan negara dan rakyat marhen.
10. Meletakkan setiap transaksi dan kontrak yang melibatkan kerajaan pusat secara online.
11. Mengurangkan perbelanjaan dalam sektor pertahanan.
12. Melakukan rundingan semula semua perjanjian yang berat sebelah yang memberi impak kepada pembelanjaan rakyat seperti tol dan pengangkutan awam.
13. Mengurangkan cukai untuk penerbangan domestik bagi rakyat Malaysia.
14. Menggunakan penerbangan komersial untuk semua lawatan rasmi kerajaan. Kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam, termasuk menteri ialah Kelas Ekonomi. Mengurangkan lawatan rasmi kerajaan dan jumlah ahli yang menyertai rombongan rasmi.
15. Mengurangkan jamuan makan dan minum di semua peringkat kerajaan serta menghapuskan pemberian hadiah dan mengurangkan iklan, penggunaan bunting dan banner untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan.
16. Menangguhkan program PLKN sehingga keadaan ekonomi negara pulih.
Cadangan-cadangan di atas tidak susah dilaksanakan. Yang diperlukan hanyalah keikhlasan, kesungguhan dan komitmen kepada ‘ciri-ciri tatakelola kerajaan yang baik’ atau good governance.
Kepada kerajaan pimpinan Umno, jika hendak membuat cadangan, buatlah cadangan untuk memperbaiki diri sendiri dulu. Hentilah retorik dan memberikan nasihat tidak masuk akal kepada rakyat. Dan jangan salahkan orang lain atas kesusahan rakyat kerana tiada lagi yang pernah memerintah negara selain BN sejak Merdeka.
Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Disember 2015
No comments
Post a Comment