Kenyataan Media Presiden PAS PEMBANGUNAN BANDAR BERMASYARAKAT MADANI

Kenyataan Media Presiden PAS

PEMBANGUNAN BANDAR BERMASYARAKAT MADANI

1. Saya tertarik dengan kenyataan YAB Perdana Menteri bahawa Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) tidak akan dilaksanakan di Malaysia kerana ia boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar.

2. Perkara ini pernah saya kemukakan di dalam sebuah rencana berjudul “Pembangunan Bandar Bermasyarakat Madani” yang ditulis pada 23 Januari 2015, dan ianya menjadi antara perkara yang menguji setiakawan DAP dan PKR yang ketika itu masih bersama PAS dalam Pakatan Rakyat.

3. Saya tekankan bahawa kita tidak seharusnya mengusulkan sesuatu yang boleh mencetuskan ketidakstabilan, melebarkan jurang bandar dan desa, dan yang paling menakutkan ialah ketegangan seperti ini boleh menjadi ‘api dalam sekam’ untuk mengulangi peristiwa 13 Mei yang wajib dianggap titik hitam dalam sejarah negara.

4. Semua pihak perlu sedar bahawa bandar perlu dibangunkan seiring dengan luar bandar, manakala kestabilan ekonomi dan politik di bandar perlu dijaga bagi mengelak timbulnya jurang perbezaan dan ketegangan kaum dalam negara. Inilah asas pembangunan seimbang di antara bandar dan luar bandar yang diperjuangkan oleh PAS sejak kemerdekaan negara.

5. Jangan dilihat penguasaan ekonomi peniaga dan penduduk bandar daripada kaum tertentu sahaja, tetapi perlu juga diambil kira golongan pekerja, pemandu teksi dan peniaga jalanan serta pembekal dan petani di luar bandar yang turut mempunyai peranan membangunkan bandar.

6. Semua pihak wajib menerima hakikat masyarakat majmuk yang mesti dijalin dengan baik. Kita perlu melihat semua kalangan dan keadaan, termasuk Melayu di kampung, India di estet, orang asal di pedalaman serta kaum peribumi di Sabah dan Sarawak juga mempunyai peranan untuk memakmurkan bandar.

7. Kemajmukan ini wajib disatukan dalam titik persamaan, saling mengerti dan melengkapi, bertolak ansur dalam perkara yang berbeza, dan berlaku adil terhadap semua.

“Islam Memimpin”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 1 Rabiul Akhir 1440 / 10 Disember 2018

No comments

Powered by Blogger.