PRK Cameron Highlands: Tu duit minyak bukan sogok



PRK Cameron Highlands: Tu duit minyak bukan sogok

Sunday | 2019

SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR

CAMERON HIGHLANDS - PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular di media sosial merupakan pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan mereka.

Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet berkata, sukarelawan-sukarelawan itu datang dengan motosikal sendiri dari rumah mereka di kawasan pedalaman ke Tanah Rata pada hari penamaan calon.

"Pembayaran balik ini akan diisytiharkan sebagai sebahagian daripada perbelanjaan pilihan raya.

"Kesemuanya dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, DAP sebagai rakan komponen PH percaya kepada satu pilihan raya yang bersih dan telus.

"Kami akan terus memegang prinsip ini dalam kempen kami," katanya.

Terdahulu, Pemuda Umno mendesak SPR menyiasat kemungkinan berlakunya rasuah politik dalam PRK Cameron Highlands.

Desakan itu disuarakan ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang turut berkongsikan beberapa gambar pengagihan wang dikatakan berlaku di Cameron Highlands.

Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh turut menyindir penularan gambar itu dan mengatakan ‘tidak mengapa berbuat demikian kerana mereka kerajaan Persekutuan’.

“Ini tak pe (tidak mengapa) sebab mereka federal Government.

“Kalau kita bagi bagi kenduri untuk jentera pun salah besar sampai lima tahun tak boleh mengundi,” tulis beliau di laman Twitternya.

No comments

Powered by Blogger.