KUALA LUMPUR – Noor Neelofa Mohd Noor atau Neelofa minta semua pihak menghentikan tuduhan dan andaian tidak berasas mengenai hubungannya dengan pendakwah bebas, Haris Ismail atau PU Riz.

Menurut beliau, pelbagai perkara mengenainya tular di media sosial sejak petang semalam yang mengaitkan dengan cerita peribadi kedua pihak.

“Saya berharap, semua pihak dapat memahami apa yang saya ingin sampaikan dan seterusnya tidak terus membuat andaian mengenai perkara yang tidak betul mengenai diri saya, Haris serta keluarga kami,” katanya menerusi kenyataan kepada media hari ini.

Media semalam melaporkan hubungan Neelofa, 31, dan tunangnya PU Riz, 25, umpama retak menanti belah.

Status pasangan ini juga dikatakan mengikat tali pertunangan pada 1 November lalu menjadi perbualan hangat netizen menerusi laman Twitter.

Dalam penjelasan itu, Neelofa menjelaskan, antara andaian dan tuduhan yang muncul di media sosial sejak semalam adalah kononnya beliau terkena buatan minyak pengasih.

“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik dan kesihatan yang terbaik.

“Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya.” katanya.

Mengenai dakwaan kononnya ada memindahkan sejumlah wang yang agak banyak kepada Haris, beliau menyangkal tuduhan tersebut dan perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

“Begitu juga kononnya saya telah pun melangsungkan perkahwinan dan telah dinikahkan oleh bapa saya sendiri di Kelantan. Andaian ini juga adalah satu tuduhan yang sangat tidak benar dan tidak berasas.

“Saya mohon kepada semua pihak untuk tidak terus menerima andaian berkenaan bulat-bulat dan mengambil masa sejenak untuk memahami ketidakwajaran tuduhan ini,” katanya.

Sementara itu, jelas Neelofa, mengenai status hubungan terkini beliau dengan Haris, apa yang mampu dikatakan ialah setiap hubungan itu ada cerita-cerita yang tersendiri dan tidak manis untuk mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarganya.

“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.

“Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.

“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami belum pun ada-apa sebarang ikatan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada keluarganya atas sokongan, kasih sayang yang ditunjukkan, teguran diberikan amat dihargainya dengan setulus hati.

Sekali lagi, katanya, beliau mohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikannya ruang sewajarnya.

“Harap perkara ini tidak lagi akan berpanjangan.

“Terakhir, saya perlukan doa-doa anda buat saya. Terima kasih juga untuk segala sokongan yang diberikan. Saya sangat hargai,” katanya. – MalaysiaGazette