Altantuya: Najib sifat perakuan berkanun Raja Petra ’sampah’

Altantuya: Najib sifat perakuan berkanun Raja Petra ’sampah’, Khairy juga nafi

25-06-2008 07:30:44 PM

(Mutakhir) KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib Razak hari ini menyifatkan dakwaan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin bahawa isteri beliau kononnya terlibat dalam pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibuu sebagai “sampah.”

Dakwaan itu, kata Timbalan Perdana Menteri, hanyalah satu percubaan oleh orang yang terdesak untuk memburukkan imej politik beliau.

“Anda tidak sepatutnya meminta saya mengulas dakwaan sampah seperti itu,” kata Najib kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai masalah pendatang tanpa izin ketika diminta mengulas dakwaan dibuat Raja Petra dalam satu perakuan bersumpah.

Menurut Najib, beliau mengalu-alukan siasatan polis terhadap dakwaan yang dibuat Raja Petra dalam perakuan bersumpahnya yang bertarikh 18 Jun itu.

“Isteri saya (Datin Seri Rosmah Mansor) telah pun memberikan keterangan kepada polis,” tambahnya.

Ditanya apakah motif menyebabkan blogger itu membuat dakwaan berkenaan terhadap beliau Najib berkata, dakwaan yang merupakan sampah semata-mata seperti itu hanya akan dibuat oleh seseorang yang telah benar-benar terdesak untuk memburukkan imej politik beliau.

Dalam pada itu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin juga menafikan segala dakwaan mengenainya dalam perakuan berkanun tersebut.

“Saya tidak terima dan saya tidak tahu menahu mengenai laporan risikan tentera atau apa-apa laporan yang berhubung kait dengan kes pembunuhan Altantuya Shariibuu,” kata Khairy Jamaluddin yang namanya dikaitkan dalam akuan bersumpah yang dibuat penulis blog, raja Petra Kamarudin pada 18 Jun lalu.

Khairy berkata, beliau telah memberi keterangan selama satu jam kira-kira jam 10 malam tadi kepada polis di Putrajaya berhubung hal terbabit.

“Saya beritahu bahawa saya tidak pernah menerima apa-apa laporan risikan tentera atau apa-apa laporan berhubung kait kes pembunuhan daripada Perdana Menteri atau mana-mana pihak lain.

“Akuan bersumpah dan isi kandungannya termasuk tuduhan terhadap diri saya telah dibuat dengan niat yang jahat kerana sama sekali tidak benar,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Parlimen, di sini, hari ini.

Khairy berkata, beliau tidak tahu motif Raja Petra mengaitkan dirinya dalam hal itu sebab ia adalah berdasarkan ‘cakap-cakap’ daripada sumber yang dikatakan boleh dipercayai.

“Tuduhan dibuat terus dalam akuan berkanun kepada satu kes serius dan memang tidak ada kesahihan langsung. Justeru, jika sudah tentunya tiada kesahihan, beliau (Raja Petra) memburukkan kredibiliti saya dalam kes tersebut dan saya anggapnya sebagai satu perbuatan yang berniat jahat,” katanya

Ketika ditanya sebab beliau memberi keterangan selepas seminggu akuan bersumpah dibuat Raja Petra, Khairy berkata, beliau tidak mahu mendahului apa yang mahu dimaklumkannya kepada pihak polis.

“Saya baca dalam akhbar bahawa laporan polis telah dibuat oleh pihak Peguam Negara dan saya menunggu untuk memberi keterangan.

“Sudah tentu saya tahu saya perlu beri keterangan kerana nama saya dikaitkan dalam akuan bersumpah itu,” katanya.

Khairy berkata, beliau masih berbincang dengan peguamnya sama ada mahu mengambil tindakan undang-undang sivil atau tidak terhadap Raja Petra.

Raja Petra dalam akuan bersumpahnya yang dibuat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Jun lalu mendakwa beliau dimaklumkan oleh sumber yang boleh dipercayai secara pasti bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah menerima satu laporan risikan tentera mengenai penglibatan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang berada di lokasi pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shariibu pada malam 9 Oktober 2006 dan salinannya diberikan kepada menantunya, Khairy untuk disimpan dengan selamat.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak pernah menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera yang mengaitkan Rosmah dalam kes pembunuhan itu

Abdullah berkata, apa yang dilakukan oleh Raja Petra itu tidak boleh diterima kerana ia tidak benar.

http://www.mstar.com.my

No comments

Powered by Blogger.