Najib belum cadang cabar Abdullah jawatan Presiden

Najib belum cadang cabar Abdullah jawatan Presiden

27-06-2008 09:25:54 AM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohd. Najib bertanding jawatan Presiden Disember ini? Jawapan Najib - beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Najib, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno berkata, belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu.

“Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi,” kata beliau dipetik Bernama selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini malam tadi.

Mengikut peraturan Umno, calon jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan bahagian Umno di seluruh negara.

Dua minggu lalu Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan bahawa beliau dan Najib telah memutuskan soal peralihan kuasa tetapi tarikhnya belum ditetapkan.

Abdullah juga telah mengumumkan hasrat untuk mempertahankan jawatannya kali ini.

Sementara itu, Abdullah berkata parti itu membenarkan permohonan untuk keahlian parti dibuat melalui dalam talian (online) manakala pembayaran yuran juga boleh dibuat melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Kata beliau, keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung lebih empat setengah jam di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dubnia Putra (PWTC) di sini.

Ia disusuli mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional.

Jelas Abdullah, keputusan itu adalah berdasarkan hasil laporan yang dikemukakan selepas Retreat MT Umno di Shah Alam 5 Jun lepas.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pelaksanaan tersebut akan ditentukan kemudian.

Menjawab soalan, Abdullah berkata pembayaran yuran melalui SMS adalah sama seperti potongan bayaran yang dibuat apabila ada kempen seperti derma untuk sesuatu tujuan yang juga dibuat melalui kiriman SMS.

Beliau, yang juga Perdana Menteri, berkata MT juga memutuskan untuk membenarkan majlis-majlis seperti kenduri, berbuka puasa serta rumah terbuka diadakan semasa pemilihan parti itu.

Katanya ini kerana bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri akan berlangsung dalam jangka masa pemilihan Umno.

“Jadi MT berpendapat kita tidak mahu membuat keputusan-keputusan seperti dulu… tak boleh ada kenduri… tak boleh ada majlis itu dan majlis ini. Semangat Ramadan perlulah dirai,” katanya.

Abdullah berkata, MT juga memutuskan bahawa mesyuarat peringkat Umno bahagian Arau ditunda sehingga selepas pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Kata Presiden Umno itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim akan memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi ketika pilihan raya kecil DUN Sanglang nanti.

Abdullah berkata, Najib sebagai Timbalan Presiden parti pula akan menjadi penyelaras ketika pilihanraya itu nanti.

“Ini prosedur… tiap-tiap kali pilihan raya kecil, siapa jadi pengerusi (Badan perhubungan) akan menjadi penggerak pada peringkat akar umbi di tempat berlakunya pilihan raya itu. Yang jadi penyelaras membantu seperti dari segi mobilasi siapa membuat kempen (dan sebagainya),” katanya.

Ditanya sama ada peranan yang diberi kepada Shahidan akan mencetuskan apa-apa kontroversi, Abdullah berkata: “Saya tidak fikir wujud masalah.”

Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Perlis mengisytiharkan kerusi DUN Sanglang yang dimenangi oleh calon BN Abdullah Hassan pada plihan raya umum 8 Mac lalu dikosongkan.

Keputusan itu dibuat Zainal Adzam selepas menolak petisyen calon PAS, Hashim Jasin yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di DUN Sanglang.

Pada pilihan raya umum itu, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim pula memperoleh 3,235 undi.

No comments

Powered by Blogger.