Benarkan Harakah diterbit secara harian � Mursyidul Am PAS

KOTA BHARU, 26 Jun (Hrkh) - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sepatutnya membenarkan Harakah diterbit secara harian sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) benar-benar bersikap telus.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sudah sampai masanya Harakah turut diberi kebenaran menerbitkan akhbar harian selepas beroperasi sejak lebih 20 tahun lalu.

�Saya gembira sangatlah apabila KDN mengembalikan semula permit Harakah dua kali seminggu, berbalik pada asallah.. Yalah tiada sebab nak sekat, untuk apa nak sekat kita sebagai sebuah negara demokrasi.

Image�Sepatutnya bukan kelulusan permit dua kali seminggu, sebaliknya secara harian,� katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang zakat Bank Islam Malaysia Berhad kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) di Dewan Teratai, di sini petang ini.

Beliau diminta mengulas kelulusan permit penerbitan Harakah dikembalikan semula kepada dua kali seminggu, yang dihantar KDN kepada pihak pengurusan Harakah baru-baru ini.

Harakah diterbit di bawah Jabatan Penerangan PAS Pusat bermula 1987. Pada peringkat awal diterbit sekali seminggu dan kemudian KDN membenarkan penerbitannya dikerapkan kepada lapan kali sebulan.

Namun selepas Umno dan BN kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya umum 1999, penerbitan Harakah disekat kepada hanya dua kali sebulan.

Sebelum ini juga Harakah pernah memohon permit akhbar harian yang dikenali sebagai Purnama namun tidak mendapat sebarang jawapan daripada KDN.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, bersesuaian Malaysia sebagai sebuah negara demokrasi, benarkan akhbar berkenaan diterbitkan secara harian seperti akhbar lain.

Beliau bagaimanapun mengucap terima kasih kepada KDN kerana telah mengembalikan semula hak tersebut biar pun lebih lapan tahun disekat.

No comments

Powered by Blogger.