Ahli Majlis MPK Mahu Saman The Star Dakwa Salahguna Surat Rasmi Exco

Oleh Rusnizam Mahat

SHAH ALAM 28 Julai - Ahli Majlis Perbandaran Klang, Tee Boon Hock mahu menyaman akhbar The Star berhubung laporan yang mendakwa beliau menyalah-gunakan surat dan cop rasmi exco untuk mengeluarkan surat sokongan bagi mendapatkan kontrak untuk kroni dan anggota keluarganya.

Semalam akhbar tersebut menyiarkan laporan mengatakan ahli majlis DAP itu memperolehi kontrak bernilai lebih RM1 juta untuk 20 syarikat daripada MPK sejak berkhidmat pada Julai 2008.

Dalam sidang akhbar hari ini bersama Exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, beliau akan merujuk perkara ini kepada peguamnya.

Sebelum itu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan sekiranya dakwaan tersebut dibuktikan berasas.

Bagaimanapun kata beliau sehingga kini dakwaan yang mengaitkan tindakan meniru tandatangan Ronnie masih belum dapat dipastikan.

"Saya telah dimaklumkan perkara ini kira-kira dua minggu lalu dari Ronnie Liu bahawa terdapat penyalahgunaan surat ahli Exco untuk memberi cadangan dan meminta kontrak diberikan kepada kumpulan-kumpulan peniaga (tertentu).

"Dia (Ronnie Liu) tidak terlibat dalam memberi sokongan kepada surat tersebut. Surat-surat itu (dikatakan) tandatangannya ditiru daripada tandangan Ronnie Liu," kata Khalid ketika mengadakan sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam semalam.

Menurut Abdul Khalid, perkara itu tidak didedahkan kepada pihak media berikutan siasatan dalaman mengenai isu itu sedang dijalankan.

Ditanya kenapa ahli majlis tersebut dilantik bagi penggal ketiga sekiranya kredibilitinya diragui, Menteri Besar menegaskan tindakan tidak boleh diambil sehingga siasatan selesai.

"Saya rasa kita tidak boleh hukum orang sehingga kita tahu dengan jelas situasi sebenar. Niat kita untuk pastikan semuanya jelas sebelum kita ambil tindakan yang sesuai," ujar beliau.

Abdul Khalid berkata tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya dakwaan itu mempunyai asas yang kukuh dan beliau tidak mempunyai halangan sekiranya pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mahu menyiasat dakwaan berkenaan.

Sementara itu, Ronnie Liu ketika ditemui berkata, setakat ini tuduhan itu masih tidak dapat disahkan dan hanya merupakan khabar angin.

"Saya telah mendengar tuduhan tersebut tetapi tidak disahkan lagi. Sesiapa mendapat dokumen berkenaan saya cadangkan serahkan kepada parti untuk siasatan.

"Kami perlukan dokumen. Ramai orang boleh buat tuduhan, tetapi kita mahukan dokumen. Saya telah membuat laporan polis dan SPRM tetapi setiap kali saya membuat laporan saya sertakan dokumen. Kami percaya ketelusan dan kebertanggungjawaban. Sesiapa yang memiliki dokumen dialu-alukan dan parti menunggu dokumen tersebut," kata Ronnie.

No comments

Powered by Blogger.