Harussani Berbohong?

Oleh Khalid Samad

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Dato’ Dr. Hassan Ali, yang merupakan Pesuruh Jaya PAS Selangor, beliau menyatakan bahawa perjumpaan yang diadakan dengan Tan Sri Harussani bertujuan untuk membincang persoalan tugasan beliau sebagai Exco Agama. Dato’ Dr. Hassan Ali menganggap Tan Sri Harussani sebagai seorang tokoh Mufti yang berilmu tinggi dengan pengalaman yang lama, 30 tahun sebagai Mufti. Maka di atas dasar ini, pertemuan terbuka telah diadakan demi menceduk ilmu dan pengalaman Tan Sri Harussani demi memungkinkan beliau menjalankan tugas beliau dengan lebih cemerlang lagi.



Adalah amat jelas bahawa keikhlasan dan sanjungan yang ditunjukkan Dato’ Dr. Hassan Ali terhadap Mufti Perak itu telah dikhianati apabila Tan Sri Harussani menyatakan bahawa pertemuan itu adalah bertujuan untuk meminta beliau menjadi orang tengah dalam usaha menyatukan orang Melayu. Penyatuan ini kononnya akan tercapai melalui kerjasama PAS dan UMNO. Berdasarkan kenyataan Dato’ Dr. Hassan Ali, adalah amat jelas bahawa Tan Sri Harussani berbohong! Pembohongan ini merupakan pengkhianatan terhadap penghormatan dan sanjungan yang ditunjukkan Dato’ Dr. Hassan Ali terhadap beliau.

Memandangkan ianya suatu pengkhianatan, di mana Tan Sri Harussani jelas ingin mempolitikkan pertemuan tersebut, maka Dato Dr. Hassan Ali disarankan agar menyaman Tan Sri Harussani, walaupun PAS Selangor masih belum membincangkan perkara tersebut. Ini adalah kerana imej Dato’ Dr. Hassan Ali telah pun tercalar dengan dakwaan bahawa beliau ingin mengusahakan penyatuan bersama UMNO dan dengan itu mengkhianati perjanjian PAS untuk bersama PR.

Adalah diketahui umum bahawa di antara strategi utama UMNO dalam menghadapi penolakan rakyat terhadap kepimpinannya ialah untuk mengusahakan ‘kerjasama’ dan ‘penyatuan’ dengan PAS demi ‘perpaduan’ Melayu. Persoalan ini diwar-warkan dengan harapan PAS bersetuju ataupun paling kurang, untuk menimbulkan kesangsian parti komponen PR yang lain terhadap PAS. Sekiranya ini tercapai maka dengan sendirinya kedudukan UMNO/BN akan lebih terselamat dan tidak lagi terjejas. Isu ini sengaja di heboh-hebohkan sebagai strategi UMNO dan keterlibatan Tan Sri Harussani dalam perlaksanaan strategi ini, jelas membuktikan sokongan dan kesetiaan beliau terhadap UMNO.

Sokongan dan kesetiaan ini mungkin merupakan sebab utama beliau kekal sebagai Mufti untuk tempoh selama 30 tahun. UMNO yang terkenal dengan sikap sukakan Mufti yang mengikut telunjuknya seperti terbukti dalam kisah pemecatan Al-Marhum Dato’ Ishak Baharom sebagai Mufti Selangor, akan hanya mengekalkan jawatan seorang Mufti sekiranya dia memainkan peranan yang diinginkan UMNO. Dalam kes Al-Marhum Ishak Baharom, apabila terpaksa memilih di antara Mufti dan Ratu cantik, amat jelas UMNO lebih menyokong Ratu cantik.

Kesetiaan Tan Sri Harussani terhadap UMNO/BN juga terbukti apabila beliau menyokong, dengan mendiamkan diri, tindakan UMNO menjatuhkan kerajaan PR Perak walaupun dengan menggunakan taktik terkutuk seperti upah seks dan rasuah. Mufti sebegini amat dihargai UMNO/BN. Sekarang, mengikut penjelasan Dato’ Pesuruh Jaya, maka adalah jelas Tan Sri Mufti seorang pembohong. Ini bertepatan dengan gambaran “Musang Berjanggut’ Al-Marhum Tan Sri P. Ramlee.

Keikhlasan Dato’ Pesuruh Jaya PAS Selangor dalam usaha untuk memperbaiki prestasi dirinya sebagai Exco Agama malangnya telah diambil kesempatan oleh Tan Sri Harussani. Niat yang tulus ikhlas serta penghormatan yang ditunjukkan terhadap beliau telah diambil kesempatan untuk menimbulkan polemik politik; demi mendapat kereDhaan UMNO/BN. Penipuan terhadap Dato’ Pesuruh Jaya PAS tidak sepatutnya dibenarkan begitu sahaja dan cadangan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Harussani perlu dilakukan dengan kadar segera.

Dalam masa yang sama, ada pula yang mengatakan bahawa Tan Sri Harussani tidak berbohong dalam soal ini, kerana Dato’ Dr. Hassan Ali ingin melepaskan dirinya dari dikenakan tindakan disiplin setelah menerima amaran keras tidak lama dahulu. Ini merupakan satu kemungkinan sahaja, akan tetapi amatlah malang sekiranya PAS Selangor mempunyai seorang Pesuruh Jaya yang menipu. Berdasarkan tarbiyyah dan latihan keagamaan yang dibangga-banggakan sebagai asas kekuatan PAS, kemungkinan adanya Pesuruh Jaya Negeri yang sanggup berbohong adalah hampir mustahil! Ianya satu kemungkinan yang perlu ditolak, mentah-mentah. Tidak mungkin Dato’ Pesuruh Jaya menipu kepada ahli dan pimpinan PAS serta rakyat jelata. Tidak mungkin!
Kesilapan Dato’ Dr. Hassan Ali hanyalah kerana membenarkan dirinya ditipu oleh seorang Mufti UMNO/BN yang tegar. Kesilapan beliau adalah kesilapan menghormati dan menyanjungi Tan Sri Harussani dan menjadikan beliau sebagai seorang pakar rujuk. Kesilapan ini adalah kerana kurang bijaknya beliau dalam mengenali sifat lawan. Namun, kurang bijaknya itu bukanlah satu kesalahan. Seperti kata-kata pujangga Inggeris, “stupidity is not a crime”.

Pada masa yang sama keikhlasan dan ketelusan Dato’ Dr Hassan Ali tidak wajar dipersoalkan terutamanya oleh ahli PAS. Ini adalah kerana, sebagai ahli, tuntutan wala’ dan thiqah mesti dipertahankan. Oleh itu, kami amat berharap agar saman terhadap Tan Sri Harussani disegerakan oleh pihak Dato’ Pesuruh Jaya supaya terbukti bahawa beliau telah ditipu dan beliau tidak reDha ditipu sebeginirupa oleh UMNO dan kuncu-kuncunya.

WaLlahu 'Alam
KHALID

No comments

Powered by Blogger.