Kementerian Kesihatan Lembab, Rakyat Terpaksa Guna KWSP Tampung Kos Perubatan

Oleh Sidiqin Omar

KUALA LUMPUR 27 Julai - Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat, Senator Zamri Yusof meminta kerajaan menilai semula dasar kesihatan negara yang dilihat pincang kerana wujudnya kesukaran yang dialami golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Bantuan Perubatan yang diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata Pusat Khidmat Rakyat yang dikendalikannya menerima banyak aduan dan masalah rakyat yang memohon khidmat bantuan bagi menguruskan pengeluaran caruman daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi menampung kos kesihatan dan perubatan mereka.

"Berdasarkan kepada jawapan yang dibentangkan, saya lihat permohonan untuk tujuan tersebut bagi enam bulan pertama tahun ini sahaja berjumlah 1,794 dan statistik semenjak tahun 1994 sehingga 2010, keseluruhan permohonan tersebut berjumlah 93,940," katanya pada sidang media selepas sesi soal jawab dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-10 di Dewan Negara semalam.

Zamri berkata, 71 peratus pengeluaran caruman Akaun 2 KWSP, rata-ratanya dibuat oleh golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Beliau menjelaskan kelompok tersebut adalah mereka yang terawal dan mudah terjejas dalam apa-apa juga situasi terutamanya yang melibatkan masalah kewangan.

"Tidak mudah bagi mendapatkan bantuan daripada Tabung Bantuan Perubatan. Pemohon terpaksa mengisi borang yang akan melalui proses selama 28 hari di peringkat hospital. Kemudian permohonan tersebut akan dihantar pula kepada kementerian dan proses ini akan memakan masa selama 28 hari juga. Jadi, untuk menjimatkan masa golongan ini akan mengambil jalan mudah dengan membuat pengeluaran di KWSP yang hanya mengambil masa 21 hari," jelas Zamri.

Beliau kesal kerana Akaun 2 yang disimpan untuk hari tua oleh pencarum terpaksa digunakan lebih awal kerana kegagalan Kementerian Kesihatan menyediakan satu skim yang memudahkan rakyat untuk mendapatkan bantuan kesihatan.

Akaun 2 KWSP tambah beliau kebiasaannya akan digunakan oleh pencarum untuk membayar deposit pembelian rumah atau membayar baki pinjaman perumahan.

"Jadi kerajaan diminta untuk sediakan dana yang secukupnya untuk keperluan perubatan dan kesihatan rakyat. Sebagai kelompok yang mudah terjejas, iaitu 40 peratus daripada jumlah rakyat, golongan ini hanya mlihat kepada Akaun 2 KWSP sebagai penyelamat mereka ketika dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan rawatan yang memerlukan perbelanjaan tinggi," tegas Zamri lagi.

No comments

Powered by Blogger.