Badan Peguam Malaysia Mahu Umno-BN Mansuhkan ISA

Oleh Norasikin Samsi

SHAH ALAM 29 Julai - Presiden Badan Peguam Malaysia, Ragunath Kesavan menuntut agar kerajaan Umno-Barisan Nasional menghormati dan menegakkan hak asasi rakyat Malaysia, seiring dengan taraf Malaysia sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Tambah beliau, Malaysia kini terikat dengan tanggungjawab menegakkan piawaian hak asasi yang tertinggi, dan ini hanya boleh dicapai dengan pemansuhan undang-undang yang melanggar prinsip hak asasi manusia dan lain-lain perundangan yang membolehkan penahanan tanpa bicara serta penyekatan kebebasan bergerak rakyat di dalam kawasan sempadannya sendiri.

"Masanya kini tepat untuk kerajaan Umno-BN memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang telah membelenggu rakyat sejak 50 tahun lalu. Inilah masanya untuk membebaskan rakyat Malaysia daripada undang-undang yang tidak saksama dan adil," tegas beliau dalam sidang media di pejabat BPM Isnin lalu.

BPM telah menghantar satu memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri pada 19 Julai lalu meminta pemansuhan ISA dan dua akta lain yang membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Memorandum itu turut menuntut pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Buang Negeri 1959 yang menghadkan pergerakan warga Malaysia di tanah sendiri.

"Akta-akta ini jelas melanggar prinspi-prinsip yang telah diperuntukkan di dalam Deklarasai Hak Asasi Sejagat 1948 serta knovensyen-knovensyen lanjutan selepas itu.

"Jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Australia, Canada, United Kingdom dan Amerika Syarikat, mereka mempunyai peruntukkan menyeluruh melindingi keselamatan negara tanpa perlu mengabaikan kebebasan individu dan hak asasi manusia," kata Ragunath lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan memorandum ini merupakan yang ke-10 dihantar oleh BPM dan kali ini, kementerian telah memberikan respons dengan menyatakan memorandum ini akan dikaji sebelum saranan dibuat.

"Jika kita mahu dihormati dan diberi perhatian oleh masyarakat antarabangsa, kita kena pastikan 'belakang rumah' kita bersih sebelum menunding jari kepada orang lain," jelas beliau.

No comments

Powered by Blogger.