Henti pertikai isu Exco agama

RISWANDI RAZAK

SHAH ALAM - Pas Selangor menggesa semua pihak agar tidak mempertikaikan tindakan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memegang portfolio agama.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Rani Osman berkata, isu kelayakan menteri besar tidak timbul kerana menteri besar di negeri pimpinan Umno memegang portfolio agama walaupun tidak mempunyai latar belakang agama.

Menurutnya, pertukaran portfolio ini juga telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku ketua agama di Selangor.

“Terdapat negeri pimpinan Umno, Barisan Nasional (BN) menteri besar mereka secara automatik akan menjadi Exco agama, sebagai contoh Pahang.

“Isu ini tidak timbul, malah Tan Sri Abdul Khalid sendiri pernah menyebut sekiranya wujud perkara-perkara yang memerlukan nasihat dari Pas, beliau akan rujuk kepada kita,” katanya pada sidang media, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) bahawa Abdul Khalid tidak layak menjaga portfolio tersebut kerana tidak mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Selain Pahang, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan juga memegang portfolio agama Islam.

Dr Rani berkata, rombakan yang turut menyaksikan pelantikan­ Dr Ahmad Yunus dilantik sebagai Exco Adat Istiadat Melayu, Belia dan Sukan adalah perkara yang dipersetujui bersama Pas Selangor.

“Ianya dipersetujui atas sebab pilihan raya semakin hampir dan faktor jangka masa menguasai portfolio baru seperti Exco Hal Ehwal Agama, Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

“Portfolio ini akan mengambil masa yang lama kerana melibatkan beberapa jabatan dan institusi penting,” katanya.

Sementara itu dalam isu lain, Dr Rani berkata, program jelajah seluruh negara dianjurkan Datuk Dr Hasan Mohamed Ali tidak memberi kesan kepada parti itu.

Menurutnya, hanya segelintir ahli Pas yang hadir dan datang kerana mahu mendengar sendiri hujah dari Hasan.

Sebaliknya, beliau mencadangkan agar program itu dibuat setiap hari bagi memudahkan rakyat nilai sendiri niat sebenar Hasan.

“Dalam program yang beliau adakan di tempat saya, warga tempatan yang sekitar 100 orang, selebihnya ahli-ahli Umno sahaja,” katanya.

Setiausaha Pas Selangor, Khairuddin Othman berkata, berdasarkan tinjauan di keseluruhan bahagian Pas di Negeri Selangor, pihaknya mendapati ahli-ahli tidak terpengaruh dengan isu terbabit.

Menurutnya, ahli-ahli Pas memahami faktor pemecatan tersebut dan kini kembali menumpukan fokus kepada persiapan menghadapi pilihan raya.

“Ekoran pemecatan terbabit, kita menerima laporan dari 22 kawasan bahawa kita tidak terjejas dengan pemecatan Dr Hasan ini,” katanya.

Ketua Pemuda Pas Negeri, Hasbullah Mohd Ridzwan berkata, rakyat diharap tidak tertipu dengan kenyataan Hasan.

Menurutnya, Pas Selangor menyokong penuh keputusan Pas Pusat memecat beliau atas sebab tindak tanduk dan kenyataan Hasan sejak kebelakangan ini.

“Kemarahan beliau terhadap Pas semakin melonjak apabila diketahui bahawa beliau tidak dicalonkan oleh Pas Gombak Setia dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

“Keadaan ini menyebabkan beliau sanggup menidakkan segala yang pernah beliau lakukan sebelum ini,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.