NFC: Ketua Audit Negara kesal pihak pertikai kredibiliti juruaudit

Wartawan Sinar Harian
January 25, 2012

SHAH ALAM - Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang kesal ada pihak yang mempersoalkan integriti dan kredibiliti juruaudit-juruaudit jabatannya di sebalik kontroversi projek ternakan daging lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

"Jabatan Audit Negara menjelaskan bahawa pengauditan terhadap projek NFC ini telah dibuat secara bebas dan profesional tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak. Sebarang kenyataan yang mempertikaikan kewibawaan dan integriti juruaudit JAN adalah
dikesali," kata Ambrin dalam satu kenyataan.

Ambrin berkata, jabatannya mahu menekankan bahawa kerja-kerja mengaudit ke atas projek NFC dijalankan secara profesional dan bebas tanpa sebarang prejudis kepada mana-mana pihak.

Ahad lalu, Perkasa mencabar National Feedlot Corporation (NFCorp) mendedahkan kelemahan yang dilakukan pegawai-pegawai yang mengendalikan urusan Laporan Ketua Audit Negara 2010 sehingga merosakkan reputasi syarikat berkenaan dan menjejaskan imej kerajaan.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, laporan itu sesuai diguna pakai dalam kementerian dan agensi kerajaan tetapi tidak untuk syarikat swasta.

Beliau berkata, pegawai yang membuat audit mungkin keliru dengan beberapa perkara, antaranya, National Feedlot Corporation atau NFCorp adalah milik Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail manakala NFC adalah dimiliki syarikat kerajaan dan pada masa yang sama mengusahakan ladang satelit.

“Mohamad Salleh menerangkan kepada kami yang NFCorp mempunyai Laporan Audit Dalaman dan membuat audit dalaman syarikatnya. NFCorp pernah diberi lima bintang oleh Jabatan Audit Negara.

“Untuk itu, saya mendesak supaya Ketua Audit Negara, (Tan Sri Ambrin Buang) memberi penjelasan mengenai kekeliruan ini dan menjawabnya secara terbuka,” katanya pada satu sidang media.

No comments

Powered by Blogger.