NFC: Tiada perlu suruhanjaya diraja, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA - Pembentukan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) tidak diperlukan memandangkan langkah-langkah sedang diambil kerajaan melalui beberapa agensi penguatkuasaan sudah memadai, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata selain penjelasan dan laporan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berhubung isu itu, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terperinci.

"Saya fikir langkah-langkah yang diambil juruadit negara ataupun Ketua Audit Negara dengan penjelasan itu memadai. Lagipun dalam peringkat yang sama beberapa agensi penguatkuasaan iaitu Polis Diraja Malaysia dan SPRM pun buat
siasatan mereka. Kita harap hasil siasatannya dapat disiapkan dengan segera, bagi kita mengetahui kedudukan sebenarnya.

"Di samping itu, daripada segi kerajaan sendiri kita telah melantik syarikat perunding kewangan ini akan buat pemeriksaan teliti untuk melihat semua sekali status kewangan syarikat ini di mana perbelanjaan yang telah dibuat, pinjaman yang telah dibekalkan dan berapa banyak baki wang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat khas Umno Putrajaya di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas kenyataan pemimpin DAP Lim Kit Siang yang mahukan rakyat mendesak kerajaan supaya membentuk sebuah Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat isu NFC yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

"Mungkin pihak pembangkang mahu melihat projek ini gagal, kalau gagal sahlah bahawa pandang mereka itu adalah betul. Tetapi sebagai sebuah projek yang didukung kerajaan yang dilaksanakan oleh swasta, kita mahu projek ini menjadi projek berdaya maju. Jadi langkah-langkah ini saya fikir memadai," katanya.

Timbalan Perdana Menteri akur beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi memastikan projek itu berjaya dan berdaya maju.

Muhyiddin berkata kerajaan hanya boleh menilai kedudukan sebenar NFC dan keberkesanan projek berkenaan selepas menerima laporan-laporan daripada agensi terbabit.

Dalam satu kenyatan Rabu lepas, Jabatan Audit Negara menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara 2010 tidak ada menyebut perkataan-perkataan seperti kucar-kacir, ‘in a mess’ ataupun penyelewengan dalam laporan pengauditannya terhadap projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) di Gemas, Negeri Sembilan. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.