Perutusan TG Nik Aziz Sempena Tahun Baru Cina 2012

Dari Sudut Perspektif: Blog Rasmi Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

Selamat Tahun Baru Cina: “Bersama Mengharmonikan Masyarakat Kelantan”


PERTAMA saya mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada semua masyarakat Tionghua. Pengharapan besar Tahun Baru Lunar ini yang jatuh pada Isnin, 28 Safar 1433 bersamaan 23 Januari 2012 akan meneruskan keharmonian hidup untuk semua masyarakat di Kelantan.

Perayaan Tahun Baru Cina kali ini adalah satu perayaan penting bagi masyarakat Tionghua kerana mengikut giliran kalendar Cina tahun ini adalah tahun Naga Air. Justeru masyarakat Tionghua percaya tahun ini bakal membawa banyak kebaikan dan rezeki.

Apa pun Naga adalah suatu simbolik dalam kepercayaan masyarakat Tionghua, sementara Air adalah nikmat Allah SWT kepada semua makhluk. Maka bagi Negeri Kelantan, sudah terbukti masyarakatnya hidup dengan penuh keharmonian, sejahtera dan berkebajikan dinikmati semua kaum. Ia ibarat air yang menjadi pendorong bagi masyarakat Tionghua untuk lebih maju menyumbang dalam apa jua bidang, terutama dalam sosioekonomi yang boleh memberi kebaikan untuk seluruh masyarakat Kelantan.

Demikian pula, simbolik hidangan jamuan raya ‘Yee Sang’ yang mempunyai nilai keagungan dan kehebatan institusi kekeluargaan, ia juga suatu simbolik dalam mengharmonikan persefahaman antara masyarakat selain Tionghua.

Semoga Allah SWT memberkati seluruh hidup masyarakat Kelantan yang telah terbukti sejarahnya begitu hormat-menghormati di antara satu sama lain. Ia sesuai dengan semangat kekeluargaan yang dipupuk sempena musim Tahun Baru Cina.

Oleh kerana itu, sukacita saya mengingati balik apa yang saya utuskan semasa sambutan Tahun Baru Cina sebelum ini (sempena tahun Arnab):

“Kita satu ummah yang bersama-sama memberi sumbangan ke arah lahirnya negara Malaysia yang lebih adil dan aman serta sejahtera berteraskan nilai agama.

Islam sebagai agama yang tidak mengamalkan diskriminasi kepada sesiapa sekalipun. Justeru Islam mendidik agar berlaku adil kepada semua bangsa.

Tidak ada kelebihan satu bangsa ke atas satu bangsa yang lain, melainkan dengan takwa kepada Allah.”

Harapan amatlah besar, agar masyarakat Tionghua di Malaysia dan di Kelantan terus memberi kerjasama terbaik kepada pihak Kerajaan Negeri untuk meneruskan program pembangunan masyarakat Kelantan ini dengan sebaik-baiknya.

Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan/al-Mursyidul Am PAS

Kota Darulnaim, Kota Bharu.


No comments

Powered by Blogger.