Anwar dalang hanya spekulasi

Wartawan Sinar Harian


ALOR SETAR - Dakwaan wujudnya konspirasi membabitkan beberapa Exco Kerajaan Negeri yang didakwa didalangi pihak tertentu, terutama kumpulan Erdogan untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, disifatkan hanya spekulasi.
Menurut Azizan, beliau sendiri tidak pasti siapa kumpulan itu yang didakwa wujud dalam barisan kepimpinan Pas Kedah.

“Saya pun tidak tahu siapa yang dikatakan Erdogan itu. Saya tiada masalah dengan sesiapa dan berkawan dengan semua orang, sama ada Erdogan atau tidak, saya tidak tahu,” katanya di sini, semalam.

Hadir sama, Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi negeri, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul. Azizan berkata, konspirasi yang didakwa wujud dan turut dikaitkan dengan penyokong ‘Anwarinas’ itu hanya mainan media.

“Istilah itu media yang tulis. Anda boleh kata apa sahaja tapi realitinya berbeza. Saya tetap dengan pendirian, jika setuju, kata ya, tetapi jika tidak setuju, saya bantah,” katanya.

Azizan turut menyangkal wujud cubaan untuk menyingkirkan golongan ulama dalam Pas Kedah bagi memperluas pengaruh kumpulan Erdogan.

Kumpulan Erdogan atau Anwarinas dirujuk sebagai kumpulan yang wujud dalam Pas dan dipengaruhi oleh ketakbsuban terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebuah akhbar semalam mendakwa wujud komplot untuk menyingkirkan Azizan yang didalangi Anwar disebabkan sikap Menteri Besar itu yang tegas memperjuangkan Islam dan Melayu yang tidak disenangi Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu.

Azizan turut didakwa akan jadi mangsa yang kedua selepas Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat daripada Pas baru-baru ini.

“Tak betul tu, saya masih ada dalam Pas Kedah,” katanya.

Ditanya sama ada spekulasi itu susulan usaha menggulingkan beliau sejak Oktober lalu, apabila faktor kesihatan beliau dijadikan senjata untuk memaksanya beliau berundur, Azizan berkata, pelbagai cerita tidak enak sudah dilemparkan terhadap dirinya, namun sehingga kini masih bertahan.

No comments

Powered by Blogger.