Exco Kedah: Lantikan baru 28 Feb, 2 mungkin digugur

ALOR SETAR - Majlis pelantikan anggota Exco kerajaan negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan pada Selasa depan di Istana Anak Bukit di sini.

Penolong Setiausaha (Pengurusan Korporat) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Noor Akmar Mohd Omar, berkata majlis itu akan bermula pada 9.30 pagi dan dijangka berlangsung selama dua jam.

Beliau berkata, majlis akan dimulakan dengan acara mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah oleh anggota exco diikuti dengan pengurniaan tauliah
pelantikan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Noor Akmar berkata, istiadat penganugerahan bintang-bintang serta pingat-pingat kebesaran sempena dengan perayaan ulang tahun Keputeraan Sultan Kedah yang ke-84 akan diadakan selepas itu.

Sementara itu, khabar angin tercetus bahawa dua Exco kerajaan negeri Kedah akan digugurkan apabila mereka enggan menghadiri majlis pelantikan itu.

Mereka ialah Pengerusi Kesihatan, Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Dr Ismail Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan,
Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air Dan Tenaga negeri, Datuk Phahrolrazi Zawawi.

Kedua-duanya tidak mengesahkan atau menafikan khabar angin itu dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Ismail mendakwa beliau tidak tahu-menahu mengenai perkara tersebut.

Seorang lagi Exco, Phahrolrazi yang turut dikaitkan dengan khabar angin itu berkata, belum masanya beliau membuat sebarang kenyataan dan jika perlu, satu sidang akhbar berkaitan perkara itu akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Azizan berkata surat tawaran kepada setiap Exco masih belum dihantar dan beliau hairan bagaimana spekulasi itu boleh timbul.

"Masih ada banyak masa untuk semua itu. Surat tawaran akan dihantar oleh pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kepada exco yang dilantik dan sebarang perubahan atau rombakan terhadap pelantikan itu akan diketahui pada 28 Februari
ini," katanya di sini.

Katanya, beliau tidak boleh mengumumkan apa-apa kerana pelantikan belum dibuat dan surat tawaran pun masih belum dikeluarkan lagi. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.