Anwar jumpa esok, Nik Aziz kekal pendirian

Oleh: G MANIMARAN

SHAH ALAM - Pertemuan antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang sebelum ini disebut-sebut akan diadakan hari ini berhubung kontroversi kenyataan tentang Israel, ditangguhkan sehingga esok.

Sumber-sumber memberitahu Sinar Harian Online bahawa pertemuan yang dinanti-nantikan itu dijadual akan berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pagi esok.

"Pertemuan akan berlangsung esok, masa belum ditentukan... kemungkinan sebelah pagi. Jadual sedang diatur dengan mengambil kira program dan temu janji yang telah pun diaturkan terlebih dahulu," kata seorang pegawai kanan dari Pejabat Menteri Besar Kelantan.

Laporan media sebelum ini menyebut pertemuan itu akan diadakan sebelah malam ini.

Nik Abdul Aziz dikatakan berada di ibu negara bagi menghadiri beberapa program rasmi, termasuk akan mengambil bahagian dalam mesyuarat Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

Pegawai Pejabat Anwar juga mengesahkan bahawa berdasarkan maklumat awal pertemuan akan diadakan pagi esok.

"Setakat ini (pagi tadi), saya dimaklumkan pertemuan akan diadakan pagi esok," katanya lagi.

Pegawai Menteri Besar Kelantan menambah, setakat ini pihaknya tiada apa-apa rancangan untuk mengeluarkan kenyataan media.

Dalam pada itu, pegawai kanan Nik Abdul Aziz juga berkata, Menteri Besar Kelantan masih kekal dengan pendirian yang telah diputuskan oleh Majlis Syuar Ulama minggu lalu.

Isnin lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.

"Saya, selaku Mursyidul Am Pas, dengan dipersetujui oleh seluruh ahli Majlis Syura Ulama Pas, menggesa Datuk Seri Anwar menarik balik kenyataannya seperti dilaporkan di Wall Street Journal," kata beliau.

Nik Abdul Aziz berkata, jika kenyataan itu dilaporkan secara salah atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz berkata, Pas mengulangi pendirian yang berterusan dan tetap dengan prinsip, sekali-kali tidak mengiktiraf negara haram Israel sebagaimana yang juga ditegaskan menerusi pendirian di kalangan gerakan Islam antarabangsa, serta menyokong sepenuhnya perjuangan rakyat Palestin yang dihina di bumi sendiri.

Anwar, dalam kenyataan media dikeluarkan Khamis lalu, berkata PKR yang diketuainya berkongsi hasrat dan pendirian dengan Pas untuk melihat kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka, bebas dan makmur.

Sambil menegaskan beliau memahami perbezaan pendirian Pas dan PKR, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini menambah, parti Islam itu berpendirian kewujudan negara Israel adalah haram dan mereka tidak berhasrat untuk mengadakan sebarang rundingan serta kerjasama dengan Israel.

"Saya hargai pandangan dan semangat sahabat-sahabat dari Pas, Majlis Syura Pas dan seluruh gerakan dakwah dan pertubuhan Islam yang berterusan membela nasib rakyat Palestin.

"Ketetapan Pas yang menentang keras pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin turut dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia," kata Anwar.

No comments

Powered by Blogger.